Wednesday, February 17, 2010

PANAS !!!

"Ummi, ada kuching masuk rumah!", jerit Ithar sekembalinya saya dan keluarga ke rumah malam tadi. "Ummi buka tingkap bilik tidur Ummi tadi. Mungkin kucing itu masuk melalui situ. Ummi nak bagi udara masuk," jelas saya.

Cuaca agak panas tiga empat hari kebelakangan ini memang terasa peritnya. Duduk di dalam rumahpun berpeluh-peluh. Ketika menyapu dan mengelap lantai petang semalam, peluh menitik-nitik.

Membaca suratkhabar hari ini mengesahkan lagi apa yang saya rasai. Malaysia panas! Kawasan yang paling panas ialah Chuping, Perlis iaitu setinggi 36 darjah Celsius, manakala tempat saya adalah yang terpanas di Lembah Klang iaitu 34 darjah Celsius.

Berbagai pandangan diberikan untuk menjustifikasikan "kepanasan" ini. Bagi mereka yang pernah melancong atau belajar di Timur Tengah khususnya di Mesir, perkara sebegini tidaklah terlalu luarbiasa. Semasa saya menuntut di sana, pernah suatu ketika suhu pada musim panas mencecah hingga 45 darjah Celsius. Namun di negara yang biasanya "biasa" sepanjang tahun seperti Malaysia, kepanasan sebegini mengundang resah.

Ada pihak yang mengatakan bahawa fenomena begini adalah biasa pada awal-awal tahun begini. Pakar meramalkan ia akan berakhir menjelang Mac. Ada pula yang berpendapat ia adalah kesan daripada pemanasan global akibat lapisan ozon yang semakin menipis.

Islam mengajar kita cara sebaiknya menghadapi situasi sebegini dengan mensyariatkan Solat Sunnat Istisqa' atau solat sunnat meminta hujan. Meneliti kaifiyyat (cara) menunaikan solat ini mendekatkan kita dengan ar-Rahman, menginsafi sejauhmana kita memainkan peranan sebagai khalifah Allah swt di muka bumi dan bagaimana kelalaian mendatangkan bukan sahaja kemudharatan kepada orang yang lalai tetapi tempiasnya turut dirasai oleh mereka di sekelilingnya.

Moga hujan dan panas menjadikan kita hamba Penciptanya yang soleh dan bertambah soleh. Amin ...

Tuesday, February 9, 2010

Jadilah Musafir Lalu

"Puan Sumaiyah (bukan nama sebenar) akan dipindahkan ke bahagian lain bermula 16hb," beritahu pembantu saya sebaik sahaja saya memulakan tugas pada pagi Isnin itu. Satu lagi berita yang agak mengejutkan pada awal-awal tahun begini. Sumaiyah pembantu kanan di cawangan saya. Dia seorang yang tegas, berdisiplin dan cekap. Pasti akan terasa kehilangannya.

Berpindah dan bertukar merupakan perkara biasa dalam dunia bekerja. Tidak ada seorangpun, terutama sekali penjawat awam yang berani meramalkan bahawa dia akan berada di tempat yang disukai untuk suatu tempoh yang lama atau hingga dia bersara.

Saya juga melalui pengalaman yang sama. Semasa kembali ke tanahair, saya menggambarkan saya akan terus bekerja di negeri tanah tumpah darah saya iaitu Sarawak, tetapi perkara sebaliknya berlaku. Saya ditukarkan ke ibu negara setelah kurang empat tahun berkhidmat.

Pertemuan dan perpisahan adalah adat dunia. Tiada yang kekal melainkan Allah Yang Maha Berkuasa. Menyedari hakikat ini akan banyak menginsafkan kita kepada nilai dunia ini. Benarlah sabda Rasulullah saw yang bermaksud, "Jadilah kamu di dunia ini seolah-olah kamu adalah musafir lalu."

Mengapakah kita disamakan dengan musafir? Pastinya kerana kita hanya lalu di dunia ini dan akhirnya kita akan kembali jua kepada-Nya. Tidak kira berapa umur kita semasa di sini, pendek atau panjang, yang pasti kita akan mati. Di sanalah negeri kita yang abadi.

Musafir yang bijak :
  • ... tidak akan membawa barangan melebihi keperluannya kerana dia tahu ia akan hanya memenatkannya pada perkara yang tidak perlu ;
  • ... tidak akan leka memetik bunga di kiri kanannya kerana dia tahu itu hanya akan melambatkan perjalanannya ;
  • ... tidak akan melakukan perkara-perkara yang tidak menguntungkannya di destinasi yang ditujuinya, apatah lagi perkara yang memudharatkannya.

Semoga kita semua tergolong ke dalam kumpulan orang-orang yang bijak sebijak musafir yang bijak...

Friday, February 5, 2010

Rindu Tiada Bertepi

"Rancangan ke Mesir terpaksa dibatalkan atas masalah-masalah teknikal," kata bos saya pagi itu. "Muktamad ke bos?" tanya saya, masih mengharap apa yang dikatakan hanya andaian.

"Ya". Perkataan itu betul-betul meruntun perasaan saya. Petang itu, setelah selesai solat fardhu 'Asar di musolla pejabat, saya menadah tangan sambil menangis merintih kepada ar-Rahman, "Ya Allah! Andai pembatalan ini merupakan yang terbaik di sisi-Mu untuk hamba-Mu ini, aku bersyukur. Kurniakanlah aku rezeki yang lain hingga aku boleh ke sana juga bersama-sama suami dan anak-anakku."

Berita sedih yang membuka tirai 2010 memang menyebabkan mood saya hilang. Sayapun tidak tahu mengapa saya menjadi rindu yang bersangatan pada Mesir dan Jordan.