Monday, June 28, 2010

Berkampung di Residence, UNITEN : Hari Ketiga

24 Jun 2010 (Khamis)
7.30 Pagi
Saya telah siap mengemas barang. Moga-moga tidak ada yang tertinggal. Tak sabar rasanya nak balik. Terbayang wajah anak yang tidak sihat sejak Isnin. Cantik dan selesa macamanapun hotel, rumah sendiri tetap di hati ....

Apa lagi yang saya suka tentang hotel ini? Emmm… syampu perisa serainya. Harumannya cukup menyegarkan. Kalau guna di bilik air, wanginya sampai ke ruang depan!


11.00 Pagi
Check out. Saya keluar lebih awal kerana ada tugasan di UIAM Gombak. Alhamdulillah, perjalanan ke sana lancar. Risau jugak kut-kut terlajak ke Kuantan!

2.00 Petang
Home Sweet Home ! Terima kasih kepada sahabat saya, 'Ain yang menghantar saya pulang ....

Berkampung di Residence, UNITEN : Hari Kedua

23 Jun 2010 (Rabu)
8.30 Pagi
Saya berada di dalam bilik bengkel. Untuk peserta mencecah 30 orang, bilik ini sedikit sempit. Kalau sudah duduk di meja Urus Setia dan peserta sudah mengambil tempat masing-masing, kena tunggu masa rehat untuk keluar daripada bilik ini kerana bimbang mengganggu keselesaan orang lain apabila kita terpaksa lalu di celah-celah kerusi dan meja.

Sungguhpun begitu, keadaan ini tidak banyak menimbulkan masalah. Program berjalan dengan lancar dan menepati masa. Juruteknik memberi kerjasama yang baik. Kemudahan internet juga disediakan, cuma guna password yang diberikan oleh pihak hotel.

10.30 Pagi
Kami berhenti rehat. Secawan kopi dan sehiris kuih untuk meredakan ketegangan. Ruang rehatnya selesa, tetapi selalunya kami bawa air dan kuih ke bilik bengkel saja kerana tempat duduk telah dimonopoli oleh peserta. Kalau mereka ajakpun, kami pasti akan menolak dengan baik, segan ...

12.30 Tengahari

Masa untuk makan .... Kami beredar ke Restoran Jupiter di Aras Bawah. Ini tempat utama kami menjamu selera. Sepertimana adat program di hotel, makan minum di sini memang mewah. Enam kali sehari, selalunya kita tidak sempat lapar. Dan makanan di sini antara yang tersedap pernah saya rasa. Varietynya tidak sangat, tetapi rasanya class .... Agaknya kerana terlalu sedap, saya terlupa nak ambil gambar. So, bayangkan jelah kesedapannya .....

Berkampung di Residence, UNITEN : Hari Pertama

22 Jun 2010 (Selasa)
3.40 Petang

Saya memasuki perkarangan UNITEN. Terasa seperti tersimbah aura semacam sebaik sahaja melepasi pintu masuk. Mungkin kerana tempat ini milik cerdik pandai dan golongan bijaksana. Barangkali juga ia menggamit kenangan sendiri ketika zaman bergelar mahasiswa lebih dua dekad lalu.



UNITEN atau nama sebenarnya Universiti Tenaga Nasional merupakan sebuah institusi pengajian tinggi swasta. Kampus utamanya terletak di Kajang, Selangor manakala kampus keduanya di Bandar Muadzam Shah, Pahang. Mula beroperasi pada tahun 1976 sebagai Institut Latihan Sultan Ahmad Shah (ILSAS), UNITEN merupakan milik penuh Tenaga Nasional Berhad iaitu syarikat utiliti utama negara dan terbesar di Asia Tenggara. Antara program yang ditawarkan ialah kejuruteraan, teknologi maklumat dan sains komputer.

So, untuk adik-adik yang masih memilih-milih universiti, bolehlah masukkan UNITEN di dalam senarai.

