Monday, April 29, 2013

DIA SAHABAT SAYA


Persahabatan bermula dengan salam, secara fizikal atau ruhi?

“Kami berkawan sejak kecil. Kami lahir di kampung yang sama. Berkebetulan pula, bila sudah bekerja, di pejabat yang sama.”


“Saya terjumpa dia semasa dalam pertandingan memancing. Setiap kali ada masa lapang, dia call saya dan kami pergi memancing di mana-mana. Akhirnya kami menjadi sahabat baik.”

“Saya seorang ahli perniagaan, kena ramai kawan…”

Ada banyak sebab mengapa kita mengambil seseorang menjadi kawan atau sahabat kita. Dialog di atas adalah sebahagian daripadanya. Bersahabat kerana kebetulan, bersahabat kerana minat yang sama atau bersahabat kerana ada kepentingan peribadi. Tidak ramai yang ambil kisah mengapa kita berkawan, yang penting kita menyenanginya dan dia memberi kebaikan kepada kita. Namun, tahukah kita bahawa berkawan juga boleh membawa kita ke syurga?

“Tujuh golongan yang Allah naungi mereka di bawah naungan-Nya pada hari (di Padang Mahsyar) yang tiada naungan melainkan naungan-Nya … dan dua orang yang saling berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya…” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Persahabatan kerana Allah SWT merupakan nikmat yang amat besar, dikurniakan kepada orang-orang beriman sebagai salah satu daripada tanda-tanda kasih sayang-Nya kepada kita.

“Berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai. Dan hendaklah kamu mengingati nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Dia menyatukan antara hati-hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat-Nya itu bersaudara. Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka, lalu Dia menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat-Nya, mudah-mudahan kamu mendapat petunjuk.” (Maksud Surah Aali ‘Imran, ayat 103)

Walau apapun sebab untuk bersahabat, selama-lamanya ikatan akidah Islam tetap merupakan ikatan yang paling kukuh. Mengapakah begitu? Kerana kepentingan dunia tidak kekal sebagaimana dunia itu sendiri akan fana.

Secara tabi’inya, kehidupan tidak menjanjikan kesenangan dan kemudahan total sepanjang perjalanannya. Ada ketikanya, malah seringkali, kita tersadung batu, kaki terpijak duri dan kita terhenti leka memerhati keindahan sekeliling. Akibatnya, kita sakit atau terlewat sampai di destinasi. Ketika itulah, kita memerlukan seorang sahabat yang baik. Dia akan membantu kita untuk bangun semula, mengesat darah yang mengalir sambil memberi kata perangsang dan mengingatkan kita supaya tidak terus terlalai.

“Demi masa, sesungguhnyanya manusia berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Mereka saling berpesan dengan kebenaran dan saling berpesan dengan kesabaran.” (Maksud Surah al-‘Asr, ayat 1-3)

Sahabat yang baik – melihat wajahnya sahaja, akan mengingatkan kita kepada Allah…