Thursday, June 28, 2012

CHECKLIST MENJELANG RAMADHAN 1433H


"Tentukan tarikh ... - Dah. Hubungi penceramah ... - Dah. Sedia kertas ... - Dalam proses..." Satu persatu tindakan dalam senarai semak atau checklist itu saya teliti. Program itu dijangka diadakan sebulan lagi. Sudah beberapa kali direct boss saya berpesan supaya sentiasa menyemak checklist agar tidak ada perkara yang terlepas pandang.

Itulah keperluan duniawi yang sentiasa kita ambil berat. Namun seribu kali sayang, kita tidak banyak memikirkannya apabila tiba kepada urusan untuk akhirat kita. Kesannya, masa terus berlalu dan kita sendiri tidak pasti berapakah yang telah kita simpan untuk Yaumul Hisab (Hari Pembalasan) hingga akhirnya kita tiba ke noktah akhir kehidupan, juga dalam keadaan tidak dirancang. Na'uzubillah...

Justeru, sempena Ramadhan al-Mubarak yang bakal tiba, sama-samalah kita menyediakan satu checklist, mudah-mudahan ia akan dapat membantu kita memasuki Madrasah al-Saum dengan lebih bergaya (kerana sudah bersedia) dan mampu pula menghayati ibadah puasa nanti dengan lebih sempurna. Saya bawakan contohnya di sini:

1. Sudahkah anda mengqadhakkah puasa tahun atau tahun-tahun lepas?

Puasa diwajibkan ke atas setiap Muslim yang mukallaf dan tiada keuzuran yang menghalangnya berpuasa atau yang mengharuskannya tidak berpuasa. Sesiapa yang meninggalkan puasa tahun atau tahun-tahun lepas, dia wajib mengqadhakkannya sebelum masuk bulan Ramadhan yang akan datang.

2. Sudahkah anda memperbanyakkan puasa sunnat pada bulan Syaaban?

 Diriwayatkan daripada ‘Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa sunnat lebih banyak daripada pada bulan Syaaban. Baginda menunjukkan contoh terbaik mengenai apa yang sepatutnya dilakukan menjelang Ramadhan sebagai persediaan dan penghormatan kepada tetamu agung yang akan datang.

3. Sudahkah anda mengulangkaji ilmu berkaitan hukum hakam ibadah puasa?

Sesuatu ibadah, termasuk puasa akan dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna sekiranya kita mempunyai maklumat yang jelas mengenainya. Kesannya juga akan lebih dirasai.Hadirilah program-program ilmu yang diadakan di sekitar kita. Ia akan banyak membantu kita melaksanakan ibadah puasa dengan ilmu dan kesedaran, bukan sekadar adat.

4. Sudahkah anda memulakan aktiviti menyemarakkan suasana rumah anda untuk menggambarkan kegembiraan menyambut Ramadhan?

Ramadhan datang dengan kelebihan yang amat banyak sehingga ulamak salafussoleh menginginkan agar semua bulan adalah bulan Ramadhan. Gambarkan kegembiraan kita menyambut Ramadhan dengan melakukan apa yang biasa dilakukan menjelang ‘Idulfitri – Beli/Tukar/basuh langsir , carpet, alas meja, sejadah, telekung, pakaian untuk solat Tarawih, gantung poster/belon.

Pesanan penaja: Sila tandakan ( / ) pada tindakan yang sudah kita laksanakan dan  kosongkan jika belum. Kita buat, kita untung!

Allahumma balighna Ramadhan...






Friday, June 22, 2012

HUKUM PENGGUNAAN BONE CHINA


"Wah! Cantiknya....," melopong juga melihat deretan set pinggan mangkuk di kedai itu. Kalau ada wanita yang tidak "terliur" untuk memilikinya, dia adalah satu dalam sejuta, susah nak jumpa. Namun sebagai Muslim, semua perkara kena rujuk hukum, termasuk dalam soal pinggan mangkuk. Itulah istimewanya Islam - Islam syumul, maknanya mencakupi semua aspek kehidupan daripada sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya.

Baru-baru ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan (MJKF) yang diurus setiakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah membincangkan mengenai hukum menggunakan peralatan dan perhiasan berasaskan abu tulang haiwan (bone china).

Fatwa

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MJFK) Kali Ke-99 yang bersidang pada 4 hingga 6 Mei 2012 telah membincangkan mengenai Hukum Penggunaan Peralatan dan Perhiasan Berasaskan Abu Tulang Haiwan (Bone China). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa berdasarkan Mazhab Shafie, sifat kenajisan babi masih kekal dalam produk bone china dan sifat najis tersebut tidak akan hilang kerana proses istihalah dianggap tidak berlaku.

