Tuesday, September 20, 2011

NAK TENGOK FILEM CAPTAIN ABU RAED?


Image Detail

Won:
·         2007 Dubai International Film Festival
o    Muhr Award - Best Actor: Nadim Sawalha
·         2008 Durban International Film Festival
o    Best First Feature Film
·         2008 Heartland Film Festival
o    Crystal Heart Award - Feature Film
o    Grand Prize for Dramatic Feature
·         2008 Newport Beach Film Festival
o    Jury Award - Best Actor - Nadim Sawalha
o    Jury Award - Best Actress - Rana Sultan
·         2008 Seattle International Film Festival
o    Best Director Golden Space Needle Award - Amin Matalqa
·         2008 Sundance Film Festival
o    Audience Award - World Cinema - Dramatic

Nominated
·         2008 Sundance Film Festival
o    Grand Jury Prize - World Cinema – Dramatic

Itu antara fakta yang saya dapat daripada Wikipedia mengenai filem Captain Abu Raed, sebuah filem dari Jordan yang bakal berada di pawagam negara kita mulai 25 September 2011. Melihat kepada deretan award yang diterima, saya membuat kesimpulan awal bahawa filem dalam bahasa Arab ini memang hebat dan mungkin berbaloi ditonton. Tambahan pula plotnya bakal membuat kita insaf dan berfikir. Ia mengangkat isu sebahagian besar negara Islam – kurang yakin kepada diri sendiri, penganiayaan terhadap wanita dan kanak-kanak, persaudaraan, usaha, pengorbanan dan ketidakprihatinan terhadap pelajaran.

Fanatik dengan Jordan? Ha3x, mungkin. Tak salah kan… , tempat jatuh lagikan terkenang, ini pula tempat bermain!

Hukum Menonton Filem Di Pawagam

Sebenarnya inilah persoalan fiqh yang cuba saya bawa di dalam post kali ini. Ada orang mengatakan menonton filem di pawagam adalah haram, sementara ramai lain yang berpendapat “tak apa”.

Untuk menjawab persoalan ini, saya merujuk kepada lamanweb Dr. Yusuf al-Qaradhawi (http://qaradawi.net/) dalam artikel bertajuk “Filem di Pawagam dalam Neraca Fiqh”. Kesimpulan pendapat beliau adalah seperti berikut:

Pawagam dan seumpamanya merupakan medium untuk mendidik dan berhibur. Kedudukannya sama dengan medium-medium yang lain, sama ada ia digunakan untuk kebaikan atau keburukan. Dengan ertikata lain, pawagam itu sendiri tiada masalah. Hukum kedudukannya bergantung pada bagaimana kita menggunakannya.
Justeru, pawagam itu adalah halal dan baik, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu, boleh menjadi wajib. Syarat-syaratnya:

1.         Filem yang ditonton tidak mengandungi elemen-elemen tidak senonoh, fasiq dan apa sahaja yang bercanggah dengan akidah, syariat dan adab Islam. Orang Islam haram menonton dan memberi sokongan kepada filem yang boleh menimbulkan keinginan dunia, merangsang kepada dosa, menggalakkan jenayah atau mempropagandakan pemikiran dan akidah yang salah.

2.         Menonton filem tersebut tidak menyebabkan terabainya kewajipan sama ada tanggungjawab duniawi atau agama. Yang teratas ialah solat lima waktu sehari semalam. Orang Islam tidak boleh meninggalkan solat fardhu, contohnya Solat Maghrib, semata-mata untuk menonton filem. Firman Allah SWT bermaksud, “(Neraka) wail untuk orang yang solat sedang mereka lalai daripada solat mereka.” (Surah al-Ma’un, ayat 4-5) Yang dimaksudkan dengan “lalai” dalam ayat ini ialah melengah-lengahkan solat hingga luput waktunya.

3.         Jauh daripada percampuran merangsang antara lelaki dan perempuan bukan mahram. Syarat ini bertujuan mengelakkan fitnah dan menolak syubhat, lebih-lebih lagi menonton di pawagam selalunya dalam keadaan gelap. Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Menyucuk kepala salah seorang daripada kamu dengan jarum besi lebih baik untuknya daripada dia menyentuh perempuan yang tidak halal baginya.”

Amacam? Berdasarkan syarat-syarat di atas, agak-agak boleh tak kita beramai-ramai ke pawagam berdekatan untuk menonton filem Captain Abu Raed yang hebat tu? Atau tunggu kut-kut boleh langgan di Astrofirst? Atau just biarkan ia berlalu… Tepuk dada, tanya jiwa….

WalLahu a’lam.

Friday, September 9, 2011

PUASA-PUASA SUNNAT

Sabarlah wahai hati, pizza kat syuga lagi sedap...

“Ayah, jom sarapan!” Saya mengajak arwah ayah untuk sarapan pada pagi itu, pagi 2 Syawal. Aura 1 Syawal yang disambut semalamnya berpanjangan hingga ke hari itu. Menu di atas meja pun tidak jauh bezanya daripada menu minum pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam semalam. Namapun raya, semuanya bertema raya. “Makanlah dulu, ayah puasa”, jawab ayah, tenang seperti selalu. “Oh, ayah puasa enam rupanya,” kata saya dalam hati.

Itulah antara apa yang saya kenangi mengenai arwah ayah ketika musim raya begini. Ayah minat berbincang mengenai agama. Beliau bukan ustaz dan tidak juga berpelajaran tinggi, tapi bacaan al-Qurannya sedap dan bertajwid. Masjid sentiasa menjadi rumah keduanya sejak zaman muda lagi. Moga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan arwah ibu serta menempatkan kedua-duanya di kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh.

