Tuesday, July 23, 2013

NOTA RAMADHAN 3

SIAPAKAH YANG DIBOLEHKAN TIDAK BERPUASA?
BAGAIMANAKAH PULA CARA MENGQADHAKKANNYA?

Pastikan ia Halalan Tayyiban

1. Orang yang musafir atau sakit

• Orang yang musafir atau sakit dibolehkan tidak berpuasa, tetapi dia wajib mengqadhakkannya sebelum datang bulan Ramadhan pada tahun berikutnya.

• Sekiranya dia sengaja tidak mengqadhakkan puasa yang ditinggalkan kerana mengambil ringan sehingga masuk Ramadhan pada tahun berikutnya, dia dikira berdosa. Dia tetap wajib mengqadhakkan puasanya, malah ditambah dengan kewajipan membayar fidyah.

• Membayar fidyah ialah memberi makan orang fakir dengan secupak (lebih kurang 600 gram) makanan asasi untuk setiap hari yang ditinggalkan.

• Sekiranya keuzurannya berterusan sehingga masuk Ramadhan pada tahun berikutnya, dia wajib mengqadhakkan puasanya sahaja dan tidak perlu membayar fidyah.

• Sekiranya dia meninggal dunia sebelum sempat mengqadhakkannya disebabkan keuzuran yang berterusan, dia dikira tidak berdosa dan kaum kerabatnya tidak perlu mengqadhakkan puasa bagi pihaknya.

• Walau bagaimanapun, sekiranya dia mampu mengqadhakkannya tetapi dia berlengah-lengah, kemudian dia meninggal dunia, maka sunnat bagi kaum kerabatnya mengqadhakkan puasa bagi pihaknya.

• Orang lain selain kaum kerabat si mati yang ingin mengqadhakkan puasa si mati hendaklah berbuat demikian dengan wasiat si mati atau mendapatkan keizinan terlebih dahulu daripada kaum kerabat si mati sebelum dia melakukannya. Sekiranya dia mengqadhakkan puasa tanpa salah satu daripada syarat tersebut, maka puasanya tidak sah.

• Sekiranya tidak ada orang yang mengqadhakkan puasa si mati, maka hendaklah dikeluarkan daripada harta pusakanya satu cupak makan makanan bagi setiap hari yang ditinggalkannya.

• Sekiranya dia tidak mempunyai harta, maka orang lain boleh mengeluarkan fidyah bagi pihaknya dan dikira terlepaslah dosanya.

2. Orang yang terlalu tua atau pesakit yang tiada harapan untuk sembuh

• Orang yang sudah terlalu tua hingga tidak mampu berpuasa atau orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh dibolehkan tidak berpuasa. Dia atau kaum kerabatnya tidak wajib mengqadhakkan puasa tersebut dan dia hanya perlu membayar fidyah.

3. Wanita yang hamil atau menyusukan anak

• Wanita yang hamil atau menyusukan anak dibolehkan tidak berpuasa. Samada dia wajib mengqadhakkan dan membayar fidyah bergantung kepada faktor yang menyebabkan dia tidak berpuasa.

• Sekiranya dia bimbang puasa akan memudaratkan dirinya sahaja dan bukan bayi yang dikandung atau disusui, maka dia wajib mengqadhakkan puasanya sebelum datang bulan Ramadhan pada tahun berikutnya dan dia tidak perlu membayar fidyah.

• Sekiranya dia bimbang berlaku kemudaratan kepada anak sahaja, maka dia wajib mengqadhakkan puasa dan membayar fidyah.

• Sekiranya dia bimbang puasa akan memudaratkan kedua-dua diri dan anaknya, maka dia juga wajib mengqadhakkan puasa dan membayar fidyah.


Wallahu a’lam.

Wednesday, July 17, 2013

NOTA RAMADHAN 2: PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA


Satu daripada dua rukun asasi puasa ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkannya. Perkara-perkara yang membatalkan puasa ialah:


1. Makan dan minum

- Puasa batal jika makan atau minum dengan sengaja walaupun sedikit.

- Sekiranya seseorang terlupa bahawa dia sedang berpuasa, lalu dia makan atau minum sedkit atau banyak, maka puasanya tidak batal.

