Showing posts with label fiqh. Show all posts
Showing posts with label fiqh. Show all posts

Thursday, February 27, 2014

SOLAT ISTISQA'


Ya Allah... Tiada upaya dan kekuatan kami melainkan dengan rahmat-Mu

Takrif Solat Istisqa’

Solat Istisqa’ ialah solat yang disyariatkan ketika hujan tidak turun dan mata air kekeringan.

Hukum Solat Istisqa’

Solat Istisqa’ disunnatkan ketika berlaku sebabnya. Sebahagian ulamak berpendapat hukum Solat Istisqa’ adalah sunnat muakkad. Tuntutan melakukannya akan luput apabila sebab tersebut hilang seperti turunnya hujan atau mata air mula mengalir.

Waktu Solat Istisqa’

Sebahagian ulamak berpendapat bahawa waktu Solat Istisqa’ adalah sama dengan waktu solat hari raya. Walau bagaimanapun, pendapat yang lebih kuat mengatakan bahawa tiada waktu khusus untuk Solat Istisqa’ .

Cara-cara Melakukan Solat Istisqa’

Terdapat tiga cara untuk memohon hujan iaitu:

1. Cara paling minima:
  
Dengan semata-mata berdoa kepada Allah SWT pada bila-bila masa yang disukai, sama ada secara perseorangan atau   berjemaah;

2. Cara pertengahan:
  
Dengan berdoa selepas berdiri daripada rukuk pada rakaat terakhir solat fardhu atau selepas selesai solat fardhu atau solat sunnat; dan

3. Cara yang paling sempurna: (seperti di bawah)

Cara Solat Istisqa’ yang Paling Sempurna

[Pertama]

Imam (ketua pemerintah) atau naibnya hendaklah menyuruh orangramai melakukan perkara-perkara berikut:

1. Bertaubat dengan sebenar-benar taubat;
2. Bersedekah kepada fakir miskin, meninggalkan segala bentuk kezaliman (atau mengembalikan segala benda yang telah diambil dengan cara yang zalim) dan mendamaikan antara orang yang berkelahi; dan
3. Berpuasa selama empat hari berturut-turut. Solat Istisqa’ diadakan pada hari keempat berpuasa.

Semua perkara di atas sunnat dilakukan kerana ia akan menjadi faktor, Insya Allah, kepada penerimaan doa oleh Allah SWT sebagaimana yang disabitkan di dalam hadis-hadis sahih.

[Kedua]

Imam (ketua pemerintah) keluar bersama-sama dengan orangramai pada hari keempat dalam keadaan berpuasa, memakai pakaian lama (lusuh), dalam keadaan khusyuk dan hina menuju ke padang yang luas atau masjid. Kemudian Imam (ketua pemerintah) atau naibnya solat bersama-sama dengan orangramai sebanyak dua rakaat seperti dua rakaat hari raya.

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas RA, katanya: Rasulullah SAW keluar dalam keadaan tawadhu’, menghina diri kepada Allah, khusyuk dan merendah diri. Kemudian baginda solat dua rakaat sebagaimana solat pada hari raya.

Kalimah merendah diri (tadharru’) menunjukan rasa rendah dan hina diri ketika memohon hajat kepada Allah SWT. Tidak disyariatkan berwangi-wangian kerana perbuatan tersebut menggambarkan kegembiraan.

[Ketiga]

Apabila selesai solat, imam (ketua pemerintah) hendaklah berkhutbah dengan dua khutbah seperti khutbah hari raya, kecuali kedua-duanya hendaklah dimulai dengan istighfar sebanyak sembilan kali pada khutbah pertama dan tujuh kali pada khutbah kedua sebagai ganti kepada takbir.

Firman Allah SWT di dalam Surah Nuh, ayat 10-11 bermaksud, “Mohonlah keampunan daripada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan menurunkan kepada kamu hujan yang lebat.”

Daripada Abu Hurairah, katanya: Rasulullah SAW keluar pada hari meminta hujan, lalu baginda solat bersama-sama kami sebanyak dua rakaat tanpa azan dan iqamah. Kemudian baginda berkhutbah kepada kami dan berdoa kepada Allah serta memalingkan wajah baginda ke arah kiblat dalam keadaan mengangkat kedua-dua tangan baginda. Kemudian baginda menukar kedudukan kain selendang baginda dengan menjadikan bahagian kanan ke kiri dan bahagian kiri ke kanan.

Khatib dan orangramai disunnatkan memperbanyakkan beristighfar, berdoa, bertaubat dan tunduk menghina diri serta bertawassul dengan orang soleh dan bertaqwa.

[Keempat]

Disunnatkan membawa kanak-kanak kecil, orang tua dan binatang-binatang ternakan ke tempat solat kerana musibah yang berlaku adalah juga menimpa mereka semua. Doa kanak-kanak, orang tua dan orang yang lemah lebih dekat untuk diqabulkan oleh Allah SWT. Ahli zimmi tidak diharamkan menghadiri majlis tersebut.

Wallahu a’lam.

