Monday, July 30, 2012

UNTUK RAMADHAN YANG INI



Segala puji bagi Allah SWT yang telah menemukan kita semula dengan Ramadhan setelah 11 bulan ia meninggalkan kita. Kini kita berada pada satu pertiga kedua bulan yang penuh barakah ini. Perlu diingat bahawa Ramadhan ini adalah Ramadhan ini, bukan Ramadhan itu, Ramadhan itu atau Ramadhan itu. Kualiti Ramadhan kita ini akan dihisab berdasarkan bagaimana kita melaluinya, bukan tentang bagaimana kita melalui Ramadhan-ramadhan yang lepas atau Ramadhan-ramadhan yang akan datang.

Mengapakah kita perlu menginsafi hakikat ini? Kerana Pertama: Untuk memberikan semangat dan motivasi kepada kita agar melipatgandakan usaha mengoptimakan kebaikan pada bulan yang mulia ini. Bila diingatkan semula Ramadhan-ramadhan yang lepas, mungkin di sana ada kekurangan-kekurangan yang menyebabkan kita merasakan ibadah puasa kita tidak sempurna. Sudah tentu kita tidak mahu perkara yang sama berulang. Alangkah ruginya kita jika perkara tersebut berlaku sedangkan Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa seorang Muslim tidak akan jatuh dua kali ke dalam lubang yang sama.

Kedua; Kerana mungkin Ramadhan ini adalah Ramadhan yang terakhir untuk kita. Cuba lihat dan dengar apa yang berlaku di sekitar kita. Betapa ramai sahabat, saudara atau kenalan kita yang hidup pada Ramadhan 1432H yang lepas, tetapi mereka tidak sempatpun berada pada Ramadhan 1433H ini. Siapakah di antara kita yang berani menjamin akan ada lagi Ramadhan untuk kita pada tahun hadapan?

Justeru, laluilah Ramadhan ini dengan penuh keazaman untuk melakukan yang terbaik. Allah SWT mengurniakan 12 bulan untuk kita pada setiap tahun, dan dijadikan-Nya satu bulan ini penuh dengan keistimewaan yang tidak ada pada bulan-bulan lain. Malanglah orang yang menemui bulan ini, sedang dia tidak merasakan perbezaannya...