Muzakarah juga berpandangan bahawa sekiranya penggunaan produk bone china yang berasaskan abu tulang haiwan yang tidak halal mengikut syarak ini diharuskan, maka ia akan membuka ruang kepada penggunaan produk-produk bersumberkan haiwan yang tidak halal mengikut syarak untuk berleluasa. Muzakarah juga berpandangan bahawa peralatan atau perhiasan bone china tidak mencapai tahap keperluan (darurah) kepada masyarakat untuk memiliki dan menggunakannya.

Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan bahan peralatan atau perhiasan yang dihasilkan daripada abu tulang haiwan (bone china) yang tidak halal mengikut syarak, termasuk haiwan yang halal dimakan tetapi tidak disembelih mengikut hukum syarak adalah tidak diharuskan (haram). Walau bagaimanapun, penggunaan peralatan dan perhiasan berasaskan abu tulang haiwan (bone china) yang halal dimakan dan disembelih mengikut hukum syarak adalah diharuskan (halal).

WalLahu a'lam.




Monday, June 18, 2012

DIA AS-SIDDIQ




Dia Ibn Abi Quhafah, antara segelintir insan pertama yang dipilih oleh Allah SWT untuk menerima Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Dia menadah ilmu Islam secara rahsia dengan baginda. Ketika ingin beribadat, dia akan bersembunyi di kawasan bukit sekitar Makkah kerana bimbang diketahui oleh kuffar Quraisy.


Suatu hari, di celah gelombang penentangan kuffar Quraisy yang semakin memuncak, ketika Rasulullah SAW solat di Hijr Ismail, datanglah ‘Uqbah bin Abi Mu’it. ‘Uqbah meletakkan bajunya di leher Rasulullah SAW dan cuba menjerut baginda. Dia – Ibn Abi Quhafah – datang dan terus memegang bahu ‘Uqbah, lalu menolaknya daripada Rasulullah SAW. Dia berkata, “Adakah kamu hendak membunuh lelaki hanya kerana dia mengatakan: Tuhanku ialah Allah?”

Pada pagi selepas berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj, sebahagian kuffar Quraisy datang kepadanya dengan harapan dia akan turut bersekongkol memperolok-olokkan Rasulullah SAW, tetapi dia – Ibn Abi Quhafah - berkata penuh yakin, “Sekiranya dia (Muhammad SAW) berkata sedemikian, sesungguhnya dia adalah benar. Dan sungguh, aku akan membenarkannya walaupun dia berkata lebih daripada itu.”

Pada 2 Rabi’ul Awwal 13 tahun selepas kerasulan Rasulullah SAW, dia menemani baginda dalam misi hijrah ke Madinah. Sebelum masuk ke Gua Thur, dia menawarkan diri menjadi perisai. Ditelitinya setiap inci gua untuk memastikan tiada binatang berbisa yang boleh menyakiti baginda. Apabila semuanya selamat, barulah dibenarkannya Rasulullah SAW masuk.

Apabila ‘Umar bin al-Khattab RA meluahkan rasa tidak puashatinya terhadap tindakan Rasulullah SAW yang seolah-olah mengalah kepada tuntutan kuffar Quraisy dalam Perjanjian Hudaibiyyah pada tahun ke-6 Hijrah, dia – Ibn Abi Quhafah berkata, “ Wahai Ibn al-Khattab, sesungguhnya dia (Muhammad SAW) adalah Rasul Allah, dia tidak akan sekali-kali melakukan maksiat kepada Tuhannya, dan Allah tidak akan pernah mensia-siakannya.”

Pada kemuncak satu musim panas, ketika penduduk Makkah menghadapi suasana hidup yang sukar, Rasulullah SAW memerintahkan pada sahabat menghulurkan bantuan untuk mempersiapkan tentera Islam bagi menghadapi angkatan Rom dalam Peperangan Tabuk . Dia – Ibn Abi Quhafah – datang dengan seluruh hartanya. Tanya Rasulullah SAW, “Wahai Abu Bakar, apakah yang kamu tinggalkan untuk ahli keluargamu?” Jawabnya, “Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan Rasul-Nya.”

Pada tahun ke-9 Hijrah, dia – Ibn Abi Quhafah – diutus oleh Rasulullah SAW memimpin seramai 300 penduduk Madinah untuk menunaikan haji di Makkah sambil mengisytiharkan bahawa selepas tahun tersebut, tiada seorang pun Musyrik yang dibenarkan menjejakkan kaki di tanah haram Makkah.