Tuesday, July 23, 2013

NOTA RAMADHAN 3

SIAPAKAH YANG DIBOLEHKAN TIDAK BERPUASA?
BAGAIMANAKAH PULA CARA MENGQADHAKKANNYA?

Pastikan ia Halalan Tayyiban

1. Orang yang musafir atau sakit

• Orang yang musafir atau sakit dibolehkan tidak berpuasa, tetapi dia wajib mengqadhakkannya sebelum datang bulan Ramadhan pada tahun berikutnya.

• Sekiranya dia sengaja tidak mengqadhakkan puasa yang ditinggalkan kerana mengambil ringan sehingga masuk Ramadhan pada tahun berikutnya, dia dikira berdosa. Dia tetap wajib mengqadhakkan puasanya, malah ditambah dengan kewajipan membayar fidyah.

• Membayar fidyah ialah memberi makan orang fakir dengan secupak (lebih kurang 600 gram) makanan asasi untuk setiap hari yang ditinggalkan.

• Sekiranya keuzurannya berterusan sehingga masuk Ramadhan pada tahun berikutnya, dia wajib mengqadhakkan puasanya sahaja dan tidak perlu membayar fidyah.

• Sekiranya dia meninggal dunia sebelum sempat mengqadhakkannya disebabkan keuzuran yang berterusan, dia dikira tidak berdosa dan kaum kerabatnya tidak perlu mengqadhakkan puasa bagi pihaknya.

• Walau bagaimanapun, sekiranya dia mampu mengqadhakkannya tetapi dia berlengah-lengah, kemudian dia meninggal dunia, maka sunnat bagi kaum kerabatnya mengqadhakkan puasa bagi pihaknya.

• Orang lain selain kaum kerabat si mati yang ingin mengqadhakkan puasa si mati hendaklah berbuat demikian dengan wasiat si mati atau mendapatkan keizinan terlebih dahulu daripada kaum kerabat si mati sebelum dia melakukannya. Sekiranya dia mengqadhakkan puasa tanpa salah satu daripada syarat tersebut, maka puasanya tidak sah.

• Sekiranya tidak ada orang yang mengqadhakkan puasa si mati, maka hendaklah dikeluarkan daripada harta pusakanya satu cupak makan makanan bagi setiap hari yang ditinggalkannya.

• Sekiranya dia tidak mempunyai harta, maka orang lain boleh mengeluarkan fidyah bagi pihaknya dan dikira terlepaslah dosanya.

2. Orang yang terlalu tua atau pesakit yang tiada harapan untuk sembuh

• Orang yang sudah terlalu tua hingga tidak mampu berpuasa atau orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh dibolehkan tidak berpuasa. Dia atau kaum kerabatnya tidak wajib mengqadhakkan puasa tersebut dan dia hanya perlu membayar fidyah.

3. Wanita yang hamil atau menyusukan anak

• Wanita yang hamil atau menyusukan anak dibolehkan tidak berpuasa. Samada dia wajib mengqadhakkan dan membayar fidyah bergantung kepada faktor yang menyebabkan dia tidak berpuasa.

• Sekiranya dia bimbang puasa akan memudaratkan dirinya sahaja dan bukan bayi yang dikandung atau disusui, maka dia wajib mengqadhakkan puasanya sebelum datang bulan Ramadhan pada tahun berikutnya dan dia tidak perlu membayar fidyah.

• Sekiranya dia bimbang berlaku kemudaratan kepada anak sahaja, maka dia wajib mengqadhakkan puasa dan membayar fidyah.

• Sekiranya dia bimbang puasa akan memudaratkan kedua-dua diri dan anaknya, maka dia juga wajib mengqadhakkan puasa dan membayar fidyah.


Wallahu a’lam.

Wednesday, July 17, 2013

NOTA RAMADHAN 2: PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA


Satu daripada dua rukun asasi puasa ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkannya. Perkara-perkara yang membatalkan puasa ialah:


1. Makan dan minum

- Puasa batal jika makan atau minum dengan sengaja walaupun sedikit.

- Sekiranya seseorang terlupa bahawa dia sedang berpuasa, lalu dia makan atau minum sedkit atau banyak, maka puasanya tidak batal.

- Sekira dia dipaksa makan atau minum oleh pihak yang diyakini benar-benar mampu menzaliminya, lalu dia makan atau minum, maka puasanya tidak batal kerana hukum ikhtiar (mempunyai pilihan) telah gugur daripadanya.


2. Sampai sesuatu ke dalam rongga melalui liang yang terbuka

- Maksud “sesuatu” : benda yang boleh dilihat oleh mata. Maksud “rongga” : otak atau apa yang ada di bawah halkum hingga ke perut. Maksud “liang yang terbuka” : mulut, telinga, qubul dan dubur samada bagi lelaki atau perempuan.

- Air yang masuk melalui telinga atau suntikan di lubang dubur membatalkan puasa.

- Sekiranya air masuk ke dalam mata, atau suntikan pada urat, puasa tidak batal kerana mata dan urat bukan liang yang terbuka.