- Sekira dia dipaksa makan atau minum oleh pihak yang diyakini benar-benar mampu menzaliminya, lalu dia makan atau minum, maka puasanya tidak batal kerana hukum ikhtiar (mempunyai pilihan) telah gugur daripadanya.


2. Sampai sesuatu ke dalam rongga melalui liang yang terbuka

- Maksud “sesuatu” : benda yang boleh dilihat oleh mata. Maksud “rongga” : otak atau apa yang ada di bawah halkum hingga ke perut. Maksud “liang yang terbuka” : mulut, telinga, qubul dan dubur samada bagi lelaki atau perempuan.

- Air yang masuk melalui telinga atau suntikan di lubang dubur membatalkan puasa.

- Sekiranya air masuk ke dalam mata, atau suntikan pada urat, puasa tidak batal kerana mata dan urat bukan liang yang terbuka.

- Sekiranya perkara-perkara di atas dilakukan secara tidak sengaja seperti terlupa sedang berada dalam keadaan berpuasa, maka puasa tidak batal. Ini diqiaskan kepada hukum makan dan minum seperti di perenggan (1).

- Sekiranya lalat, nyamuk atau debu jalan termasuk ke dalam rongga,maka puasa tidak batal kerana perkara-perkara tersebut sukar dielakkan.

- Menelan air liur sendiri tidak membatalkan puasa kerana ia dianggap di luar kawalan. Walau bagaimanapun, jika air liur itu bercampur dengan najis seperti gusinya berdarah dan dia tidak membersihnya, maka puasa batal sekalipun air liur berwarna jernih.

- Sekiranya berkumur atau memasukkan air ke dalam hidung secara tidak melampau, lalu air itu termasuk ke dalam rongga, maka puasa tidak batal. Tetapi jika dia melampau dalam berkumur atau memasukkan air ke dalam hidung, maka puasa batal. Berkumur atau memasukkan air ke dalam hidung secara berlebihan adalah dilarang semasa berpuasa.

- Sekiranya terdapat sisa makanan di celah-celah gigi, kemudian ia bercampur dengan air liur dan dia tidak dapat membezakannya, lalu ditelan tanpa sengaja, maka puasa tidak batal. Jika dia mampu membezakannya, maka puasanya batal kerana dia dianggap lalai.


3. Muntah dengan sengaja

- Muntah dengan sengaja walaupun sedikit membatalkan puasa sekalipun orang yang berpuasa itu yakin muntahnya tidak masuk semula ke dalam rongga.

- Sekiranya dia termuntah iaitu secara tidak sengaja, puasa tidak batal walaupun dia tahu bahawa sebahagian daripada muntahnya telah masuk semula ke dalam rongga tanpa sengaja.


4. Melakukan hubungan kelamin dengan sengaja walaupun tanpa keluar air mani

- Sekiranya melakukan hubungan kelamin dalam keadaan terlupa, maka puasa tidak batal.


5. Mengeluarkan air mani dengan sengaja

- Iaitu dengan bercumbu atau menggunakan tangan.

- Sekiranya orang yang berpuasa melakukannya dengan sengaja, maka puasanya batal.

- Sekiranya air mani keluar secara tidak sengaja seperti di luar kawalan, maka puasa tidak batal.


6. Haid dan nifas

- Bagi perempuan, sekiranya haid atau nifas keluar pada sebahagian daripada siang, maka batallah puasanya, dan diaw wajib mengqadhakkannya.


7. Gila dan murtad

- Gila dan murtad merupakan penghalang daripada sahnya puasa kerana orang yang berada dalam keadaan demikian tidak mempunyai kelayakan untuk beribadat termasuk berpuasa.


Catatan:

- Sekiranya orang yang berpuasa melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa dengan sangkaan bahawa fajar belum terbit, kemudian dia mendapati sangkaannya salah, maka puasanya batal. Walau bagaimanapun, dia hendaklah menahan diri daripada makan, minum dan seumpamanya pada siang hari tersebut sebagai menghormati bulan Ramadhan, di samping wajib mengqadhakkannya.

- Sekiranya dia berbuka dengan sangkaan bahawa matahari telah tenggelam, kemudian dia mendapati sangkaannya salah, maka batallah puasanya dan dia wajib mengqadhakkannya.


