Friday, August 26, 2011

SOLAT SUNNAT HARIRAYA

“Kadang-kadang saya terfikir, nasib Krismas dan Hari Raya tidak banyak berbeza. Kedua-duanya ditunggu oleh penganut agama masing-masing, tetapi bukan untuk membesarkan Tuhan. Krismas dan Hari Raya hanyalah sebuah pesta tahunan. Krismas dan Hari Raya adalah hari syahdu bukan pada muhasabah diri yang berdosa atau perpisahan dengan Ramadan yang meragut hari-hari keampunan. Krismas dan Hari Raya hanyalah hari rindu warga kota menebus dosa meninggalkan kekeluargaan dan persaudaraan selama ini.
Tangisan bukan tangisan iman. Senyum ketawa tiada kena mengena dengan Tuhan. Sama ada Kristian dengan Krismasnya, atau Muslim dengan Hari Rayanya, agama sudah diadatkan.”
Petikan di atas saya ambil daripada blog saifulislam.com. Saya membacanya berulang-ulang setiap kali Ramadhan beransur pergi dan kemeriahan 1 Syawal semakin terasa. Sedikit sebanyak ia menerbitkan semangat untuk menginsafi bahawa ‘Idulfitri adalah ibadat dan bukan adat. Untuk ke arah itu juga, saya menyelak semula buku-buku Fiqh, dengan harapan ia dapat refresh kefahaman diri mengenainya. Saya membuat catatan dan memuatkannya dalam post ini. Ala-ala menyahut seruan: “Sharing is caring”.
Pengertian ‘Id (Hariraya)
Orang Arab menyebut hariraya sebagai ‘id. ‘Id berasal daripada perkataan ‘aud yang bermakna kembali. Ia dinamakan demikian sama ada disebabkan ia berulang-ulang kembali pada setiap tahun, kembalinya kegembiraan atau kerana banyaknya nikmat Allah SWT kepada hamba-hambanya pada hari tersebut.
Sejarah Pensyariatan Solat Hariraya
Solat Sunnat Hariraya (‘Idulfitri dan ‘Iduladha) disyariatkan pada tahun kedua Hijriah iaitu pada tahun yang sama zakat fitrah mula diwajibkan. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri, katanya:
“Rasulullah SAW keluar pada hariraya puasa dan hariraya Haji menuju ke tempat sembahyang. Perkara pertama yang dilakukan ialah solat. Kemudian baginda berpaling mengadap orangramai yang sedang duduk dalam saf-saf mereka. Lalu baginda memberi nasihat dan mengeluarkan perintah kepada mereka. Sekiranya baginda ingin memilih satu kumpulan daripada mereka untuk dicetuskan bagi tujuan berjihad, baginda akan melakukannya. Atau jika baginda ingin memerintahkan supaya melakukan sesuatu, baginda akan memerintahkan, kemudian baginda SAW pun beredar.”
Hukum Solat Hariraya

Hukum Solat Hariraya ialah Sunnat Muakkad iaitu sunnat yang sangat-sangat digalakkan kita melakukannya. Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan Solat Hariraya sejak ia disyariatkan sehinggalah baginda wafat. Para sahabat juga melakukannya secara berterusan.

Ia sunnat dilakukan secara berjamaah. Walau bagaimanapun, jika dilakukan secara sendirian, solat tetap sah.

Solat Hariraya dituntut ke atas setiap mukallaf sama ada lelaki atau perempuan, orang bermukim atau musafir, orang merdeka atau hamba, kecuali bagi perempuan yang berhias atau yang boleh menimbulkan fitnah. Mereka disunnatkan mendirikan Solat Hariraya di rumah.

Tidak disunnatkan azan dan iqamah pada Solat Hariraya, memadai dengan seruan “as-Solatul Jami’ah”.

Waktu Solat Hariraya

Waktu untuk Solat Hariraya bermula dengan terbit matahari hingga gelincirnya (masuk waktu Zohor). Waktu yang paling afdhal (utama) ialah ketika matahari sudah naik sekadar panjang lembing (tinggi segalah).

Disunnatkan melewatkan sedikit Solat Sunnat ‘Idulfitri untuk memberi ruang kepada mereka yang belum mengeluarkan Zakat Fitrah. Bagi Solat Sunnat ‘Iduladha pula, sunnat disegerakan supaya acara berkorban boleh dilakukan lebih awal.