- Sekiranya perkara-perkara di atas dilakukan secara tidak sengaja seperti terlupa sedang berada dalam keadaan berpuasa, maka puasa tidak batal. Ini diqiaskan kepada hukum makan dan minum seperti di perenggan (1).

- Sekiranya lalat, nyamuk atau debu jalan termasuk ke dalam rongga,maka puasa tidak batal kerana perkara-perkara tersebut sukar dielakkan.

- Menelan air liur sendiri tidak membatalkan puasa kerana ia dianggap di luar kawalan. Walau bagaimanapun, jika air liur itu bercampur dengan najis seperti gusinya berdarah dan dia tidak membersihnya, maka puasa batal sekalipun air liur berwarna jernih.

- Sekiranya berkumur atau memasukkan air ke dalam hidung secara tidak melampau, lalu air itu termasuk ke dalam rongga, maka puasa tidak batal. Tetapi jika dia melampau dalam berkumur atau memasukkan air ke dalam hidung, maka puasa batal. Berkumur atau memasukkan air ke dalam hidung secara berlebihan adalah dilarang semasa berpuasa.

- Sekiranya terdapat sisa makanan di celah-celah gigi, kemudian ia bercampur dengan air liur dan dia tidak dapat membezakannya, lalu ditelan tanpa sengaja, maka puasa tidak batal. Jika dia mampu membezakannya, maka puasanya batal kerana dia dianggap lalai.


3. Muntah dengan sengaja

- Muntah dengan sengaja walaupun sedikit membatalkan puasa sekalipun orang yang berpuasa itu yakin muntahnya tidak masuk semula ke dalam rongga.

- Sekiranya dia termuntah iaitu secara tidak sengaja, puasa tidak batal walaupun dia tahu bahawa sebahagian daripada muntahnya telah masuk semula ke dalam rongga tanpa sengaja.


4. Melakukan hubungan kelamin dengan sengaja walaupun tanpa keluar air mani

- Sekiranya melakukan hubungan kelamin dalam keadaan terlupa, maka puasa tidak batal.


5. Mengeluarkan air mani dengan sengaja

- Iaitu dengan bercumbu atau menggunakan tangan.

- Sekiranya orang yang berpuasa melakukannya dengan sengaja, maka puasanya batal.

- Sekiranya air mani keluar secara tidak sengaja seperti di luar kawalan, maka puasa tidak batal.


6. Haid dan nifas

- Bagi perempuan, sekiranya haid atau nifas keluar pada sebahagian daripada siang, maka batallah puasanya, dan diaw wajib mengqadhakkannya.


7. Gila dan murtad

- Gila dan murtad merupakan penghalang daripada sahnya puasa kerana orang yang berada dalam keadaan demikian tidak mempunyai kelayakan untuk beribadat termasuk berpuasa.


Catatan:

- Sekiranya orang yang berpuasa melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa dengan sangkaan bahawa fajar belum terbit, kemudian dia mendapati sangkaannya salah, maka puasanya batal. Walau bagaimanapun, dia hendaklah menahan diri daripada makan, minum dan seumpamanya pada siang hari tersebut sebagai menghormati bulan Ramadhan, di samping wajib mengqadhakkannya.

- Sekiranya dia berbuka dengan sangkaan bahawa matahari telah tenggelam, kemudian dia mendapati sangkaannya salah, maka batallah puasanya dan dia wajib mengqadhakkannya.


Wallahu a’lam.

NOTA RAMADHAN 1: PENETAPAN BULAN RAMADHAN

 


Penetapan bulan Ramadhan dibuat berdasarkan salah satu daripada dua perkara berikut:

1. Melihat anak bulan Ramadhan (Rukyah al-Hilal) pada malam 30 Syaaban

- Berlaku apabila seorang saksi yang adil menyatakan kesaksiannya di hadapan qadhi bahawa dia telah melihat anak bulan; atau

2. Mencukupkan 30 hari bulan Syaaban

- Berlaku apabila anak bulan tidak kelihatan disebabkan awan tebal ataupun tiada saksi yang adil datang kepada qadhi menyatakan bahawa dia telah melihat anak bulan. Ketika itu, hendaklah disempurnakan bulan Syaaban sebanyak 30 hari.

- Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Hendaklah kamu berpuasa kerana melihatnya (anak bulan) dan hendaklah kamu berbuka (berhariraya) kerana melihatnya. Maka sekiranya kamu terhalang daripada melihatnya, maka sempurnakanlah bilangan bulan Syaaban selama 30 hari.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

- Apabila anak bulan kelihatan di suatu negeri, maka penduduk negeri berhampiran wajib berpuasa kerana negeri-negeri yang berdekatan dihukumkan sebagai satu negeri. Ukuran jauh atau dekat berdasarkan kepada perbezaan matla’ (tempat terbit anak bulan).

- Diriwayatkan oleh Muslim daripada Kuraib, katanya, “Aku telah melihat anak bulan Ramadhan semasa aku berada di Syam. Aku melihatnya pada malam Jumaat. Kemudian aku pergi ke Madinah pada akhir bulan, lalu Ibn ‘Abbas RA bertanya kepadaku, “Bilakah kamu semua melihat anak bulan?”

