Sunday, December 13, 2009

Hujung Minggu Untuk Keluarga

"Malasnya nak pergi, macamlah esok tak ada," rungut saya di hadapan suami.

Semalam saya mendapat arahan supaya ke pejabat pada hari ini - hari Ahad. Ada surat yang perlu saya draf untuk ditandatangani oleh pengurusan tertinggi. Semasa meninggalkan rumah pagi tadi, kedua-dua anak saya baru bangun tidur. Anak lelaki saya, Faiz tidur semula selepas solat Subuh. Agaknya dia berjaga malam tadi mengadap internet. Si adik, Ithar melambai-lambai tangannya sambil minum susu.

Bekerja pada hujung minggu merupakan antara perkara yang paling saya tidak gemar dalam kerjaya saya. Setelah lima hari menghabiskan masa di pejabat, saya memperuntukkan masa dua hari itu untuk diri sendiri, keluarga dan rumahtangga. Semampu mungkin, saya mengelakkan tugasan pejabat pada hujung minggu. Biarlah ada orang menganggap saya terlalu berkira, tetapi itulah yang saya pilih untuk hidup saya.

Saya rasa bahagia bila bangun tidur pada hari cuti, fikiran saya lapang, tidak sepertimana hari bekerja - celik sahaja mata, berbagai-bagai perkara tergambar seolah-olah telah diset di otak, semuanya perlu diselesaikan sebelum ke pejabat. Pada hari cuti, semua itu saya buang jauh-jauh, kerja rumah saya lakukan secara santai. Jika tidak hujan, saya membawa anak-anak berjalan-jalan di taman permainan berdekatan dan sarapan di luar.

Orang yang paling gembira jika saya bercuti ialah Ithar. Soalan yang selalu terpacul di bibir comelnya ialah "Bos Ummi bagi Ummi cuti ke hari ini? Cuti banyak ke sikit?" Luluh hati saya mendengarnya. Memang anak-anak berhak untuk menuntut supaya ibubapa mereka bersama-sama mereka pada hari-hari cuti. Kalau tidak kita, siapa lagi?

Dua minggu lagi cuti persekolahan akan berakhir. Faiz akan naik ke Tingkatan Dua, manakala Ithar pula akan mula melangkah ke alam persekolahan (tadika). Saya sudah berkira-kira untuk bercuti pada minggu terakhir Disember. Saya akan cuba melangsaikan semua tugasan yang perlu sebelum bercuti. Harap-harap tiada lagi tugas segera yang memaksa saya ke pejabat semasa cuti sepertimana hari ini!

Tuesday, December 8, 2009

Pameran Buku Antarabangsa Cairo


"Tolong buat kertaskerja lawatan kajian ke Mesir. Kita nak tinjau Pameran Buku Antarabangsa di sana," kata bos saya pada suatu hari sekitar September baru-baru ini. Hati saya amat teruja. Dalam masa beberapa hari sahaja, kertaskerja itu sudahpun siap. Sebagai orang bawahan, saya hanya menyediakan kertaskerja, tidak semestinya saya terpilih untuk menyertai lawatan itu, meskipun jauh di sudut hati saya, saya amat-amat mengharapkannya.

Saya gemar membaca dan menulis dan tempat yang saya paling suka pergi selepas tepi pantai ialah kedai buku dan perpustakaan. Saya masih ingat ketika saya meniti usia remaja dulu, saya sering ke perpustakaan awam atau perpustakaan sekolah. Habis semua buku di seksyen kanak-kanak saya baca.

Apabila saya berpeluang melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar, masa yang saya amat nantikan ialah Ma'radh al-Qahirah al-Dauli li al-Kitab (Pameran Buku Antarabangsa) di Cairo. Venue pameran ialah sebuah stadium. Biasanya pameran buku itu berlangsung selama dua minggu pada bulan Januari atau Februari. Setiap hari selepas usai kelas, saya pasti ke sana bersama rakan-rakan. Ada sahaja buku yang kami gendong balik ke rumah sewa. Terasa begitu nikmat menatap tulisan para ulamak.

