Thursday, November 29, 2012

AWASI JERAT AZIMAT!


Hanya Allah SWT sahaja yang berkuasa
mendatangkan manfaat dan menolak mudharat

“Apa tu?” Tanya saya sambil mata terus cuba membaca kertas yang ditampal pada dinding. Tulisannya dalam Bahasa Arab dan agak jelas.


“Kawan bagi, untuk lindungkan rumah ni,” Jawabnya, lurus.

“Tanggalkanlah, tak elok.”

Ini adalah antara perkara yang banyak berlaku dalam masyarakat. Ramai yang melakukannya, bukan disebabkan mereka tidak beriman kepada Allah SWT, tetapi lebih kepada keliru antara usaha dan hukum sebenar. Justeru, Islam menyarankan sangat-sangat supaya kita berusaha menambah ilmu dari semasa ke semasa, agar ia boleh membantu kita mengenal yang mana haq dan yang mana batil. Ilmu yang jelas boleh menyelamatkan kita daripada terjebak ke dalam syirik, suatu kesalahan yang selalunya kita tidak perasan.

Syirik terdiri daripada dua jenis iaitu Syirik Akbar (Syirik Besar) dan Syirik Asghar (Syirik Kecil). Syirik Akbar ialah syirik orang kafir yang enggan menerima Islam sebagai agamanya. Allah SWT tidak akan mengampuninya dan di akhirat nanti, dia tidak akan sekali-kali dimasukkan ke dalam syurga.

Syirik Asghar pula ialah antara dosa-dosa besar yang haram dilakukan oleh semua orang Islam. Sesiapa yang melakukannya dan berterusan, kemudian dia mati tanpa sempat bertaubat, dibimbangi dia mati dalam keadaan kafir. Na’uzubillahi min zalik (Mudah-mudahan Allah SWT lindungi kita daripadanya)

Menggunakan azimat termasuk dalam kategori yang kedua iaitu Syirik Asghar. Pada zaman Jahiliyyah, orang Arab menggantung beberapa biji permata di leher anak-anak mereka dan percaya bahawa ia akan menjauhkan anak-anak tersebut daripada kejahatan jin. Apabila Islam datang, amalan ini dibatalkan dan Islam mengajar bahawa tidak ada yang berkuasa mendatangkan mudharat kecuali Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud, “Jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Dia melimpahkanmu dengan kebaikan, maka sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-An’am, ayat 17)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Sesiapa yang menggantungkan azimat, maka dia adalah syirik.”

Azimat boleh datang dalam pelbagai bentuk dan digunakan dengan pelbagai cara. Walau apapun bentuk dan caranya, ia tergolong dalam azimat sekiranya orang itu beriktikad bahawa ia boleh mendatangkan manfaat atau menjauhi keburukan.

Persoalan yang mungkin timbul, bolehkah membuat azimat yang mengandungi ayat-ayat al-Quran, nama-nama atau sifat-sifat Allah SWT? Adakah ia juga diharamkan? Dalam isu ini, penulis menukilkan pendapat Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam buku beliau bertajuk “Hakikat al-Tauhid”.

Beliau menegaskan bahawa golongan salaf berselisih pendapat mengenai perkara ini, ada yang mengharuskannya dan ada pula yang tetap mengharamkannya. Dr. al-Qaradhawi memilih pendapat yang kedua berdasarkan faktor-faktor berikut:

1. Larangan terhadap azimat adalah umum di mana tidak ada hadith yang mengecualikan azimat yang menggunakan ayat-ayat al-Quran, nama-nama atau sifat-sifat Allah SWT.

2. Selaras dengan kaedah Fiqh iaitu menutup pintu kerosakan (Sad al-Zari’ah). Sekiranya diharuskan menggunakan azimat yang mengandungi ayat-ayat al-Quran, nama-nama atau sifat-sifat Allah SWT, dibimbangi akan membuka ruang untuk menggunakan azimat yang lain.

3. Mengharuskan penggunaan azimat yang mengandungi ayat-ayat al-Quran akan mendedahkan ayat-ayat suci tersebut kepada penghinaan di mana orang yang menggunakannya membawanya ke dalam tandas, tempat-tempat bernajis, ketika dalam keadaan haid atau janabah dan seumpamanya.

4. Allah SWT menurunkan al-Quran sebagai petunjuk ke jalan yang lurus dan mengeluarkan manusia daripada kegelapan kufur dan cahaya iman. Ia bukan untuk dijadikan azimat, penjaga atau pendinding.