Jawabku, “Kami melihatnya pada malam Jumaat”

Katanya (Ibn Abbas RA), “Adakah kamu yang melihatnya?”

Jawabku, “Ya, dan orang ramai juga telah melihatnya, lalu mereka berpuasa dan Muawiyah juga berpuasa.”

Katanya, “Kami semua melihatnya pada malam Sabtu. Kami terus berpuasa sehingga sempurna 30 hari ataupun kami akan melihatnya (anak bulan Ramadhan).”

Aku berkata, “Adakah tidak mencukupi dengan rukyah Muawiyah dan puasanya?”

Katanya, “Tidak, beginilah kami telah diperintahkan oleh Rasulullah SAW.”

- Berdasarkan hadith di atas, ulamak telah membuat ketetapan seperti berikut:

a) Sekiranya seorang penduduk negeri yang telah melihat anak bulan bermusafir ke negeri yang belum melihat anak bulan, maka dia hendaklah berpuasa bersama-sama penduduk negeri itu walaupun dia telah menyempurnakan puasa selama 30 hari.

- Sebab: Perpindahannya ke negeri tersebut menyebabkan dia dikira sebagai penduduk negeri berkenaan. Oleh sebab itu, dia wajib mengikut hukum mereka.

b) Sesiapa yang bermusafir dari negeri yang tidak melihat anak bulan ke negeri yang melihat anak bulan, maka dia hendaklah berhariraya bersama-sama dengan penduduk negeri yang kedua sama ada dia telah berpuasa selama 28 hari atau 29 hari.

- Sekiranya dia berpuasa selama 28 hari, maka dia hendaklah mengqadhakkan puasa satu hari kerana bilangan minima hari dalam bulan Hijrah ialah 29 hari.

c) Sesiapa yang pada waktu paginya berada di negeri yang sudah berhariraya, lalu dia bermusafir ke negeri yang penduduknya masih berpuasa, maka dia wajib menahan dirinya (berpuasa) pada baki hari tersebut sebagai mengikuti penduduk negeri berkenaan.



TEMPAT-TEMPAT MELIHAT ANAK BULAN DI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA DAN SELANGOR


1. Menara Kuala Lumpur

2. Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC)

3. Bukit Jugra, Kuala Langat

4. Bukit Melawati, Kuala Selangor

5. Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam


Bukit Melawati, Kuala Selangor

Wallahu a’lam.





Thursday, May 9, 2013

HUKUM MENGGUNAKAN BEKAS


Kayanya...
 Artikel ini merupakan nota Kelas Pengajian Fekah yang diadakan di pejabat saya pada minggu lepas. Sengaja saya kongsi dengan harapan mudah-mudahan ia memberi manfaat krpada kita semua.

"Tok Guru" saya kata sesetengah buku menggunakan perkataan bekas, sesetengah yang lain menggunakan perkataan bejana. Perasan jugak ada kawan-kawan yang tertunjuk tanda soal kat muka bila ustaz sebut "bejana". Alamak! Klasik sangat ke perkataan tu? Nasib baik dia tak sebut, "arakian" ke, "tatkala mana" ke, "sayugia" ke.

Yang dimaksudkan dengan bekas ialah semua peralatan yang digunakan untuk mengisi cecair dan seumpamanya. Contohnya pinggan mangkuk, periuk belanga, sudu garfu, gayung baldi dan apa-apa jelah yang seangkatan dengannya.

Dalam bab ni, ada beberapa perkara yang disentuh oleh ulamak. Antaranya ialah:


[Isu 1] Hukum menggunakan bekas yang dibuat daripada emas dan perak

Haram menggunakan bekas yang dibuat daripada emas dan perak, tak kira apa cara kita menggunakannya. Untuk berwudhuk ke, untuk minum ke, kecuali kalau darurat. Darurat ni maksudnya terpaksa sangat-sangat, bukan saja-saja. Contohnya jika tak ada langsung bekas-bekas lain.

Hukum ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW bermaksud, “Janganlah kamu memakai pakaian sutera dan dibaj (sejenis pakaian yang sangat berharga daripada sutera), janganlah kamu minum menggunakan bekas-bekas yang dibuat daripada emas dan perak dan janganlah kamu makan menggunakan pinggan-pinggan yang dibuat daripadanya. Sesungguhnya ia adalah untuk mereka (orang kafir) di dunia dan untuk kita di akhirat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di dalam hadith ni, Rasulullah SAW melarang kita  makan dan minum  menggunakan bekas-bekas yang dibuat daripada emas dan perak. Ulamak mengharamkan semua bentuk penggunaan berdasarkan qias.

Pengharaman ini meliputi lelaki dan perempuan.

Sepertimana haram menggunakannya, haram juga memilikinya atau menjadikannya sebagai perhiasan.  (Miliki tak boleh, guna tak boleh, "show off" kat orangpun boleh)

[Isu 2] Hukum menggunakan bekas yang ditampal dengan emas atau perak

Maksudnya atas bekas tu, kita tampal emas atau perak.

