Monday, May 28, 2012

HUKUM MENGGUNAKAN RAWATAN TERAPI LARVA



Species Lucilia Cuprina
Kaedah rawatan terapi larva (Maggot Debridement Therapy) iaitu dengan menggunakan ulat daripada lalat bermula sejak dari Perang Dunia Pertama lagi. Sungguhpun begitu, ia hanya dipandang serius di negara ini pada tahun 2002 apabila Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan Malaysia mendapat peruntukan daripada Kementerian Sains dan Inovasi untuk melakukan kajian mengenainya. Hasilnya, pada Mei 2003, percubaan klinikal pertama dijalankan di Hospital Tentera, Lumut.


Tidak semua jenis lalat sesuai untuk kaedah rawatan ini. Hanya yang akan memakan tisu reput sahaja digunakan. Di Malaysia, species lalat yang digunakan ialah Lucilia Cuprina, manakala di barat pula adalah species Lucilia Sericata.

Bagaimanakah rawatan terapi larva ini dilakukan? Mula-mula lalat dibiarkan membiak di dalam makmal dengan menggunakan bahan yang sesuai untuk mendapatkan pembiakan yang optimum. Ulat tersebut kemudiannya disteril untuk membasmi kuman. Apabila diletakkan pada luka, ulat tadi akan merembes enzim yang akan mencairkan tisu mati dan memakannya, lantas membasmi bakteria pada luka. Luka akan cepat sembuh dan tisu baru terbentuk.

Antara penyakit yang boleh dirawat dengan kaedah ini ialah:

• ulser disebabkan diabetes;

bedsore ulcer;

pressure wound;

• ulser disebabkan kanser; dan

• luka akibat kemalangan atau kebakaran.

Fatwa

Isu rawatan terapi menggunakan larva ini telah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali Ke-98 pada 13 hingga 15 Februari 2012. Antara perkara yang dirumuskan dalam perbincangan tersebut ialah:

1. Islam tidak pernah melarang penganutnya mencari penawar bagi sebarang penyakit yang dihidapi. Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Maka sesungguhnya Allah SWT tidak menciptakan sesuatu penyakit kecuali Dia menciptakan bersamanya penawar, melainkan tua.” (Riwayat Ibn Majah)

2. Ulamak Fekah juga meletakkan satu kaedah Fiqhiyyah iaitu “Kemudaratan hendaklah dihilangkan.”

3. Selain daripada khinzir dan anjing, hukum asal semua haiwan adalah suci kecuali jika terdapat dalil yang menyatakan sebaliknya.

4. Bangkai haiwan yang tidak mempunyai darah adalah suci.

Berdasarkan asas-asas di atas, Muzakarah bersetuju bahawa hukum menggunakan rawatan terapi larva adalah harus (boleh). Oleh kerana bangkai larva adalah suci, kehadirannya pada luka tidak akan menjejaskan ibadah pesakit. Pesakit boleh bertayammum untuk mengangkat hadas jika penggunaan air boleh memudharatkannya.

Wallahu a’lam.





Friday, May 11, 2012

MEMBACA BUKAN HOBI


“Saya membaca untuk lulus peperiksaan. Apa lagi kerja saya kalau tidak membaca?”
“Saya membaca untuk mengetahui perkembangan semasa. Kerananya saya ada banyak point untuk bercakap.”
“Saya membaca sebab minat. Saya rasa kosong sekiranya dalam satu hari tidak membaca.”

Itulah antara jawapan yang kita mungkin akan dengar apabila kita bertanya kepada seseorang mengapa dia membaca. Jawapan pertama biasanya datang daripada seorang pelajar. Membaca adalah wajib baginya untuk lulus dalam pengajian. Dan kerana fitrah remaja yang cenderung untuk explore, aktiviti membaca dipanjangkan kepada bahan-bahan bacaan “tidak wajib” berdasarkan minat masing-masing. Oleh sebab itu, tidak hairanlah mengapa pengunjung daripada golongan inilah yang mendominasi kemeriahan Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada saban tahun. Adakah anak-anak muda ini masih gemar membaca apabila mereka sudah bekerja nanti?

Jawapan kedua pula biasanya keluar daripada mulut seorang yang peka terhadap perkembangan semasa, meskipun isu tersebut selalunya tiada kaitan dengan kehidupan peribadinya. Kelebihan ini menyebabkan dia tidak kekok bersembang dengan pelbagai lapisan masyarakat. Kelebihan ini juga merupakan bonus berlipatganda jika dia seorang public speaker. Adakah membaca jambatan meraih perhatian?

Jawapan ketiga lazim diutarakan oleh seorang yang benar-benar ikhlas membaca. Dia membaca kerana minat yang mendalam, bukan dek asakan luaran. Dia tidak membaca untuk lulus apa-apa peperiksaan. Dia akan terus membaca hingga ke akhir hayat. Dia akan membaca meskipun banyak daripada yang dibacanya terbenam sahaja dalam fikirannya tanpa diluahkan kepada orang lain. Untuk itukah kita sepatutnya membaca?

Firman Allah SWT bermaksud, “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan (seluruh makhluk).” (Surah al-‘Alaq, ayat 1) Inilah ayat pertama yang diturunkan kepada Rasul yang terakhir, menunjukkan betapa pentingnya membaca untuk manusia akhir zaman ini. Dan perintah membaca ini dikaitkan dengan akidah iaitu Allah SWT yang menciptakan kita dan apa yang kita baca.

Membaca memperkenalkan kita dengan al-Khaliq, membaca memimpin kita bagaimana mendekatkan diri kita kepada-Nya dan membaca membantu kita meraih kejayaan di dunia dan di akhirat. Justeru, membaca adalah satu kewajipan, bukan satu hobi!





Wednesday, May 2, 2012

BILA ALLAH DAH SAYANG…



Bila Allah dah sayang …

1. Daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman (dalam Hadith Qudsi):

Sesiapa yang memusuhi kekasih-Ku, maka Aku mengisytiharkan peperangan ke atasnya.

Dan tidaklah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu (amalan) yang lebih Aku sukai daripada amalan yang Aku telah fardhukan ke atasnya.

Dan sentiasalah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan sunnat (selepas amalan-amalan farhu) sehingga Aku mengasihinya.

Apabila Aku mengasihinya, Akulah pendengarannya yang dia mendengar dengannya, (Akulah) penglihatannya yang dengannya dia melihat, (Akulah) tangannya yang Dia memegang dengannya dan (Akulah) kakinya yang dengannya dia berjalan.

Dan apabila dia meminta kepada-Ku, nescaya Aku akan berikan kepadanya dan apabila dia memohon perlindungan daripada-Ku, nescaya Aku akan melindunginya.”

(Riwayat al-Bukhari)

2. Daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW, sabda baginda bermaksud, “Apabila Allah Ta’ala mengasihi seorang hamba, Dia akan menyeru kepada Jibril: Sesungguhnya Allah Ta’ala mengasihi si polan, maka hendaklah engkau mengasihinya, maka Jibrilpun mengasihinya. Kemudian Jibril menyeru pula kepada penghuni langit (para Malaikat): Sesungguhnya Allah mengasihi si polan, maka hendaklah kamu semua mengasihinya, lalu semua penghuni langit mengasihinya. Kemudian Allah menjadikannya diterima (dikasihi) di bumi.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sayangkah Allah kepada kita?