Justeru, bersama-samalah kita menjauhkan diri daripada terjebak dalam perangkap azimat. Tanamkanlah di jiwa kita bahawa tiada kuasa yang boleh mendatangkan kebaikan atau membawa keburukan selain daripada Allah SWT. Ummat yang kuat ialah ummat yang bergantung kepada zat yang Maha Agung dan Maha Perkasa iaitu Allah SWT. Andai sudah ada tempat berpaut yang sebegitu kukuh, mengapa lagi kita perlu mengharapkan yang lain?

WalLahu ‘alam.



Wednesday, November 14, 2012

JIKA HATI MEMBISIK: BOLEHKAH AKU BERUBAH?



Sewaktu dalam perjalanan jauh menyusur Lebuh Raya Pantai Timur, beberapa kali kami berhenti di kawasan rawat dan rehat untuk menghilangkan lenguh sambil meninjau-ninjau pemandangan. Belantara hutan hujan tropika memberikan fenomena alam yang sangat menakjubkan.

Sering kali saya bercakap kepada anak-anak yang masih kecil untuk melihat pemandangan indah itu sepuas-puas hati kerana pada tahun hadapan, kita tidak akan menyaksikannya lagi. Saya lihat mereka patuh dan menghayati dengan memejam, mengedip-ngedipkan mata seakan-akan menikmati keenakan coklat kegemaran mereka.

Saya bertanya, “Fahamkah apa yang ayah maksudkan?”

Mereka hanya mengangkat bahu dan menjawab ringkas, “Ntah.”

“Begini …” Saya cuba memberi penjelasan.

“Seluruh pohon yang memenuhi ruang mata kita ini terdiri daripada jutaan helaian daun menghijau. Kita tidak sedar apabila sampai tahun hadapan, daun-daun lama akan gugur dan bertukar kepada daun-daun yang baru …” Ujar saya membeban sedikit minda mereka.

“Ertinya … Pada tahun hadapan, kalaupun kita berdiri di sini lagi, apa yang kita tengok semuanya telah bertukar!” Jelas saya panjang lebar. Saya sebenarnya tidak peduli sama ada mereka faham atau tidak.

Pada waktu lain, saya bercakap kepada mereka benda yang sama apabila berdiri di tepi pantai ketika melihat ombak membedal batu pantai. Apabila soalan yang sama ditanyakan, mereka tentu akan memejam-mejam mata tetapi jawapan masih sama, mengangkat bahu sambil tersengeh lebar dan berkata, “Ntah!”

Sahlah mereka tidak faham penjelasan saya!

Memang, bagi seorang kanak-kanak, penjelasan seperti itu berbelit-belit, tapi untuk kita, ia amat mudah difahami. Kita tinggal dalam persekitaran hidup yang sentiasa berubah. Cuma kita tak perasan kerana tertipu dengan warna, bentuk dan penyalinannya yang sama.

Semua perkara patuh pada satu hukum alam: Semua benda hidup mesti berubah! Yang tidak berubah ialah benda mati seperti batu pejal.

Cerita tentang hutan itu ada kaitan dengan diri kita. Sepertimana kita tidak sedar tentang perubahan daun yang silih berganti, begitulah setiap detik berlaku perubahan dalam diri kita. Mari kita menyemak semangat perubahan yang berlaku kepada 30 trilion sel yang membentuk tubuh kita ini.

• Sel selaput perut bertukar setiap 5 hari.

• Sel hati dan limpa bertukar setiap 42 hari.

• Sel kulit setiap 30 hari.

• Sel tulang rangka setiap 90 hari.

Pada penghujung setiap tahun, hampir 98% sel telah berubah dan bertukar kepada yang baru. Di dalam diri manusia telah dilengkapkan dengan sistem pembaharuan, sistem pertahanan dan sistem pemulihan sendiri.

Jadi, secara semulajadi, diri kita sendiri berubah dan perubahan itu terus berlaku sebagai bukti bahawa kita ini hidup. Kalau begitu, persoalan sama ada bolehkah kita berubah sememangnya tidak wajar sama sekali. Soalan untuknya pun tidak patut diajukan!

Jadi, berubahlah kerana kita hidup!


Catatan:

Artikel di atas adalah petikan daripada buku U-TURN KE JALAN LURUS tulisan Zul Ramli M. Razali. Selamat Menyambut Maal Hijrah dan selamat berubah menjadi insan lebih baik - ummuzayd.com