Tiada yang kekal melainkan Allah SWT. Rasulullah SAW jatuh sakit yang membawa kepada kewafatan baginda. Apabila sudah tidak mampu keluar untuk mengimami solat, baginda memerintahkannya – Ibn Abi Quhafah - untuk mengambil tempat baginda. Kehilangan Rasulullah SAW meruntun hatinya. Dia masuk ke dalam rumah ‘Aisyah RA, tempat terkujurnya jenazah yang mulia itu. Kain yang menutupi wajah baginda disingkapnya, dikucupnya wajah kekasih Allah, lalu dia menangis …

Seluruh jiwa menangisi pemergian Rasulullah SAW, bahkan ada yang tidak mampu menghadapi realiti, lalu dia - Ibn Abi Quhafah – berkata, “Wahai manusia, sesiapa daripada kamu yang menyembah Rasulullah SAW, sesungguhnya Muhammad telah mati, dan sesiapa di antara kamu yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah kekal hidup dan tidak akan mati.”

Dialah Abu Bakar bin Abi Quhafah RA – keimanannya mengatasi iman seluruh manusia, keimanannya melayakkannya menjadi sahabat Rasulullah SAW paling akrab, keimanannya tidak pernah dipalit walau sedikitpun oleh rasa sangsi, keimanannya membawa kepada gelaran as-Siddiq, satu-satunya dalam sejarah dunia…



Friday, June 1, 2012

SOLAT SUNNAT GERHANA



"Ada gerhana bulan minggu depan rupa-rupanya," kata saya seorang diri. Maklumat itu saya perolehi ketika meniti ruang e-khutbah di lamanweb Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Sudah menjadi rutin mingguan saya, pada setiap pagi Jumaat, saya akan memilih khutbah Jumaat yang sesuai dan mengshootkannya di webmail kementerian tempat saya bertugas. Khutbah terbitan JAKIM merupakan rujukan pertama saya sebelum beralih kepada khutbah yang dikeluarkan oleh pihak-pihak lain.

Terfikir pula saya, jika saya attachkan sekali khutbah itu dengan sedikit penerangan mengenai Solat Sunnat Gerhana, mungkin ia boleh memberi manfaat kepada kawan-kawan. Saya terus menulis dan akhirnya terhasillah satu artikel sepanjang tiga mukasurat. Saya juga muatkan artikel tersebut di dalam blog saya ini untuk menyebarluaskan kebaikannya.

So, terimalah artikel ini seadanya. Selamat membaca. Kalau ada nak tambah atau betulkan, sila tinggalkan komen ya, saya akan amat-amat menghargainya.

Pengertian al-Kusuf dan al-Khusuf

Dalam Bahasa Arab, gerhana matahari disebut al-Kusuf, manakala gerhana bulan pula disebut al-Khusuf. Al-Kusuf membawa maksud fenomena alam di mana cahaya matahari terlindung daripada bumi sama ada sebahagian atau keseluruhannya disebabkan bulan berada di tengah-tengah antara bumi dengan matahari. Al-Khusuf pula keadaan di mana cahaya bulan terlindung daripada bumi sama ada sebahagian atau keseluruhannya disebabkan matahari berada di tengah-tengah antara bumi dengan bulan.

Dalam hukum Fekah, mana-mana daripada kedua-dua perkataan, sama ada al-Kusuf ataupun al-Khusuf boleh digunakan dengan makna gerhana matahari atau gerhana bulan.

Sejarah Pensyariatan Solat Gerhana Matahari dan Solat Gerhana Bulan

Solat gerhana matahari mula disyariatkan pada tahun kedua Hijrah, manakala solat gerhana bulan pula pada tahun kelima Hijrah.

Peristiwa gerhana matahari berlaku secara kebetulan pada hari kewafatan Ibrahim, putera Rasulullah SAW. Pada zaman Jahiliyyah, masyarakat Arab percaya bahawa gerhana matahari atau bulan disebabkan kematian seseorang pembesar. Sangkaan sedemikian masih tersemat di fikiran para sahabat yang baru memeluk agama Islam pada ketika itu, lalu Rasulullah SAW menyangkal dakwaan tersebut dengan sabda baginda bermaksud:

“Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kekuasaan) Allah. Tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya disebabkan kematian seseorang dan bukan juga disebabkan hidupnya. Maka apabila kamu melihat yang demikian (gerhana), maka dirikanlah solat dan berdoalah hingga hilang apa (bala kegelapan) yang menimpa kamu.” (Riwayat Muslim)

Hukum Mendirikan Solat Gerhana

Hukum mendirikan solat gerhana ialah Sunnat Muakkad iaitu sunnat yang sangat-sangat digalakkan. Sungguhpun hukumnya bukan wajib, tetapi sesiapa yang melakukannya diberikan ganjaran yang sangat banyak oleh Allah SWT. Sesiapa yang meninggalkannya pula tidak dikira berdosa.