Cara Solat Hariraya

Solat Hariraya terdiri daripada dua rakaat. Pada rakaat pertama, selepas Takbiratul Ihram dan Doa Iftitah, hendaklah Takbir sebanyak tujuh kali. Ketujuh-tujuh Takbir itu dipisahkan antara satu sama lain sekadar satu ayat yang sederhana – disunnatkan membaca Tasbih : “SubhanalLah, WalhamdulilLah, wa La ilaha ilLah, WalLahu Akbar”. Setelah itu, membaca Isti’azah, al-Fatihah dan satu Surah atau beberapa ayat.

Dalam rakaat kedua pula, selepas bangun daripada sujud kedua, hendaklah Takbir sebanyak lima kali, tidak termasuk takbir semasa bangun tadi. Kemudian Isti’azah dan seterusnya hingga salam.

Disunnatkan membaca Surah al-A’la pada rakaat pertama dan Surah al-Ghashiyyah pada rakaat kedua berdasarkan sunnah Rasulullah SAW.

Semua Takbir tambahan di atas adalah sunnat. Ini bernakna jika terlupa melafazkannya, tidak perlu diulang dan solat tetap sah.

Tempat Solat Hariraya

Solat Hariraya boleh didirikan di masjid atau di padang yang luas. Tempat yang paling afdhal ialah yang boleh menampung lebih ramai jamaah.

Walau bagaimanapun, jika masjid dan padang boleh menampung jumlah jamaah yang sama, solat di masjid adalah lebih utama sesuai dengan kedudukannya yang mulia dan keadaannya yang lebih tenang dan selesa.

Takbir Hariraya

Pada ‘Idulfitri, sunnat bertakbir sejak tenggelam matahari pada hari terakhir Ramadhan hingga imam Takbiratul Ihram untuk Solat Hariraya. Pada ‘Iduladha pula, masa bertakbir dipanjangkan hingga tenggelam matahari pada hari ketiga Tasyriq iaitu 13 Zulhijjah.

Hukum sunnat bertakbir meliputi lelaki dan perempuan, orang bermukim dan musafir. Cuma lelaki disunnatkan meninggikan suara dan perempuan tidak disunnatkan berbuat demikian.

Adab-adab Pada Hariraya

1. Mandi, berwangi-wangian dan memakai pakaian baru / terbaik yang dimiliki.
2. Datang awal ke masjid.
3. Makan sedikit sebelum keluar untuk solat pada pagi ‘Idulfitri. Pada ‘Iduladha pula, sunnat makan selepas solat.
4. Pergi ke tempat solat melalui suatu jalan dan kembali ke rumah melalui jalan yang lain.

WalLahu a’lam.

S E L A M A T  H A R I R A Y A,  
M A A F  Z A H I R  D A N  B A T I N

Wednesday, August 24, 2011

ZAKAT FITRAH




Romantic Sunset Lovely Evening
Terbit dan tenggelamnya matahari bukti kekuasaan Allah SWT

 “Assalamu’alaikum!” Saya menoleh bila terdengar ada orang memberi salam. Rupa-rupanya rakan sepejabat saya, Zahrain. Zahrain mendapat tauliah untuk menjadi amil. Setelah diberi kelulusan untuk bercuti, Zahrain akan berada di sebuah kompleks membelibelah di ibu negara untuk mengutip zakat fitrah – satu kemudahan yang sangat-sangat memberi kesenangan kepada ummat Islam untuk menunaikan tanggungjawab tersebut. Kalau shopping boleh, takkan mengeluarkan zakat fitrah tak boleh kan?

Apakah Pengertian Zakat Fitrah?

Zakat firah dalam bahasa ‘Arab disebut Zakat di-Fitr (zakat berbuka). Dinamakan demikian kerana ia diwajibkan sebab berbuka selepas sebulan berpuasa. Ia juga disebut zakat badan kerana ia menyucikan, membersihkan dan menyuburkan amalan jiwa.

‘Ulamak mendefinisikan zakat fitrah sebagai harta pada kadar tertentu yang wajib dikeluarkan oleh setiap mukallaf dan orang yang di bawah tanggungannya disebabkan tenggelamnya matahari pada hari terakhir bulan Ramadhan dengan syarat-syarat tertentu.

Bilakah Zakat Fitrah Mula Diwajibkan?

Zakat fitrah difardhukan pada tahun kedua hijrah iaitu pada tahun mula diwajibkan puasa bulan Ramadhan.

Apakah Dalil Pensyariatan Zakat Fitrah?

Dalil wajib mengeluarkan zakat fitrah ialah hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin ‘Umar RA yang berkata, “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah sebab bulan Ramadhan ke atas manusia sebanyak segantang tamar atau segantang gandum sama ada orang itu merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan, kecil atau besar daripada kalangan orang Islam.”

