Thursday, February 27, 2014

SOLAT ISTISQA'


Ya Allah... Tiada upaya dan kekuatan kami melainkan dengan rahmat-Mu

Takrif Solat Istisqa’

Solat Istisqa’ ialah solat yang disyariatkan ketika hujan tidak turun dan mata air kekeringan.

Hukum Solat Istisqa’

Solat Istisqa’ disunnatkan ketika berlaku sebabnya. Sebahagian ulamak berpendapat hukum Solat Istisqa’ adalah sunnat muakkad. Tuntutan melakukannya akan luput apabila sebab tersebut hilang seperti turunnya hujan atau mata air mula mengalir.

Waktu Solat Istisqa’

Sebahagian ulamak berpendapat bahawa waktu Solat Istisqa’ adalah sama dengan waktu solat hari raya. Walau bagaimanapun, pendapat yang lebih kuat mengatakan bahawa tiada waktu khusus untuk Solat Istisqa’ .

Cara-cara Melakukan Solat Istisqa’

Terdapat tiga cara untuk memohon hujan iaitu:

1. Cara paling minima:
  
Dengan semata-mata berdoa kepada Allah SWT pada bila-bila masa yang disukai, sama ada secara perseorangan atau   berjemaah;

2. Cara pertengahan:
  
Dengan berdoa selepas berdiri daripada rukuk pada rakaat terakhir solat fardhu atau selepas selesai solat fardhu atau solat sunnat; dan

3. Cara yang paling sempurna: (seperti di bawah)

Cara Solat Istisqa’ yang Paling Sempurna

[Pertama]

Imam (ketua pemerintah) atau naibnya hendaklah menyuruh orangramai melakukan perkara-perkara berikut:

1. Bertaubat dengan sebenar-benar taubat;
2. Bersedekah kepada fakir miskin, meninggalkan segala bentuk kezaliman (atau mengembalikan segala benda yang telah diambil dengan cara yang zalim) dan mendamaikan antara orang yang berkelahi; dan
3. Berpuasa selama empat hari berturut-turut. Solat Istisqa’ diadakan pada hari keempat berpuasa.

Semua perkara di atas sunnat dilakukan kerana ia akan menjadi faktor, Insya Allah, kepada penerimaan doa oleh Allah SWT sebagaimana yang disabitkan di dalam hadis-hadis sahih.

[Kedua]

Imam (ketua pemerintah) keluar bersama-sama dengan orangramai pada hari keempat dalam keadaan berpuasa, memakai pakaian lama (lusuh), dalam keadaan khusyuk dan hina menuju ke padang yang luas atau masjid. Kemudian Imam (ketua pemerintah) atau naibnya solat bersama-sama dengan orangramai sebanyak dua rakaat seperti dua rakaat hari raya.

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas RA, katanya: Rasulullah SAW keluar dalam keadaan tawadhu’, menghina diri kepada Allah, khusyuk dan merendah diri. Kemudian baginda solat dua rakaat sebagaimana solat pada hari raya.

Kalimah merendah diri (tadharru’) menunjukan rasa rendah dan hina diri ketika memohon hajat kepada Allah SWT. Tidak disyariatkan berwangi-wangian kerana perbuatan tersebut menggambarkan kegembiraan.

[Ketiga]

Apabila selesai solat, imam (ketua pemerintah) hendaklah berkhutbah dengan dua khutbah seperti khutbah hari raya, kecuali kedua-duanya hendaklah dimulai dengan istighfar sebanyak sembilan kali pada khutbah pertama dan tujuh kali pada khutbah kedua sebagai ganti kepada takbir.

Firman Allah SWT di dalam Surah Nuh, ayat 10-11 bermaksud, “Mohonlah keampunan daripada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan menurunkan kepada kamu hujan yang lebat.”

Daripada Abu Hurairah, katanya: Rasulullah SAW keluar pada hari meminta hujan, lalu baginda solat bersama-sama kami sebanyak dua rakaat tanpa azan dan iqamah. Kemudian baginda berkhutbah kepada kami dan berdoa kepada Allah serta memalingkan wajah baginda ke arah kiblat dalam keadaan mengangkat kedua-dua tangan baginda. Kemudian baginda menukar kedudukan kain selendang baginda dengan menjadikan bahagian kanan ke kiri dan bahagian kiri ke kanan.

Khatib dan orangramai disunnatkan memperbanyakkan beristighfar, berdoa, bertaubat dan tunduk menghina diri serta bertawassul dengan orang soleh dan bertaqwa.

[Keempat]

Disunnatkan membawa kanak-kanak kecil, orang tua dan binatang-binatang ternakan ke tempat solat kerana musibah yang berlaku adalah juga menimpa mereka semua. Doa kanak-kanak, orang tua dan orang yang lemah lebih dekat untuk diqabulkan oleh Allah SWT. Ahli zimmi tidak diharamkan menghadiri majlis tersebut.

Wallahu a’lam.