Hikmah Disyariatkan Solat Gerhana

Solat gerhana matahari dan bulan disyariatkan dengan tujuan supaya ummat Islam kembali memuhasabah diri sendiri, memohon keampunan daripada Allah SWT atas segala kelalaian dan ketelanjuran serta merasakan kekuasaan-Nya sebagai pencipta mutlak alam ini.

Cara Mendirikan Solat Gerhana

Solat gerhana boleh dilakukan seorang diri, tetapi sunnat didirikan secara berjemaah dengan harapan suasana tersebut mampu memberi kesan yang lebih mendalam kepada ummat Islam.

Tidak disyariatkan melaungkan azan ketika hendak menunaikan solat gerhana, cukup dengan seruan “As-Solatu Jaami’ah” sepertimana yang lazim dilakukan sebelum Solat Tarawih.

Solat gerhana terdiri daripada dua rakaat. Bagi yang ingin menunaikannya, hendaklah berniat sama ada solat gerhana matahari atau gerhana bulan.

Terdapat dua cara solat gerhana iaitu:

1. Cara yang paling minima

Pada setiap rakaat, dilakukan dua kali berdiri, dua kali membaca Surah al-Fatihah dan mana-mana ayat al-Quran serta dua kali rukuk tanpa memanjangkannya.

Boleh juga dan sah dilakukan sepertimana solat biasa iaitu dua rakaat dengan dua kali berdiri dan dua kali rukuk, tetapi cara sebegini dianggap meninggalkan fadhilat solat gerhana kerana berlawanan dengan apa yang dilakukan oleh Rasdulullah SAW.

2. Cara yang paling sempurna

Pada setiap rakaat, dilakukan dua kali berdiri. Ketika berdiri kali pertama pada rakaat pertama, selepas membaca Surah al-Fatihah, disunnatkan membaca Surah al-Baqarah atau surah-surah lain hingga menyamai panjang Surah al-Baqarah. Ketika berdiri kali kedua, selepas membaca Surah al-Fatihah, disunnatkan membaca menyamai 200 ayat Surah al-Baqarah.

Pada rakaat kedua, ketika berdiri kali pertama, selepas membaca Surah al-Fatihah, disunnatkan membaca menyamai 150 ayat Surah al-Baqarah. Ketika berdiri kali kedua, selepas membaca Surah al-Fatihah, disunnatkan menyamai 100 ayat Surah al-Baqarah.

Rukuk dipanjangkan daripada biasa di mana rukuk pertama sehingga menyamai 100 ayat daripada Surah al-Baqarah, rukuk kedua hingga menyamai 80 ayat, rukuk ketiga hingga menyamai 70 ayat dan rukuk keempat hingga menyamai 50 ayat.

Jika solat gerhana matahari, bacaan hendaklah diperlahankan, manakala jika solat gerhana bulan, bacaan hendaklah dikuatkan.

Setelah selesai solat, Imam akan bangun untuk menyampaikan dua khutbah. Rukun-rukun dan syarat-syarat khutbah solat gerhana sama sepertimana Solat Jumaat. Dalam khutbah tersebut, Imam akan menggesa makmum supaya memperbanyakkan taubat, bersegera melakukan kebaikan dan jangan mudah lalai atau terpedaya dengan kehidupan di dunia.

Solat Gerhana Tidak Boleh Diqadhak

Waktu untuk solat sunnat gerhana bermula ketika bermulanya gerhana dan berakhir apabila matahari atau bulan muncul sepenuhnya. Sesiapa yang tidak mendirikan solat gerhana sehingga tamat tempoh tersebut, dia tidak dituntut untuk mengqadhakkannya.

Ini adalah kerana solat gerhana disyariatkan disebabkan sesuatu faktor. Justeru, apabila faktor itu sudah tiada, maka luputlah tuntutan melakukannya.

Mandi Sunnat Sempena Solat Gerhana

Disunnatkan mandi apabila ingin menunaikan solat gerhana. Inil adalah kerana sepertimana Solat Jumaat yang dilakukan secara berjemaah, solat gerhana mempunyai maksud yang sama dari segi berhimpun beramai-ramai dengan saudara-saudara seagama yang lain.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Sesiapa yang berwudhuk pada hari Jumaat, maka itu adalah amalan sunnah dan ia adalah sebaik-baik ikutan. Dan sesiapa yang mandi, maka mandi itu adalah lebih baik (afdhal).” (Riwayat al-Tirmizi)

WalLahu a’lam.