Friday, August 8, 2014

PERGIMU KALI INI...



Tanggal 3 Jun 2014 bersamaan 5 Syaaban 1435H, kau, suamiku pergi meninggalkanku dan anak-anak kita. Pergimu kali ini bukan seperti pergimu sebelum-sebelumnya. Dulu kau pergi demi tugasmu dan kami tahu seusai kerjamu kau akan kembali. Kau akan sering menelefon memberitahu kau akan balik dan anak-anak akan kegirangan, Abi akan balik, abang akan pintu pagar dan adik akan terjenguk-jenguk di tingkap menunggu kepulanganmu.

Namun, pergimu kali ini tidak sama. Kali ini kau pergi untuk selama-lamanya dan tidak akan kembali. Setiap kali aku mengenangi hakikat ini, aku pasti menangis sepertimana aku menitiskan airmata di saat ini. Mahu sahaja aku mengharap pemergianmu kali ini sama seperti pemergianmu sebelum-sebelum ini. Kau akan menelefon, abang akan membuka pintu pagar dan adik akan melompat kegirangan sambil berkata, "Abi balik, Abi balik..."          

Namun, aku sedar ia tidak akan berlaku. Kau sudah tiada, kau telah pergi untuk selama-lamanya.

Tuhanku, ampunilah segala dosa suamiku, abi anak-anakku... Cucurilah rahmat-Mu ke atas rohnya, sejahterakanlah dia di sana, maafkanlah dia dan tempatkanlah dia dalam rahmat dan syurga-Mu bersama-sama hamba-hamba-Mu yang Kau kasihi...

Tuhanku... Kau kekalkanlah rindu ini di hatiku dan di hati anak-anakku sehingga kami bertemu semula dengannya di jannah-Mu....

Amin ya Rabbal 'Alamin....

Thursday, February 27, 2014

SOLAT ISTISQA'


Ya Allah... Tiada upaya dan kekuatan kami melainkan dengan rahmat-Mu

Takrif Solat Istisqa’

Solat Istisqa’ ialah solat yang disyariatkan ketika hujan tidak turun dan mata air kekeringan.

Hukum Solat Istisqa’

Solat Istisqa’ disunnatkan ketika berlaku sebabnya. Sebahagian ulamak berpendapat hukum Solat Istisqa’ adalah sunnat muakkad. Tuntutan melakukannya akan luput apabila sebab tersebut hilang seperti turunnya hujan atau mata air mula mengalir.

Waktu Solat Istisqa’

Sebahagian ulamak berpendapat bahawa waktu Solat Istisqa’ adalah sama dengan waktu solat hari raya. Walau bagaimanapun, pendapat yang lebih kuat mengatakan bahawa tiada waktu khusus untuk Solat Istisqa’ .

Cara-cara Melakukan Solat Istisqa’

Terdapat tiga cara untuk memohon hujan iaitu:

1. Cara paling minima:
  
Dengan semata-mata berdoa kepada Allah SWT pada bila-bila masa yang disukai, sama ada secara perseorangan atau   berjemaah;

2. Cara pertengahan:
  
Dengan berdoa selepas berdiri daripada rukuk pada rakaat terakhir solat fardhu atau selepas selesai solat fardhu atau solat sunnat; dan

3. Cara yang paling sempurna: (seperti di bawah)

Cara Solat Istisqa’ yang Paling Sempurna

[Pertama]

Imam (ketua pemerintah) atau naibnya hendaklah menyuruh orangramai melakukan perkara-perkara berikut:

1. Bertaubat dengan sebenar-benar taubat;
2. Bersedekah kepada fakir miskin, meninggalkan segala bentuk kezaliman (atau mengembalikan segala benda yang telah diambil dengan cara yang zalim) dan mendamaikan antara orang yang berkelahi; dan
3. Berpuasa selama empat hari berturut-turut. Solat Istisqa’ diadakan pada hari keempat berpuasa.

Semua perkara di atas sunnat dilakukan kerana ia akan menjadi faktor, Insya Allah, kepada penerimaan doa oleh Allah SWT sebagaimana yang disabitkan di dalam hadis-hadis sahih.