Apakah Syarat-syarat Wajib Zakat Fitrah?

Tiga syarat mewajibkan zakat fitrah iaitu:

1.  Islam

Orang kafir tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah. Hukum ini berdasarkan hadith di atas di mana dinyatakan “… daripada kalangan orang Islam”.

2. Tenggelam matahari pada hari terakhir bulan Ramadhan

Orang yang meninggal dunia sebelum tenggelam matahari pada hari tersebut tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah, tetapi jika dia meninggal dunia selepas tenggelam matahari, wajib mengeluarkan zakat fitrah.

Bagi bayi yang baru lahir pula – Sekiranya dia lahir sebelum tenggelam matahari, dia wajib dikeluarkan zakat, tetapi jika dia lahir selepas terbenam matahari, tidak wajib.

3. Berkemampuan

Orang yang tidak berkemampuan tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah. Maksud berkemampuan ialah memiliki harta yang melebihi keperluan makan untuk diri dan mereka yang di bawah tanggungan pada malam dan siang hari raya.

Sekiranya harta cukup untuk malam dan siang hari raya, tetapi tidak mencukupi untuk hari-hari berikutnya, tetap wajib mengeluarkan zakat fitrah.

Siapakah yang Dimaksudkan Orang di Bawah Tanggungan?

Orang di bawah tanggungan ialah:

1. Isteri

2. Anak (dan ke bawah) yang kecil atau anak yang sudah besar tetapi belum boleh berusaha sendiri untuk mencari nafkah

3. Ibubapa (dan ke atas) yang miskin

4. Khadam yang tidak diberi gaji. Sekiranya diberi gaji, tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah untuknya.

Jika orang yang berada di bawah tanggungan itu kafir, tidak wajib dikeluarkan zakat fitrah, tetapi tetap wajib diberi nafkah.

Tidak sah mengeluarkan zakat fitrah bagi pihak orang yang bukan di bawah tanggungan kecuali dengan izinnya dan sebagai wakil.

Bolehkah Zakat Fitrah Diberikan kepada Orang yang di Bawah Tanggungan?

‘Ulamak berselisih pendapat mengenai persoalan ini:

Pendapat 1 : Zakat fitrah tidak boleh diberikan kepada orang yang di bawah tanggungan kerana memberi nafkah kepada mereka adalah wajib. Orang yang wajib diberi nafkah tidak boleh menerima zakat daripada orang yang menanggung nafkahnya.

Pendapat 2 : Imam Malik mengatakan boleh memberi zakat fitrah kepada datuk dan cucu.

Boleh, bahkan afdhal memberi zakat fitrah kepada adik-beradik, bapa saudara, ibu saudara dan anak-anak mereka sekiranya mereka miskin.

Apakah Jenis dan Kadar Zakat Fitrah?

Jenis dan kadar zakat fitrah ialah segantang makanan asasi bagi sesebuah negeri. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Said al-Khudri RA yang berkata, “Kami telah mengeluarkan zakat pada zaman Rasulullah SAW pada hari raya fitrah sebanyak segantang daripada makanan. Makanan kami ialah gandum, anggur kering, keju dan tamar.”

Satu gantang yang digunakan oleh Rasulullah SAW menyamai lebih kurang 2.4 kilogram pada sistem metrik.

Dalam Mazhab Syafi’i, zakat fitrah wajib dikeluarkan dalam bentuk makanan asasi dan tidak memadai jika dikeluarkan dalam bentuk nilaiannya. Sungguhpun begitu, berdasarkan keadaan semasa, harus mengambil pendapat Mazhab Hanafi yang mengatakan boleh mengeluarkan zakat fitrah dalam bentuk nilaian. Ini adalah kerana bentuk ini lebih memberi manfaat kepada orang miskin dan lebih mencapai matlamat zakat itu sendiri.

Bilakah Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah?

Hukum mengeluarkan zakat fitrah berubah mengikut masa iaitu:

1. Harus

Sepanjang bulan Ramadhan dan malam hari raya.

2. Paling utama (afdhal)

Subuh hari raya sebelum manusia keluar untuk menunaikan Solat Sunnat Hari Raya. Hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari : Dan baginda memerintahkan supaya kamu menunaikan (zakat fitrah) sebelum orangramai keluar pergi sembahyang.

3. Wajib

Mulai tenggelamnya matahari pada hari terakhir Ramadhan.