Hukumnya: Sekiranya tampalan itu emas, haram secara mutlak sama ada emas itu sedikit atau banyak.

Sekiranya tampalan itu daripada perak pulak, hukumnya mengikut keadaan seperti berikut :

a) Sekiranya perak tu sedikit dan bukan untuk tujuan perhiasan, maka hukumnya adalah harus. Maknanya boleh, tak jadi masalah.

b) Sekiranya perak tu banyak dan untuk tujuan perhiasan, maka hukumnya adalah haram.

c) Sekiranya perak tu banyak tapi sebab keperluan, ataupun ia sedikit tapi untuk tujuan perhiasan, maka hukumnya adalah makruh. Maknanya kalau tak buat, dapat pahala. Kalau buat jugak, tak berdosa, cuma tak untunglah.

Hukum boleh menggunakan bekas yang ditampal perak disebabkan keperluan disandarkan kepada hadith daripada ‘Asim al-Ahwal, katanya, “Aku melihat bekas Rasulullah SAW pada Anas bin Malik. Bekas itu telah pecah dan tampalannya dibuat daripada perak. Anas berkata: Aku telah memberi minum kepada Rasulullah SAW menggunakan bekas ini lebih daripada sekian dan sekian kali.” (Riwayat al-Bukhari)

[Isu 3] Menggunakan bekas yang dibuat daripada bahan yang bernilai

Macam mana kalau bekas tu dibuat daripada bahan selain emas dan perak, tapi harganya tersangat-sangatlah mahal? Contohnya dibuat daripada permata ke. Jawapannya harus, boleh, sebab tak ada nas yang mengharamkan kita menggunakannya. Kaedah fekah kata hukum asal sesuatu adalah harus kecuali jika ada dalil menunjukkan sebaliknya.

[Isu 4] Hukum menggunakan bekas milik orang kafir atau telah digunakan oleh orang kafir

Persoalan ni kadang-kadang timbul bila kita menziarahi rumah rakan non Muslim atau singgah di restoran mereka. Rasulullah SAW ada menyebut perkara ini dalam sabda baginda bermaksud, "Maka basuhlah (bekas orang kafir) dan makanlah dengannya.” (Riwayat al-Bukhari)

Perintah membasuh bekas tersebut adalah dengan makna sunnat kerana dibimbangi ia telah digunakan untuk minum arak, makan babi atau seumpamanya. Macam mana dengan pakaian mereka? Hukumnya sama dengan bekas, boleh tapi sunnat basuh dulu.

Kereta terpakai? Tu tak payahlah kecuali kalau kita dukung kereta tu masa solat macam Superman dalam gambar ni!


WalLahu a’lam.



Monday, March 11, 2013

HUKUM MENANAM RAMBUT DI KEPALA



Pada kebiasaannya, masalah keguguran rambut berlaku disebabkan genetik bermula dalam lingkungan usia 20-an atau 30-an dan semakin serius apabila mencecah usia 40-an. Keguguran rambut juga boleh disebabkan masalah kesihatan seperti selepas melahirkan anak atau akibat kimoterapi, pengambilan ubat dan vitamin berlebihan, demam, jangkitan selsema yang serius, tiroid atau protein tidak seimbang dalam pemakanan. Lelaki pula cenderung mengalami keguguran rambut apabila usia meningkat dan perkara ini adalah normal.

Pelbagai teknik rawatan boleh digunakan untuk mengatasi masalah ini. Antara yang paling popular ialah dengan menggunakan losyen dan tonik khas. Walau bagaimanapun, ramai mengakui bahawa kesannya agak lambat dan tidak terlalu ketara. Malah jika tidak bernasib baik, ia mungkin berisiko mengundang masalah yang lebih serius.

Kini, dengan kemajuan dalam bidang perubatan, sesiapa yang ingin mengembalikan kesuburan dan merawat masalah keguguran rambut boleh menjalani rawatan kosmetik iaitu melalui teknik menanam rambut (hair transplant). Teknik ini sudah dipelopori sejak tahun 50-an lagi bermula di Jepun membabitkan pemindahan folikel rambut daripada kawasan lebat ke kawasan kulit kepala yang mengalami keguguran rambut. Didakwa bahawa sebanyak 90 hingga 95 peratus pesakit yang menjalani kaedah ini berjaya mendapatkan kembali rambut asal mereka dalam tempoh 12 minggu.

Teknik ini juga boleh dilakukan oleh mereka yang terlibat dalam kemalangan atau luka di kawasan berambut yang menyebabkan ia langsung tidak tumbuh, misalnya pada kening, misai atau janggut.

Persoalannya, adakah teknik menanam rambut ini dibenarkan oleh syarak? Tidakkah ia termasuk dalam kategori mengubah ciptaan Allah SWT yang diharamkan itu?

Fatwa

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-94 yang bersidang pada 20 hingga 22 April 2011 telah membincangkan isu dan memutuskan seperti berikut:

1. Islam tidak menghalang umatnya untuk melakukan sesuatu rawatan seperti menanam rambut di kepala  
    dengan tujuan untuk memperelokkan diri selagi ia tidak bertentangan dengan syarak dan tidak melampaui
    batas yang telah ditetapkan.