Kini buku-buku itu menjadi harta yang paling saya sayangi. Namun kekangan masa sering menghalang saya memaksimakan kewujudannya. Kerja saya di pejabat tidak memerlukan saya banyak merujuk kitab. Di rumah juga saya gagal membelai"kesayangan" saya itu lantaran tugas bertalis arus sebagai seorang isteri dan ibu.

Namun setiap kali saya merenung buku yang tersusun di dalam almari, saya pasti memasang cita-cita untuk mengatasi kelemahan saya ini. Dan saya harap pada suatu hari putera dan puteri saya dapat membaca kitab-kitab itu dengan baik, jauh lebih baik daripada ummi mereka.

Thursday, December 3, 2009

Keajaiban Hidayah

"Saya ada jumpa satu buku yang sedap," kata Liza pada suatu hari. Liza adalah rakan sepejabat saya. Kami ada satu persamaan ialah suka membaca. Mungkin kerana itu, antara ramai teman di tempat kerja, dia antara yang paling "ngam" dengan saya. Dia menghulurkan buku berjudul "Travelog Haji:Mengubah Sempadan Iman" tulisan Muhd Kamil Ibrahim.
Saya membawa buku itu balik ke rumah. Semalaman saya membacanya. Betul kata Liza, buku itu memang "sedap". Kalau tidak, mana mungkin saya mampu menghabiskannya dalam masa satu malam sahaja!
Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 2006 sebelum saya berpindah kerja ke tempat lain. Beberapa bulan lepas, saya terjumpa lagi nukilan penulis yang sama semasa membelek-belek buku di kedai Popular Ampang Point. Judul buku beliau kali ini ialah "Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok". Sepertimana buku beliau sebelum ini, buku ini betul-betul menyentuh perasaan bagaimana seorang yang tidak berapa peduli tentang tuntutan agama boleh berubah 360 darjah apabila menunaikan haji.
Apayang paling mengkagumkan saya ialah bagaimana beliau boleh istiqamah kepada ibadah-ibadah sunnat semasa di tanah suci apabila sudah kembali ke tanahair - Qiamullail, iktikaf, solat berjemaah, solat Dhuha, membaca al-Quran, puasa hari Isnin dan Khamis - perkara-perkara yang kadang-kadang asatizah sendiri jarang mengamalkannya apabila telah selesai pengajian dan sudah bekerja.
Bayangkan seorang Ketua Jabatan sebuah institusi bukan agama mengajak anak-anak buahnya solat berjemaah. Setiap kali "out-station", beliau akan meminta pemandunya memastikan di mana masjid yang terdekat supaya beliau tidak terlepas Solat Subuh berjemaah. SubhanalLah!
Mungkin anda boleh cuba membaca kedua-dua buku Muhd Kamil Ibrahim ini untuk menggilap iman di hati dan kongsikan pendapat anda mengenainya bersama saya atau orang lain ...

Sunday, November 29, 2009

Memaknakan 'Idul Adha

Tiada istilah sunyi bagi seorang Mukmin kerana
apa sahaja yang ada padanya punya makna

Hari ini merupakan hari ketiga 'Idul Adha. Sepertimana hari raya-hari raya sebelum ini, jika dirayakan di ibu negara, sunyinya pasti terasa, dan kesunyian itu kekadang mendetikkan keinginan untuk kembali ke kampung halaman, bukan sekadar balik bercuti tetapi pulang terus. Meskipun ibubapaku telah tiada, di sana masih ada rumah pusaka yang menyimpan 1001 kenangan semasa aku mula mengenal dunia hingga meniti remaja. Di sana juga masih ada adik beradik yang tidak terputus talian walaupun kami dipisah lautan sekian lama.

Namun, realiti segera melenyapkan lintasan hati itu. Aku mesti menerima hakikat hidupku di fasa ini di sini. Di sini aku mencari rezeki, di sini putera dan puteriku membesar dan di sini juga kubina mahligai yang bakal menjadi rumah pusaka menyimpan kenangan pula untuk mereka.

Justeru, dalam kesunyian 'Idul Adha ini, aku berusaha memaknakannya. Mungkin tidak pada lemang dan rendang, tidak juga pada nasi himpit dan kuah kacang kegemaranku, tetapi pada mesej Ilahi di sebalik ibadah haji dan korban. Moga hari-hari Tasyriq ini mampu kulalui untuk itu.