[Kedua]

Imam (ketua pemerintah) keluar bersama-sama dengan orangramai pada hari keempat dalam keadaan berpuasa, memakai pakaian lama (lusuh), dalam keadaan khusyuk dan hina menuju ke padang yang luas atau masjid. Kemudian Imam (ketua pemerintah) atau naibnya solat bersama-sama dengan orangramai sebanyak dua rakaat seperti dua rakaat hari raya.

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas RA, katanya: Rasulullah SAW keluar dalam keadaan tawadhu’, menghina diri kepada Allah, khusyuk dan merendah diri. Kemudian baginda solat dua rakaat sebagaimana solat pada hari raya.

Kalimah merendah diri (tadharru’) menunjukan rasa rendah dan hina diri ketika memohon hajat kepada Allah SWT. Tidak disyariatkan berwangi-wangian kerana perbuatan tersebut menggambarkan kegembiraan.

[Ketiga]

Apabila selesai solat, imam (ketua pemerintah) hendaklah berkhutbah dengan dua khutbah seperti khutbah hari raya, kecuali kedua-duanya hendaklah dimulai dengan istighfar sebanyak sembilan kali pada khutbah pertama dan tujuh kali pada khutbah kedua sebagai ganti kepada takbir.

Firman Allah SWT di dalam Surah Nuh, ayat 10-11 bermaksud, “Mohonlah keampunan daripada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan menurunkan kepada kamu hujan yang lebat.”

Daripada Abu Hurairah, katanya: Rasulullah SAW keluar pada hari meminta hujan, lalu baginda solat bersama-sama kami sebanyak dua rakaat tanpa azan dan iqamah. Kemudian baginda berkhutbah kepada kami dan berdoa kepada Allah serta memalingkan wajah baginda ke arah kiblat dalam keadaan mengangkat kedua-dua tangan baginda. Kemudian baginda menukar kedudukan kain selendang baginda dengan menjadikan bahagian kanan ke kiri dan bahagian kiri ke kanan.

Khatib dan orangramai disunnatkan memperbanyakkan beristighfar, berdoa, bertaubat dan tunduk menghina diri serta bertawassul dengan orang soleh dan bertaqwa.

[Keempat]

Disunnatkan membawa kanak-kanak kecil, orang tua dan binatang-binatang ternakan ke tempat solat kerana musibah yang berlaku adalah juga menimpa mereka semua. Doa kanak-kanak, orang tua dan orang yang lemah lebih dekat untuk diqabulkan oleh Allah SWT. Ahli zimmi tidak diharamkan menghadiri majlis tersebut.

Wallahu a’lam.

Tuesday, January 28, 2014

PERSIMPANGAN


Jalan manakah yang kita pilih: kiri atau kanan?
Kita adalah apa yang kita pilih...

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Fatihah, ayat 4 bermaksud,

                    “(Allah) yang menguasai hari pembalasan.”

Beriman kepada Hari Pembalasan merupakan antara aqidah pokok dalam Islam. Isunya amat besar dan mempunyai kesan yang sangat mendalam dalam seluruh kehidupan manusia. Rangkai kata “yang menguasai” atau ”penguasa” membayangkan darjah kuasa yang paling tinggi, dan “Hari pembalasan” ialah hari penentuan balasan di akhirat.

Nilai kepercayaan ini meletakkan pandangan dan hati manusia pada sebuah alam yang lain setelah tamatnya alam bumi ini:

• supaya mereka tidak begitu terkongkong dengan keperluan-keperluan bumi sahaja dan ketika itu, mereka tidak lagi terpengaruh kepadanya;

• supaya mereka tidak gelisah untuk mendapatkan balasan dan ganjaran dari hasil usaha mereka dalam usia mereka yang pendek dan di alam bumi yang terbatas ini dan ketika itu, barulah mereka dapat melakukan amalan semata-mata kerana Allah SWT. Mereka sanggup menunggu ganjarannya mengikut sebagaimana yang ditentukan oleh Allah SWT samada di alam bumi ini atau di alam akhirat nanti.