2. Menanam rambut di kepala adalah harus dengan syarat:

        a) Menggunakan rambut sendiri;

        b) Menggunakan bahan-bahan yang suci dan tiada unsur najis; dan

        c) Tidak mendatangkan sebarang kemudharatan.


Wallahu a’lam.

Monday, October 15, 2012

MEMELIHARA SOLAT


Solat tiang agama. Sesiapa yang mengabaikan solat, maka akan runtuhlah agamanya

"Ha! Macam mana kursus?" tegur bos saya ketika terserempak dengannya di pejabat seawal 8.30 pagi tadi.

"Alhamdulillah, ok," jawab saya ringkas.

Walaupun saya tidak bercerita panjang lebar kepadanya , tetapi Kursus Pemantapan Sahsiah dan Organisasi Melalui Tahsin Solat itu memang ok, ok sangat-sangat sebenarnya. Banyak pengajaran yang saya dapat untuk saya perelokkan solat saya, seterusnya menjadikan solat sebagai asas pembentukan peribadi soleh musleh.

Sejak balik dari Taiping pada hari Jumaat yang lepas, tidak henti-henti saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana membuka jalan kepada saya untuk bertemu dengan Ustaz Zul Ramli Razali dari GI Motivation & Training Sdn Bhd.

Kali pertama saya menerima arahan untuk mengadakan kursus ala-ala tahsin solat, puas saya bertanya orang dan menyelusuri internet mencari maklumat. Bukan senang untuk mengadakan kursus seumpama ini. Benda agama ni tidak semudah ABC kerana ia melibatkan soal hati. Akhirnya saya terdengar iklan di radio IKIM mengenai Bengkel Solat yang dikendalikan oleh Ustaz Zul.

Banyak yang saya nak cerita apa yang saya dapat dalam kursus berkenaan. Insya Allah, esok-esok ye. Untuk kali ni, saya hidangkan anda dengan petikan nota yang disediakan oleh Ustaz Zul.

Tajuk: Q & A MEMELIHARA SOLAT


Q : Apakah yang dimaksudkan dengan memelihara solat?

A :

Memelihara solat bermaksud memelihara seluruh syarat dan rukun solat itu sendiri. Ia bermaksud, seseorang itu memahami dengan mendalam hukum dan hikmah seluruh syarat dan rukun solat. Dengan kefahaman mendalam bererti dia telah memelihara solat dengan minda dan roh. Dengan kesungguhan dan mujahadah pula, sempurnalah pemeliharaan itu kerana solat telah dibangunkan dengan istiqamah.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ankabut, ayat 29 bermaksud, “Dan mereka yang bermujahadah pada Kami, akan Kami tunjukkan padanya jalan Kami…”

Orang yang memelihara solat akan menjaga bukan sekadar rukun atau wajib tetapi juga amalan-amalan sunnat.

Q : Apakah maksud memelihara solat bermula daripada sebelumnya?

A :

Khusyuk tidak mungkin diperolehi sebaik takbir dimulakan, tetapi ia perlu bermula sebelum, bahkan sesudah solat. Memelihara solat mesti saat sebelum solat lagi. Ia dimulai dengan memelihara beberapa perkara pokok:

Rezeki yang halal

Rezeki akan membentuk hati. Sekiranya rezeki haram, ia akan mengotorkan hati. Hati yang kotor tidak mungkin dapat menerima cahaya khusyuk. Faktor rezeki yang halal menjadi pra-syarat bagi mendapatkan kekhusyukan. Orang yang beriman sangat warak dalam soal rezeki kerana ia secara langsung dapat menghasilkan kekhusyukan.

Keadaan hati sebelum solat

Hati yang lalai sepanjang hari tidak mungkin dapat menjadikan seseorang itu fokus saat takbir dilafazkan. Hati sangat dipengaruhi oleh persekitarannya. Ia ibarat cermin yang memantulkan apa sahaja, baik atau buruk.

Menunggu masuk waktu solat

Menunggu-nunggu waktu solat di atas sejadah beberapa minit sebelum masuk waktu sangat membantu mendapatkan khusyuk. Ia adalah persediaan fizikal dan rohani bagi mendapatkan fokus dan ketenangan. Fokus dan ketenangan merupakan elemen penting mendapatkan khusyuk.

Mengutamakan solat berbanding segala aktiviti lain

Solat perlu diletakkan sebagai perkara paling utama. Seluruh jadual lain perlu disusun berturutan sesudah solat. Apa sahaja aktiviti hidup perlu memberi laluan kepada solat. Sikap sebegini menjadikan hati sentiasa bersedia untuk bertemu dengan Allah; seluruh urusan lain itu kerdil dibandingkan solat!

Q : Bagaimana pula memelihara solat bagi selepasnya?