4. Makruh

Selepas Solat Hari Raya hingga tenggelam matahari pada hari tersebut.

5. Haram

Selepas tenggelam matahari pada hari raya. Sekiranya sengaja melengah-lengahkan zakat fitrah hingga tenggelam matahari pada hari raya, maka dia dikira berdosa dan wajib mengqadha’kannya.

Kecuali disebabkan keuzuran seperti tidak mendapati orang yang berhak menerima zakat atau ada orang yang berhak tetapi dia tidak boleh berjumpa dengannya kerana sesuatu halangan.

Wallahu a’lam.

Friday, August 19, 2011

IKTIKAF





Di dalam Dewan Utama, Masjid Negara, Kuala Lumpur
 
Hari ini merupakan hari yang ke 19 pada bulan Ramadhan 1432H, bermakna malam ini merupakan malam pertama daripada 10 malam terakhir Ramadhan pada tahun ini. Semacam ada kesayuan di hati, terasa baru semalam ia datang menziarahi kita.

Antara perkara-perkara sunnat yang sangat-sangat digalakkan kita melakukannya pada 10 terakhir bulan Ramadhan ialah beriktikaf. Jom... kita sembang-sembang sikit mengenainya, moga ia boleh refresh knowledge kita ke arah pelaksanaan iktikaf yang betul dan sempurna. 

Pengertian Iktikaf

Iktikaf merupakan perkataan Arab yang dari segi bahasanya bermakna tinggal dan melazimi sesuatu. Dari segi istilah syarak pula, iktikaf bermaksud berada di dalam masjid dengan niat yang khusus.

Dalil Pensyariatan Beriktikaf

1. "...Dan janganlah kamu campuri isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid..." (Maksud Surah al-Baqarah, ayat 187)

2. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada 'Aishah RA bahawa Nabi SAW beriktikaf pada 10 terakhir bulan Ramadhan, dan isteri-isteri baginda meneruskannya selepas kewafatan baginda.

Hukum Beriktikaf

Iktikaf sunnat dilakukan pada bila-bila masa. Ia tambah disunnatkan pada bulan Ramadhan dan lebih digalakkan lagi pada 10 terakhirnya.

Hukum beriktikaf menjadi wajib apabila seseorang bernazar melakukannya.

Syarat-syarat Sah Iktikaf

1. Niat

Niat dilakukan pada permulaan iktikaf. Ini bermakna orang yang berada di dalam masjid untuk tempoh tertentu hendaklah berniat untuk beriktikaf. Sekiranya dia tidak berniat, keberadaannya di dalam masjid itu tidak dikira beriktikaf dan dia tidak mendapat pahala beriktikaf.

2. Berada di dalam masjid

Hendaklah berada di dalam masjid secara berterusan untuk suatu tempoh yang pada adatnya dinamakan beriktikaf. Masjid itu pula hendaklah masjid yang bertaraf masjid jami' iaitu masjid yang didirikan padanya solat Jumaat.

Adab-adab Semasa Beriktikaf

1. Sunnat memenuhi masa dengan melakukan ketaatan kepada Allah SWT seperti berzikir, membaca al-Quran, solat, perbincangan ilmu dan seumpamanya.

2. Sekiranya beriktikaf pada waktu siang pada bulan selain Ramadhan, disunnatkan berpuasa.

3. Tidak bercakap-cakap melainkan perkara-perkara yang baik.

Perkara-perkara Yang Makruh Semasa Beriktikaf

1. Berbekam. Sekiranya perbuatan berbekam itu mengotorkan masjid, hukumnya adalah haram.

2. Terlalu banyak melakukan perkara-perkara lain seperti menjahit, mengait dan seumpamanya. Makruh berjualbeli walaupun sedikit.

Perkara-perkara Yang Membatalkan Iktikaf

1. Berjimak dengan sengaja walaupun tidak mengeluarkan air mani.
2. Keluar air mani.
3. Keluar haid atau nifas.
4. Keluar daripada masjid dengan sengaja tanpa sebarang keperluan.
5. Mabuk, gila atau murtad.

Tambahan

1. Hendaklah beriktikaf dalam keadaan tubuh badan dan pakaian yang bersih supaya kita tidak mengotorkan masjid.
2. Orang yang beriktikaf boleh menghentikan iktikafnya dan keluar daripada masjid sekiranya dia mahu. Sungguhpun begitu, apabila dia masuk semula ke dalam masjid dan ingin beriktikaf semula, dia hendaklah memperbaharui niat iktikaf.

WalLahu a'lam.