Kepercayaan kepada Hari Pembalasan merupakan:

• persimpangan jalan yang memisahkan antara perhambaan kepada keinginan-keinginan hawa nafsu dengan kebebasan insaniyyah yang layak dengan kejadian makhluk manusia;

• persimpangan jalan yang memisahkan antara tunduk kepada kefahaman, nilai dan ukuran bumi dengan tunduk dan berpegang kepada nilai-nilai Rabbaniyyah serta tidak tunduk kepada logik Jahiliyyah;

• persimpangan jalan antara insaniyyah dalam bentuk hakikatnya yang unggul sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT kepada para hamba-Nya dengan insaniyyah dalam bentuk-bentuknya yang buruk, menyeleweng dan tidak sempurna.

Kehidupan manusia tidak akan bergerak lurus atas jalan Allah SWT yang luhur:

• selagi kepercayaan pokok kepada Hari Pembalasan ini tidak wujud dalam pemikiran mereka, selagi hati mereka tidak yakin bahawa ganjaran dan balasan di alam bumi ini bukanlah ganjaran mereka yang terakhir;

• dan selagi mereka yang mempunyai usia yang terbatas itu tidak percaya bahawa di sana ada sebuah alam hidup akhirat yang patut mereka berjuang dan berusaha untuknya dan patut berkorban untuk membantu kebenaran dan mendokong kebaikan dengan kepercayaan akan mendapat balasan dan ganjaran di alam akhirat itu.

Orang-orang yang beriman kepada alam akhirat dan orang-orang yang mengingkarinya tidak mempunyai titik-titik persamaan dari segi perasaan, akhlak, kelakuan dan amalannya. Mereka merupakan dua golongan manusia yang berbeza. Mereka tidak bertemu di bumi dan tidak bertemu juga di akhirat. Inilah persimpangan jalan…


Petikan buku “Tafsir fi Zilal al-Quran”
oleh Sayyid Qutb

Monday, January 13, 2014

MAULIDURRASUL DI HATIKU

Mudah-mudahan jarak yang jauh tidak menjauhkan
hati-hati kita daripada baginda...
“Wah… cantiknya. Yang mana baju saya?”


“Besok cuti, nak pergi shoppinglah…”

“Jom! Semarakkan cinta kita kepada Rasulullah!”

Antara dialog menjelang Sambutan Maulidurrasul yang diadakan pada setiap tahun. Masing-masing kita ada persepsi sendiri mengenai 12 Rabi’ul Awwal. Benarlah kata pakar motivasi terkenal seantero dunia, Steven Covey di dalam bukunya “The Seven Habits of Highly Effective People”.

Habit 2: Begin With The End In Mind

Mulakan dengan apa yang berakhir di fikiran!

Maulidurrasul adalah perarakan dan perhimpunan, majlis berprestij bukan sahaja di peringkat kampung, taman, daerah, negeri bahkan negara. Suasana warna warni dan meriah. Sebab itu, baju yang dipakaipun kena cantik, ada pertandingan!. Belanja keseluruhan sambutan tidak mustahil mencecah jutaan.

Maulidurrasul adalah cuti am. Sepertimana cuti-cuti am yang lain, peluang ini digunakan untuk berehat atau melakukan perkara-perkara yang tidak sempat dilakukan pada hari-hari bekerja. Membersih rumah, jalan-jalan, shopping mesti ada dalam senarai must-do. Paling tidakpun memberi sedikit tambahan masa untuk mata terlelap.

Maulidurrasul mengingatkan kita untuk muhasabah diri di manakah Rasulullah SAW di hati kita. Kita insan pelupa dan mudah lalai. Sambutan besar-besaran dan peluang bercuti bagai menarik perhatian kita untuk berfikir sejenak.

So, apa makna Maulidurrasul di hati anda?

Firman Allah SWT di dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 31 bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad)!, sekiranya kamu mencintai Allah, maka ikutlah aku, nescaya Allah akan mencintai kamu dan mengampun bagi kamu dosa-dosa kamu. Dan bahawasanya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Selamat menyambut Maulidurrasul 1435H…