A :

Untuk khusyuk yang istiqamah, selepas solat, seseorang itu perlu mengekalkan kehebatan solat dengan :

Memperbanyakkan istighfar

Istighfar sesudah solat adalah pernyataan kepada Allah SWT bahawa selaku hamba, kita ada melakukan kesalahan di dalam solat yang baru sahaja ditunaikan itu. Ini mendorong istighfar yang sebenar dan ini sangat membantu hati kekal fokus apabila solat berikutnya didirikan.

Bersyukur

Perasaan ini perlu mendalam setiap kali selesai mengerjakan solat kerana hakikatnya, boleh mendirikan solat merupakan taufik Ilahi. Taufik merupakan kurniaan Allah dan setiap kurniaan perlu disempurnakan dengan perasaan syukur. Syukur kerana kita boleh melakukan solat melayakkan kita untuk digandakan nikmat khusyuk.

Firman Allah SWT bermaksud, “Sekiranya kamu bersyukur, nescaya Aku akan benar-benar menambahkan bagi kamu nikmat …” (Ibrahim 14: 7)

Berdoa dan mengharap

Selaku hamba, sifat yang tidak boleh putus adalah sentiasa berdoa dan berharap kepada Allah SWT, terutama agar dikurniakan solat yang sempurna. Lihatlah kepada Nabi Ibrahim AS yang terus-terusan berdoa agar dia dan zuriatnya dapat mendirikan solat.

Firman Allah SWT bermaksud, “Wahai Tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat, begitu jua zuriatku, wahai Tuhan yang memperkenankan doa …” (Ibrahim 14: 40)

Terus berzikir mengingati Allah

Hati tidak boleh dibiarkan lalai ketika menguruskan dunia. Hati inilah yang akan mendapat khusyuk ketika solat. Allah SWT berfirman bermaksud, “Dan apabila kalian telah menunaikan solat, maka bertebaranlah di muka bumi dan dan carilah kelebihan … (Al-Jumuah 62:10)

Wallahu a'lam.








Friday, June 22, 2012

HUKUM PENGGUNAAN BONE CHINA


"Wah! Cantiknya....," melopong juga melihat deretan set pinggan mangkuk di kedai itu. Kalau ada wanita yang tidak "terliur" untuk memilikinya, dia adalah satu dalam sejuta, susah nak jumpa. Namun sebagai Muslim, semua perkara kena rujuk hukum, termasuk dalam soal pinggan mangkuk. Itulah istimewanya Islam - Islam syumul, maknanya mencakupi semua aspek kehidupan daripada sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya.

Baru-baru ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan (MJKF) yang diurus setiakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah membincangkan mengenai hukum menggunakan peralatan dan perhiasan berasaskan abu tulang haiwan (bone china).

Fatwa

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MJFK) Kali Ke-99 yang bersidang pada 4 hingga 6 Mei 2012 telah membincangkan mengenai Hukum Penggunaan Peralatan dan Perhiasan Berasaskan Abu Tulang Haiwan (Bone China). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa berdasarkan Mazhab Shafie, sifat kenajisan babi masih kekal dalam produk bone china dan sifat najis tersebut tidak akan hilang kerana proses istihalah dianggap tidak berlaku.

Muzakarah juga berpandangan bahawa sekiranya penggunaan produk bone china yang berasaskan abu tulang haiwan yang tidak halal mengikut syarak ini diharuskan, maka ia akan membuka ruang kepada penggunaan produk-produk bersumberkan haiwan yang tidak halal mengikut syarak untuk berleluasa. Muzakarah juga berpandangan bahawa peralatan atau perhiasan bone china tidak mencapai tahap keperluan (darurah) kepada masyarakat untuk memiliki dan menggunakannya.

Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan bahan peralatan atau perhiasan yang dihasilkan daripada abu tulang haiwan (bone china) yang tidak halal mengikut syarak, termasuk haiwan yang halal dimakan tetapi tidak disembelih mengikut hukum syarak adalah tidak diharuskan (haram). Walau bagaimanapun, penggunaan peralatan dan perhiasan berasaskan abu tulang haiwan (bone china) yang halal dimakan dan disembelih mengikut hukum syarak adalah diharuskan (halal).

WalLahu a'lam.




Friday, June 1, 2012

SOLAT SUNNAT GERHANA



"Ada gerhana bulan minggu depan rupa-rupanya," kata saya seorang diri. Maklumat itu saya perolehi ketika meniti ruang e-khutbah di lamanweb Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Sudah menjadi rutin mingguan saya, pada setiap pagi Jumaat, saya akan memilih khutbah Jumaat yang sesuai dan mengshootkannya di webmail kementerian tempat saya bertugas. Khutbah terbitan JAKIM merupakan rujukan pertama saya sebelum beralih kepada khutbah yang dikeluarkan oleh pihak-pihak lain.

Terfikir pula saya, jika saya attachkan sekali khutbah itu dengan sedikit penerangan mengenai Solat Sunnat Gerhana, mungkin ia boleh memberi manfaat kepada kawan-kawan. Saya terus menulis dan akhirnya terhasillah satu artikel sepanjang tiga mukasurat. Saya juga muatkan artikel tersebut di dalam blog saya ini untuk menyebarluaskan kebaikannya.