Wallahu a’lam.

NOTA RAMADHAN 1: PENETAPAN BULAN RAMADHAN

 


Penetapan bulan Ramadhan dibuat berdasarkan salah satu daripada dua perkara berikut:

1. Melihat anak bulan Ramadhan (Rukyah al-Hilal) pada malam 30 Syaaban

- Berlaku apabila seorang saksi yang adil menyatakan kesaksiannya di hadapan qadhi bahawa dia telah melihat anak bulan; atau

2. Mencukupkan 30 hari bulan Syaaban

- Berlaku apabila anak bulan tidak kelihatan disebabkan awan tebal ataupun tiada saksi yang adil datang kepada qadhi menyatakan bahawa dia telah melihat anak bulan. Ketika itu, hendaklah disempurnakan bulan Syaaban sebanyak 30 hari.

- Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Hendaklah kamu berpuasa kerana melihatnya (anak bulan) dan hendaklah kamu berbuka (berhariraya) kerana melihatnya. Maka sekiranya kamu terhalang daripada melihatnya, maka sempurnakanlah bilangan bulan Syaaban selama 30 hari.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

- Apabila anak bulan kelihatan di suatu negeri, maka penduduk negeri berhampiran wajib berpuasa kerana negeri-negeri yang berdekatan dihukumkan sebagai satu negeri. Ukuran jauh atau dekat berdasarkan kepada perbezaan matla’ (tempat terbit anak bulan).

- Diriwayatkan oleh Muslim daripada Kuraib, katanya, “Aku telah melihat anak bulan Ramadhan semasa aku berada di Syam. Aku melihatnya pada malam Jumaat. Kemudian aku pergi ke Madinah pada akhir bulan, lalu Ibn ‘Abbas RA bertanya kepadaku, “Bilakah kamu semua melihat anak bulan?”

Jawabku, “Kami melihatnya pada malam Jumaat”

Katanya (Ibn Abbas RA), “Adakah kamu yang melihatnya?”

Jawabku, “Ya, dan orang ramai juga telah melihatnya, lalu mereka berpuasa dan Muawiyah juga berpuasa.”

Katanya, “Kami semua melihatnya pada malam Sabtu. Kami terus berpuasa sehingga sempurna 30 hari ataupun kami akan melihatnya (anak bulan Ramadhan).”

Aku berkata, “Adakah tidak mencukupi dengan rukyah Muawiyah dan puasanya?”

Katanya, “Tidak, beginilah kami telah diperintahkan oleh Rasulullah SAW.”

- Berdasarkan hadith di atas, ulamak telah membuat ketetapan seperti berikut:

a) Sekiranya seorang penduduk negeri yang telah melihat anak bulan bermusafir ke negeri yang belum melihat anak bulan, maka dia hendaklah berpuasa bersama-sama penduduk negeri itu walaupun dia telah menyempurnakan puasa selama 30 hari.

- Sebab: Perpindahannya ke negeri tersebut menyebabkan dia dikira sebagai penduduk negeri berkenaan. Oleh sebab itu, dia wajib mengikut hukum mereka.

b) Sesiapa yang bermusafir dari negeri yang tidak melihat anak bulan ke negeri yang melihat anak bulan, maka dia hendaklah berhariraya bersama-sama dengan penduduk negeri yang kedua sama ada dia telah berpuasa selama 28 hari atau 29 hari.

- Sekiranya dia berpuasa selama 28 hari, maka dia hendaklah mengqadhakkan puasa satu hari kerana bilangan minima hari dalam bulan Hijrah ialah 29 hari.

c) Sesiapa yang pada waktu paginya berada di negeri yang sudah berhariraya, lalu dia bermusafir ke negeri yang penduduknya masih berpuasa, maka dia wajib menahan dirinya (berpuasa) pada baki hari tersebut sebagai mengikuti penduduk negeri berkenaan.



TEMPAT-TEMPAT MELIHAT ANAK BULAN DI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA DAN SELANGOR


1. Menara Kuala Lumpur

2. Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC)

3. Bukit Jugra, Kuala Langat

4. Bukit Melawati, Kuala Selangor

5. Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam


Bukit Melawati, Kuala Selangor

Wallahu a’lam.