Wednesday, August 4, 2010

Musafir ke Utara Terengganu : Hari Terakhir

28 Julai 2010 (Rabu)

7.00 Pagi

Kami bersiap-siap untuk kembali ke ibukota. Mesyuarat selesai tengahari semalam. Tetapi kerana tidak mahu bermalam dalam perjalanan, kami mengambil keputusan untuk balik pagi ini. Rindu pada keluarga mula menggamit rasa.

7.15 Pagi

Kami mula bergerak meninggalkan ILIM Wilayah Timur. Sebenarnya banyak lagi yang belum kami terokai di daerah ini. Pekannya kecil sahaja. Mungkin bagi ramai orang, tiada yang menarik. Tetapi untuk orang yang suka berjalan seperti saya, setiap tempat ada keistimewaannya yang tersendiri. Insya Allah, saya bercadang untuk datang lagi ke sini. Bila ye .....

Kami menuju ke Kampung Shukor, Dungun.

Dipercayai bahawa daerah Dungun mendapat namanya daripada nama pokok Dungun, sejenis pokok yang banyak tumbuh di kawasan paya air tawar. Dikatakan juga Dungun dibuka oleh pendatang dari Pagar Ruyung, Sumatera. Kepercayaan ini berdasarkan fakta di mana kebanyakan orang Dungun pada suatu masa dahulu berasal dari Kepulauan Indonesia Nama kampung-kampung di Dungun juga terdapat di Indonesia. Contohnya Kampung Binjai, Kampung Bemban, Kampung Gombang dan sebagainya.

10.30 Pagi

Kami sampai di Kampung Shukor. Memang terasa jauhnya. Kalau tidak kerana Sha, rakan sekerja saya, saya mungkin tidak akan sampai ke sini. Rumah Sha dikelilingi oleh kebun buah-buahan. Ada durian, rambutan, manggis, langsat, duku, tampoi dan lain-lain. Tuan Haji Hamzah, ayah Sha menceritakan bahawa Kampung Shukor agak berbeza daripada kampung-kampung lain di tempat itu kerana rumah penduduk-penduduknya tidak dibina atas lot. Sebaliknya di dalam kebun milik sendiri. Oleh sebab itu, jarak sebuah rumah daripada rumah yang lain jauh-jauh.

Terima kasih pada Sha dan keluarga kerana memberi layanan yang tersangat baik kepada kami. Mula-mula kami dihidang dengan laksam Terengganu yang Makcik buat sendiri. Emmm... sedapnya ....

Selepas itu, kami menikmati pula keenakan buah durian, manggis, rambutan dan tampoi sampai seeh (kenyang sangat). Saya tidak merakamkan kenangan manis itu dengan kamera sebab terasa segan pada Tuan Haji Hamzah dan isteri. Rasa rugilah pulak .....

1.30 Tengahari

”Ummi, nak gi ngai (sungai),” rengek Khaira, anak perempuan Sha. Jom! Kita pergi ramai-ramai!

Tanpa bantahan dan tanpa perancangan awal, kami terus pergi ke ngai. Sebenarnya ngai yang dimaksudkan ialah air terjun yang terletak tidak jauh daripada rumah Sha. Cantiknya ....








2.00 Petang

Dengan rasa sedikit terkilan sebab tidak dapat mandi di air terjun Kampung Shukor, kami bertolak balik ke ibu negara. Sampai di pejabat kira-kira pukul 6.30 petang. Hingga sekarang, kami masih terkenang-kenang lazatnya buah-buahan dan nyamannya pemandangan di air terjun Kampung Shukor, Dungun, Terengganu ....