Dah, dah, dah… ke situ pulak poieenya. Sebelum merasa sedih yang boleh mengundang cucuran airmata, elok kita balik semula ke agenda mesyuarat… Jom!

Hari ini 11 Syawal, bermakna sudah hampir dua minggu Ramadhan 1432H meninggalkan kita. Saya pasti, apabila merasai kemanisan berpuasa pada bulan lepas, ramai daripada kita menanam cita-cita untuk menjadikan puasa sebagai rutin hidup kita sepanjang tahun. Meski cukup diakui, bukan mudah untuk berpuasa sunnat apabila kita dikelilingi oleh makanan dan orang yang makan, tetapi tidak salah kita mencuba kan?

Berikut ialah puasa-puasa sunnat yang digalakkan kita melakukannya:

1. Puasa Sunnat Hari Isnin dan Khamis

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW memperbanyakkan puasa pada hari Isnin dan Khamis. (Diriwayatkan oleh Ahmad dengan sanad sahih).

Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Semua amalan akan dibentang pada hari Isnin dan Khamis. Maka aku suka amalanku dibentang dalam keadaan aku sedang berpuasa. (Riwayat at-Tirmizi)

2. Puasa Hari Bayadh (13, 14 dan 15hb Setiap Bulan)

Disunnatkan berpuasa pada hari-hari Bayadh Iaitu hari ke-13, 14 dan 15 pada setiap bulan Qamariah. Bulan Qamariah, bukan Syamsiah ye. Apa bezanya? Bulan Qamariah orang lama-lama sebut bulan Melayu (Islam), bulan Syamsiah tu bulan orang puteh.

Kita disunnatkan berpuasa pada hari-hari tersebut berdasarkan kata-kata Abu Zar RA, “Rasulullah SAW memerintahkan kami berpuasa pada tiga hari setiap bulan iaitu pada hari ke-13, 14 dan 15 dan baginda bersabda bermaksud: Ia seolah-olah berpuasa selama-lamanya.” (Riwayat an-Nasaai dan disahihkan oleh Ibnu Hibban)

Dikecualikan hari ke-13 Zulhijjah kerana ia merupakan antara Hari Tasyriq yang diharamkan kita berpuasa padanya.

Bayadh tu maknanya putih. Dinamakan hari-hari “putih” sebab pada malam hari-hari tersebut bulan penuh dan bumi dilimpahi cahayanya yang terang benderang.

3. Puasa Enam Hari daripada Syawal

Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian mengikutinya dengan puasa enam hari daripada Syawal seolah-olah dia berpuasa selama setahun.” (Diriwayatkan oleh al-Jama’ah kecuali al-Bukhari dan an-Nasaai)

Puasa nilah yang arwah saya buat tu. Paling afdhal kita berpuasa enam secara berturut-turut dan bersambung terus dengan ‘Idulftri, iaitu bermula 2 Syawal hingga 7 Syawal sebab sebaik-baik perkara ialah menyegerakannya. Sungguhpun begitu, tidak salah kita melaksanakannya pada hari-hari lain atau secara berselangseli hari selagi berada dalam bulan Syawal.

4. Puasa Tasu’a (9 Muharram) dan ‘Asyura (10 Muharram)

Ibnu ‘Abbas RA berkata, “Nabi SAW datang ke Madinah dan melihat orang Yahudi berpuasa ‘Asyura’, lalu baginda bersabda bermaksud : Apakah ini? Mereka menjawab: Ini hari yang baik. Pada hari ini Allah menyelamatkan Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, lalu Musa berpuasa padanya. Maka sabda Rasulullah SAW: Aku lebih berhak (mengikuti) Musa daripada kamu. Lalu baginda pun berpuasa dan memerintahkan (orang Islam) supaya berpuasa.” (Muttafaqun ‘alaih)

Ibnu ‘Abbas RA juga meriwayatkan: Semasa Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan memerintahkan (para sahabat) supaya berpuasa, mereka berkata, “Wahai Rasulullah! Ia merupakan hari yang diagung-agungkan oleh orang Yahudi dan Nasrani.” Maka baginda bersabda bermaksud, “Pada tahun hadapan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari Tasu’a.” Ibnu ‘Abbas berkata, “Tidaklah datang tahun selepasnya kecuali Rasulullah SAW wafat pada tahun tersebut.” (Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Morals of the story : Berlumba-lumbalah melakukan kebaikan dan jangan melakukan perkara-perkara yang menyamai agama-agama lain.

5. Puasa pada Hari ‘Arafah (9 Zulhijjah)

Galakan ini disasarkan kepada orang yang tidak mengerjakan haji pada tahun tersebut. Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Berpuasa pada hari ‘Arafah menghapuskan (dosa kecil) dua tahun iaitu tahun yang lepas dan tahun akan datang.” (Riwayat Muslim dalam sahihnya)

Kelebihan hari ‘Arafah dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah sabda baginda bermaksud, “Tidak ada hari yang Allah membebaskan hamba-Nya daripada api neraka lebih ramai daripada hari ‘Arafah.” (Riwayat Muslim)


Soalan :
Bolehkah kita membatalkan puasa Sunnat?
Jawapan :
Orang yang berpuasa sunnat boleh membatalkan puasanya jika dia mahu dan dia tidak wajib mengqadhakkannya. Walau bagaimanapun, hukumnya adalah makruh.


WalLahu a’lam.