3.45 Petang

Saya sampai di Hotel Residence. Tak tahulah orang lain, tetapi bagi saya yang kali pertama menjejakkan kaki di hotel ini, saya sedikit terpinga-pinga : ”Ni lobi ke apa ye?” Menggunakan tinted glass, lobi ini tiada langsung petunjuk (seperti papantanda, bunga atau lapik kaki ”welcome”) mengisytiharkan bahawa ia adalah lobi sehinggalah kita menolak daun pintunya...

Waaaaah ....


Lobinya berkonsep moden, luas dan simple. Urusan di kaunter cepat. Sebut sahaja nama dan jabatan, terus dapat kunci bilik..Kira cekaplah.

Bilik okay, kemas dan bersih. Semua ada – aircond yang individually controlled, telefon IDD, televisyen warna dengan saluran astro, kemudahan membuat teh dan kopi, peti ais mini dan sejadah. (Yang terakhir ini, kena thumb up!)
Paling best dapat buah. (Diaorang tersilap letak kut ….)

Thursday, June 17, 2010

Cuti-cuti di Pulau Mutiara : Hari Ketiga

12 Jun 2010 (Sabtu)
8.30 Pagi
Hari ketiga dan terakhir di Pulau Mutiara .... Kami sarapan di restoran hotel. Variety makanannya kira okay. Makanan kegemaran saya cereal, omlette / telur setengah masak, roti bakar dan salad, diakhiri dengan kopi kosong. Anak-anak : cereal dan jus oren.

Hajat di hati nak bermain-main di pantai selepas sarapan, tetapi disebabkan pantainya nun jauh di bawah (mesti menuruni berpuluh-puluh anak tangga untuk ke situ), terpaksalah dibatalkan begitu sahaja impian tersebut. Sebaliknya kami terus kembali ke bilik untuk berehat dan mengemas barang.

10.30 Pagi
Selamat tinggal Hotel Hydro! Selamat tinggal The Palm Cafe! Selamat tinggal Bubble Room! Nak datang lagi tak? Insya Allah, kalau ada rezeki ....



Kami singgah sebentar di Padang Kota Lama berdekatan dengan Kota Cornwallis. Kota ini didirikan pada tahun 1786 dan dinamakan sempena nama Charles Cornwallis, Gabenor Jeneral Inggeris di India ketika itu. Sayang kami tidak berkesempatan untuk melawat kota tersebut kerana perlu segera kembali ke Kuala Lumpur. Lain kali, insya Allah. (Namun, hati kami tetap terubat sebab dapat melihat laut yang terbentang luas).

Di samping pemandangan lautnya yang sangat mempesonakan, Pulau Pinang juga mempunyai kelebihan yang sangat ketara iaitu bangunan-bangunan agam tinggalan kolonial yang masih teguh berdiri dan terpelihara. Di antaranya bangunan ini :

Saya berharap, jika berpeluang lagi ke pulau ini, saya dapat melawat : Pertama : Masjid Kapitan Kling. (dibina pada tahun 1801, nama sempena nama pemimpin masyarakat Islam di Pulau Pinang ketika itu iaitu Cauder Mydin Merican yang lebih dikenali sebagai Kapitan Kling), kedua : Muzium Islam Pulau Pinang (rumah agam kepunyaan Syed Muhammad al-Attas, seorang saudagar rempah dari Aceh, dibina sekitar tahun 1860an)
2.30 Petang

Kami sudah sampai di Ulu Bernam, Selangor. Hujan sedang turun dengan lebatnya ...
3.30 Petang

Home Sweet Home .....

Wednesday, June 16, 2010

Cuti-cuti ke Pulau Mutiara : Hari Kedua

11 Jun 2010 (Jumaat)

9.30 Pagi
Ke Muzium Permainan …. Ini tempat idaman anak-anak saya. Saya sendiripun teruja untuk melihat macam mana roman muzium ni. Diberitakan muzium ini merupakan muzium permainan yang pertama dan terbesar di Malaysia, malah di dunia. Ia mempamerkan lebih 100,000 permainan bernilai lebih kurang RM 20 juta. Wow !!!

