Friday, January 13, 2012

KUCHING MENGGAMIT RINDUKU: HARI PERTAMA

“Ummi, cuti ni tak pergi mana-mana ke?” Tanya anak bujang saya yang baru selesai menduduki PMR. Betul juga katanya, Disember semakin menghampiri penghujung. Kerja pejabat yang tidak bermusim kekadang menyebabkan kita terlupa untuk break. Awal, tengah dan hujung tahun sama banyak. Setelah campur tolak, darab bahagi, akhirnya kami mengambil keputusan untuk balik ke Kuching, Sarawak. Saya sebut “balik” sebab Sarawak merupakan negeri kelahiran dan “kebesaran” saya. Cuma disebabkan tuntutan kerja, saya “menua” di Semenanjung.

16 Disember 2010
Flight kami sebelah petang. Kami ke KLIA naik Express Rail Link (ERL) dari Putrajaya Sentral. Selain menjimatkan kos, cara ini lebih adventure daripada naik teksi terus ke lapanganterbang. Anak-anak suka travel menggunakan pengangkutan awam sebab jarang-jarang mendapat peluang sebegitu. Kalau dimuhasabah, memang menggunakan pengangkutan awam lebih baik, lebih murah dan lebih mesra alam. Namun, selalunya kita abaikan kelebihan itu sebab nak kejar masa dan lebih selesa. Akhirnya kecanggihan sistem pengangkutan kita dinikmati sebahagian besarnya oleh pendatang asing. Kalau tidak percaya, cuba naik bas di Kuala Lumpur pada waktu puncak pagi dan petang - anda akan terasa seolah-olah anda bukan di Malaysia!

ERL - Antara pengangkutan tercanggih di ibu kota
ERL menghubungkan antara KLIA dengan KL Sentral dengan jarak 57 km. Mula dibina pada 1997, ia siap lima tahun kemudian. Dilancarkan pada 14 April 2002, keretapi berkelajuan maksima 176 km sejam ini mengambil masa hanya 28 minit untuk sampai di KLIA dari KL Sentral jika menaiki ERL Express (tanpa henti) dan 35 minit dengan ERL Transit (perkhidmatan henti-henti). Laju tu... Kalau naik kereta atau bas mau sejam, tu tak termasuk jem yang boleh sampai berjam-jam!

Kami sampai di Lapanganterbang Antarabangsa Kuching selepas selama sejam 40 minit naik belon. Untuk memudahkan pergerakan, kami menyewa sebuah Kancil.  Penginapan kami di Hotel 360. Saya pernah ke hotel ini semasa bertugas di Kuching pada awal tahun ini. Hotelnya memang sangat-sangat ok, bersih dan selesa. Satu faktor lagi yang menyebabkan kami memilih hotel ini ialah ia menyediakan kemudahan mesin basuh. Boleh basuh baju sendiri pada bila-bila masa kita nak. Jadi, tidak perlu bawak baju banyak sangat.

Salah satu daripada dua tower Hotel 360
Hotel 360 terletak di Jalan Datuk Abang Abdul Rahim di kawasan Padungan, kira-kira lima minit perjalanan ke pusat bandaraya Kuching. Bersekali dengan Hock Lee Centre yang menempatkan juga shopping mall, restoran dan deretan kedai. So, kalau ada emergency paluan keroncong tidak diundang (lapar), memang tiada masalah nak makan, cuma kena tengok halal ataupun tak... 
Sebenarnya tak sabar rasanya nak jalan-jalan, tapi dek keletihan kami tangguh hingga selepas Solat Maghrib. Kami memulakan pengembaraan pada hari pertama di Kuching pada sebelah malam. Ke mana lagi kalau tak ke Tebingan Kuching atau lebih dikenali sebagai Waterfront. Sebelum itu, kami mencari kedai makan yang menyediakan menu tradisional Sarawak. Destinasi kami, medan selera berdekatan. Saya order umai dan sayur midin. Yummy…
Kerabu ikan atau udang, dicampur mentah-mentah dengan
jus limau nipis, bawang merah dan cili

Sayuran dari hutan, lebih kurang macam pucuk paku di Semenanjung,
boleh ditumis goreng dengan bawang putih atau belacan, rasanya, peh!
Setelah menjamu selera, kami bergerak ke Tebingan (Waterfront) Kuching. Tempat ini merupakan lokasi mesti lawat bagi sesiapa sahaja yang berkunjung ke ibu negeri Sarawak. Dengan ertikata lain, kalau tak ke sini, lawatan anda dianggap tidak cukup rukun!Di sinilah pada tahun 1839, Rajah Putih yang pertama, James Brooke, mula-mula mendarat di Sarawak dan memulakan sejarahnya yang tersendiri di Bumi Kenyalang ini. Tebingan ini mengalami proses transformasi bermula dengan sebuah penempatan kecil, berkembang menjadi pelabuhan yang sibuk dan kini berfungsi sebagai tempat jalan-jalan dan makan-makan.

Tebingan Kuching pada siang hari
Tebingan ini dibina pada tahun 1993 sepanjang 890 meter menelan belanja purata RM1 juta bagi setiap 10 meter. (Biar betul!) Di sini, dari kejauhan kita akan nampak di seberang sana bangunan Astana, Fort Margherita, Kompleks Dewan Undangan Negeri dan perkampungan Melayu yang sinonim dengan Kek Lapis Sarawak.

Pukul 10.00 malam, kami kembali ke hotel, keletihan tetapi tetap bersemangat untuk berjalan-jalan lagi esok....