Thursday, November 18, 2010

Seperempat Purnama dI Kampung Halaman 3



Ini adalah Sungai Limbang. Sungai Limbang merupakan antara empat sungai utama di Bahagian Limbang selain Sungai Pandaruan, Sungai Trusan dan Sungai Lawas. Kewujudan sungai ini menambah keindahan dan kedamaian bandar ini terutama pada waktu senja.

Pihak Majlis Perbandaran Limbang ada membina waterfront dan tempat makan-makan di tebing sungai ini. Di sini juga biasa diadakan regatta atau lumba perahu. Kalau saya balik kampung, saya suka datang ke sini, mentadabbur alam semulajadinya dan merasai besarnya ciptaan Allah SWT.

Sungai inilah yang menjadi laluan utama apabila saya ingin ke Kuching via Brunei Darussalam semasa di sekolah menengah rendah dulu. Kami pergi secara berkumpulan, naik bot laju atau speed boat. Selalunya arwah ibubapa saya menghantar saya dan adik-adik hingga ke Lapanganterbang Bandar Seri Begawan.



Ini adalah Kampung Seberang Kedai. Dinamakan demikian kerana ia berada di seberang sungai sebelah sana. Sebenarnya tidak banyak kenangan saya bersama kampung ini kerana saya lahir dan membesar di daratan sebelah sini. Satu lagi faktor ialah saya tidak minat mandi sungai dan tidak pandai berenang (Rasa menyesallah pulak...) Seingat saya, saya pernah ke sana dua atau tiga kali kerana arwah bapa ada kebun di situ. Saya juga pernah mempunyai seorang guru yang berasal dari kampung itu iaitu Cikgu Shamsuddin.

Dulu-dulu, pada hari raya, kampung inilah yang paling cantik dan meriah. Cahaya pelita dan lampu warna warni dipantul oleh air sungai menjadikan suasananya seumpama fiesta.


Ini adalah hospital lama Limbang, terletak bertentangan dengan Kampung Seberang Kedai. Setelah hospital yang baru siap, bangunan ini dijadikan stor ubat-ubatan. Semasa kecil dulu, setiap kali melintasi bangunan ini, hati pasti berdebar-debar. Biasalah budak-budak, sering dimomok-momokkan dengan cerita yang bukan-bukan (pontianaklah, mayat tak berkepalalah...eeeeeeeee).


Ini adalah klinik gigi kerajaan, terletak bersebelahan dengan hospital lama. Masa kecil dulu, saya biasa menemani arwah ibu ke sini. Saya tidak ingat sama ada saya pernah mencabut gigi di sini atau tidak. Selalunya ”misi” datang ke sekolah.


Dalam deretan kedai ini, ada sebuah kedai buku yang merupakan satu-satunya kedai buku pada zaman kecil saya iaitu See Boon Bookstore. Di sinilah kami membeli buku teks, buku tulis, alatulis dan seumpamanya. Kini dengan beredarnya masa, kedai itu masih wujud lagi tetapi ia tidaklah segah dulu kerana terdapat saingan daripada kedai-kedai buku lain yang lebih besar dan moden.


Ini adalah kedai kasut Bata. Rasa-rasanya sekarang ada lagi kedai kasut Bata yang lain di Limbang, tetapi kedai yang ini cukup nostalgik. Seperti See Boon Bookstore tadi, ia merupakan satu-satunya kedai seumpamanya pada zaman itu. Susun aturnya tidak berubah, bahkan taukeynya masih taukey yang dulu. Beliau masih sihat, cuma pendengarannya kini kurang.

Zaman saya kecil dulu, kami jarang bertukar alatan sekolah. Beg dan kasut hanya ditukar baru apabila ia sudah koyak dan lunyai (kira-kira tak boleh nak baiki dah). Justeru, kami hanya ke kedai ini dua atau tiga tahun sekali.


Ini adalah Lapanganterbang Limbang yang lama. (Sekali tengok macam perhentian bas je) Memang kecil dan simple. Kalau kapalterbang sudah sedia untuk dinaiki, tidak perlu announce guna mikrofon. Sebaliknya pekerja airport keloi je : ”Miri! Miri! (menjimatkan pe...)


Ini jenis kapalterbang yang digunakan pada masa itu – Twin Otter. Mengikut sejarah, Twin Otter berasal dari Kanada, mula dibangunkan pada tahun 1964 dan penerbangan pertamanya pada tahun 1965 (Saya dilahirkan pada tahun yang sama)

Biasanya anak kapal Twin Otter seramai dua orang sahaja dan boleh membawa maksimum 20 orang penumpang. Sekarang laluan Limbang – Miri menggunakan kapalterbang yang lebih besar. Twin Otter hanya tinggal kenangan untuk kami.



Ini adalah air terjun Bakol, tempat rekreasi “wajib ziarah” setiap kali saya balik kampung. Air terjunnya tidaklah secantik dan setinggi air terjun lain yang pernah saya kunjungi tetapi cukup untuk menyegarkan perasaan. Paling seronok ialah anak-anak.

Pemandangan di sini tidak banyak berubah daripada dulu. Sayapun hairan mengapa pihak berwajib tidak mengambil inisiatif untuk mengindahkannya atau menyediakan kemudahan kepada pengunjung. Dua kali fikir, elok juga ia dikekalkan begitu. Natural beauty….



Alhamdulillah, pada hari terakhir, saya sempat membeli tapai ini di pasar tamu. Sedapnya…. Secara peribadi, saya bangga mengaku bahawa tapai Limbang adalah tapai yang paling sedap di dunia!


Inilah pasar tamu tempat saya membeli tapai di atas. Tamu ini paling meriah pada hari Khamis dan Jumaat. Di sinilah boleh didapati pelbagai jenis sayuran, buah-buahan dan produk tempatan/kampung. Ia turut dikunjungi oleh penduduk negara jiran iaitu Brunei Darussalam. Antara barang jualan di sini ialah ikan tahai salai dan beras Bario.

Semasa kecil, pada hujung minggu atau cuti sekolah, saya ditugaskan membeli ikan di sini. (Ketika itu, masih bangunan lama). Saya menunggang basikal bapa atau kakak. Seringgit ikan tamban cukup untuk kami sekeluarga untuk hari itu ...

15 Oktober 2010

Saya sekeluarga kembali ke Kuala Lumpur. Selamat tinggal, Limbang. Insya Allah, kalau ada rezeki, kediaku akan balik lagik.....