Berpandukan peta dan maklumat yang disediakan oleh pihak hotel, kamipun mencari lokasi muzium tersebut. Pusing tiga kali, tak jugak jumpa-jumpa. Akhirnya terpaksa tanya peta yang boleh bercakap (manusialah tu). Rupa-rupanya dekat je dengan hotel penginapan kami. (Awat tak habaq siang-siang? Dah hang tak tanya, padan muka…)


Muzium Permainan tu terletak di hadapan Copthorne Orchid Hotel di Tanjung Bungah. Memang banyak permainan di situ. Jenuhlah pulak saya memujuk anak bongsu saya yang ingatkan permainan tu boleh dibeli. Ada permainan Star Wars, Harry Potter, Lord of the Ring, Spiderman, Fantastic Four. Kartun Walt Disney tak payah ceritalah, semua ada. Yang paling mahal ialah robot Gundam setinggi 1.8 meter dari Jepun yang berharga RM 9,000. Pendek kata anak-anak puas hatilah …


2.00 Petang

Kami mengambil keputusan untuk pergi ke Balik Pulau. Di papan arah, Balik Pulau terletak 22 km sahaja daripada Batu Feringgi. Rupa-rupanya punyalah jauh. Mungkin sebab jalannya yang berliku dan sempit serta hutan di kiri kanan (Hutan simpan katakan). Terasa macam naik Cameron Highland pulak.

Balik Pulau terletak di belakang Bukit Bendera dan mengadap Lautan Hindi serta Selat Melaka. Kawasan ini pernah gempar bila dilanda ombak besar Tsunami pada 26 Disember 2004.
Dek jalannya yang bengkang bengkok, anak tekak mula rasa lain. Segalanya terubat bila kami berhenti untuk makan durian. Rasa durian tembaganya, fuh... tak terkata sedapnya. Tak percaya, tengok gambar ni :


5.00 Petang

Saya menghabiskan masa di The Palm Cafe yang terletak di aras bawah hotel, betul-betul mengadap kolam renang. Sambil melayari internet, saya memerhati anak-anak saya keluar masuk kolam. Kegembiraan mereka adalah kebahagiaan saya. Terbayang masa kecik-kecik dulu, kita tidak pernah ada peluang begitu. Bila sudah ada peluang sikit, terasa terlalu dewasa pulak nak berenang di khalayak ramai begitu!

8.00 Malam


Sekali lagi kami meronda-ronda di Pasar Malam Batu Feringgi. Kali ini kami singgah untuk makan malam di sebuah restoran makanan Arab Lubnan. Adui ... mahalnya nasi beriyani di situ. Jus buah-buahannya RM10.00 segelas! Biar betul!!! Last-last kami minum air mineral je. Di samping murah, ia baik untuk kesihatan (Ini sebab ketiga dan keempat, yang pertama bajet, yang kedua tidak logik langsung air boleh semahal itu)

Selepas makan, kami shopping sikit di gerai berhampiran. Tidak ada yang menarik perhatian nampaknya ....

10.00 Malam


Kami memerapkan diri di bilik sambil menonton Piala Dunia perlawanan pembukaan antara Afrika Selatan dan Mexico, ditemani kopi dan biskut .....

Monday, June 14, 2010

Cuti-cuti ke Pulau Mutiara : Hari Pertama

10 Jun 2010 (Khamis)

8.30 PagiDah siap, masa untuk bergerak. Alhamdulillah, kami berjaya bertolak sepertimana yang dirancang iaitu sebelum pukul 9.00 pagi. Lima jam perjalanan ke Pulau Pinang. Bermakna kami akan sampai di sana sekitar 2.00 petang, sedang elok untuk check-in.

Sebelum apa-apa, kami singgah dulu di gerai menjual kuih di tepi jalan. Sedikit karipap, pulut panggang dan apam warna warni untuk alas perut.

11.30 Pagi


Kami berhenti rehat di Hentian Bukit Gantang. Bukit Gantang terletak di daerah Taiping, Perak Darul Redzuan. Mendapat nama sempena penemuan gantang iaitu sejenis alat untuk mengukur beras atau padi di situ.

Bukit Gantang merupakan sebuah kawasan pertanian khususnya padi, getah, kelapa sawit dan buah-buahan. Ia mendapat julukan 'Tropical Fruit Village'. Tidak hairanlah, bila dibuka saja pintu kereta, tercium harum semerbak bau buah durian. Selain Raja Buah, bermacam-macam buah terdapat di situ – jambu biasa, jambu madu, ciku, betik, nenas dan lain-lain. (Banyak lagi sebenarnya, tetapi saya tak tahu namanya dan tak pernah makan)

12.45 Tengahari

Kami sudah berada di atas Jambatan Pulau Pinang. Wah ..... cantiknya ..... Bagi anda yang ingin mengetahui serba sedikit tentang jambatan ini : Jambatan Pulau Pinang merupakan jambatan yang terpanjang di Asia Tenggara dan ketiga terpanjang di dunia. (Hebat kan, negaraku boleh!) Panjangnya 13.5 km, 8.4 km daripadanya merentasi laut. (Sebab tu pemandangannya tersangatlah cantik, laut lepas saujana mata memandang). Jambatan ini menghubungkan tanah besar Semenanjung di Seberang Perai dan Lebuhraya Jelutong di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Satu lagi keajaiban jambatan ini ialah tempoh pembinaan yang singkat iaitu tiga tahun sahaja. Kerja pembinaan (oleh syarikat dari Korea) bermula pada tahun 1982 dan siap pada tahun 1985. Kosnya RM 850 juta (banyak tu .....)

2.00 Petang

Kami sampai di Hotel Hydro yang terletak di Batu Feringgi. Sepatutnya kami boleh sampai lebih awal, tetapi disebabkan tersesat, kami sampai sedikit lambat. Bayangkan dua kali pusing, tak jumpa-jumpa jugak jalan ke Batu Feringgi. Alhamdulillah, akhirnya, semasa berhenti di satu traffic light, kami berjumpa dengan dua orang uncle berbangsa Cina yang menaiki sebuah trak satu tan. Uncle itu meminta kami mengekorinya di belakang hinggalah sampai ke simpang Batu Feringgi. Thank you very much uncle! Kalaulah semua warga Malaysia sebaik uncle ini, alangkah bahagianya hidup di negara ini .....

3.00 Petang
Sejam kemudian? Yep! Kami terpaksa menunggu lebih setengah jam sebelum dapat bilik. Bayangkan dalam keadaan penat yang teramat, kami dipaksa menunggu begitu lama. Alasannya bilik belum siap sedangkan kami sudah tempah lebih seminggu. Sabar jelah .....



8.30 Malam


Kami meronda-ronda di Batu Feringgi. Batu Feringgi terletak di sepanjang jalan pesisiran barat laut bandar Georgetown dan merupakan antara tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Suasana malam di sini memang cantik dan meriah. Hotel dan restoran mewah sama naik dengan gerai-gerai yang menjual pelbagai kraftangan dan pakaian. Menurut sumber, terdapat lebih 1,000 gerai di sini. (Bagi yang kaki shopping, jumlah sebanyak ini tidak menjadi masalah kerana suasana di sini begitu mengasyikkan hingga tak terasa penat) Tempat ini turut dilanda ombak besar semasa tragedi Tsunami pada 26 Disember 2004.

Kami tak beli apa-apapun, sekadar cuci mata .....

10.30 Malam

Kami balik ke hotel. Kami tak naik terus ke bilik sebab ingin bersantai di lobi hotel yang sangat luas dan terhias cantik (Ada persembahan nyanyian live, tapi tak sanggup nak menonton lama). Setelah bergambar, saya membawa anak-anak ke Bubble Room di aras bawah. Bubble Room adalah bilik untuk istirehat. Di situ ada sedikit permainan terutama untuk kanak-kanak. Ada juga rak buku tetapi kebanyakan novelnya dalam Bahasa Perancis. (Dalam Bahasa Inggeris pun terkulat-kulat nak baca, apatah lagi dalam Bahasa Perancis, mau terseliuh lidah dibuatnya......)