So, terimalah artikel ini seadanya. Selamat membaca. Kalau ada nak tambah atau betulkan, sila tinggalkan komen ya, saya akan amat-amat menghargainya.

Pengertian al-Kusuf dan al-Khusuf

Dalam Bahasa Arab, gerhana matahari disebut al-Kusuf, manakala gerhana bulan pula disebut al-Khusuf. Al-Kusuf membawa maksud fenomena alam di mana cahaya matahari terlindung daripada bumi sama ada sebahagian atau keseluruhannya disebabkan bulan berada di tengah-tengah antara bumi dengan matahari. Al-Khusuf pula keadaan di mana cahaya bulan terlindung daripada bumi sama ada sebahagian atau keseluruhannya disebabkan matahari berada di tengah-tengah antara bumi dengan bulan.

Dalam hukum Fekah, mana-mana daripada kedua-dua perkataan, sama ada al-Kusuf ataupun al-Khusuf boleh digunakan dengan makna gerhana matahari atau gerhana bulan.

Sejarah Pensyariatan Solat Gerhana Matahari dan Solat Gerhana Bulan

Solat gerhana matahari mula disyariatkan pada tahun kedua Hijrah, manakala solat gerhana bulan pula pada tahun kelima Hijrah.

Peristiwa gerhana matahari berlaku secara kebetulan pada hari kewafatan Ibrahim, putera Rasulullah SAW. Pada zaman Jahiliyyah, masyarakat Arab percaya bahawa gerhana matahari atau bulan disebabkan kematian seseorang pembesar. Sangkaan sedemikian masih tersemat di fikiran para sahabat yang baru memeluk agama Islam pada ketika itu, lalu Rasulullah SAW menyangkal dakwaan tersebut dengan sabda baginda bermaksud:

“Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kekuasaan) Allah. Tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya disebabkan kematian seseorang dan bukan juga disebabkan hidupnya. Maka apabila kamu melihat yang demikian (gerhana), maka dirikanlah solat dan berdoalah hingga hilang apa (bala kegelapan) yang menimpa kamu.” (Riwayat Muslim)

Hukum Mendirikan Solat Gerhana

Hukum mendirikan solat gerhana ialah Sunnat Muakkad iaitu sunnat yang sangat-sangat digalakkan. Sungguhpun hukumnya bukan wajib, tetapi sesiapa yang melakukannya diberikan ganjaran yang sangat banyak oleh Allah SWT. Sesiapa yang meninggalkannya pula tidak dikira berdosa.

Hikmah Disyariatkan Solat Gerhana

Solat gerhana matahari dan bulan disyariatkan dengan tujuan supaya ummat Islam kembali memuhasabah diri sendiri, memohon keampunan daripada Allah SWT atas segala kelalaian dan ketelanjuran serta merasakan kekuasaan-Nya sebagai pencipta mutlak alam ini.

Cara Mendirikan Solat Gerhana

Solat gerhana boleh dilakukan seorang diri, tetapi sunnat didirikan secara berjemaah dengan harapan suasana tersebut mampu memberi kesan yang lebih mendalam kepada ummat Islam.

Tidak disyariatkan melaungkan azan ketika hendak menunaikan solat gerhana, cukup dengan seruan “As-Solatu Jaami’ah” sepertimana yang lazim dilakukan sebelum Solat Tarawih.

Solat gerhana terdiri daripada dua rakaat. Bagi yang ingin menunaikannya, hendaklah berniat sama ada solat gerhana matahari atau gerhana bulan.

Terdapat dua cara solat gerhana iaitu:

1. Cara yang paling minima

Pada setiap rakaat, dilakukan dua kali berdiri, dua kali membaca Surah al-Fatihah dan mana-mana ayat al-Quran serta dua kali rukuk tanpa memanjangkannya.

Boleh juga dan sah dilakukan sepertimana solat biasa iaitu dua rakaat dengan dua kali berdiri dan dua kali rukuk, tetapi cara sebegini dianggap meninggalkan fadhilat solat gerhana kerana berlawanan dengan apa yang dilakukan oleh Rasdulullah SAW.

2. Cara yang paling sempurna

Pada setiap rakaat, dilakukan dua kali berdiri. Ketika berdiri kali pertama pada rakaat pertama, selepas membaca Surah al-Fatihah, disunnatkan membaca Surah al-Baqarah atau surah-surah lain hingga menyamai panjang Surah al-Baqarah. Ketika berdiri kali kedua, selepas membaca Surah al-Fatihah, disunnatkan membaca menyamai 200 ayat Surah al-Baqarah.

Pada rakaat kedua, ketika berdiri kali pertama, selepas membaca Surah al-Fatihah, disunnatkan membaca menyamai 150 ayat Surah al-Baqarah. Ketika berdiri kali kedua, selepas membaca Surah al-Fatihah, disunnatkan menyamai 100 ayat Surah al-Baqarah.

Rukuk dipanjangkan daripada biasa di mana rukuk pertama sehingga menyamai 100 ayat daripada Surah al-Baqarah, rukuk kedua hingga menyamai 80 ayat, rukuk ketiga hingga menyamai 70 ayat dan rukuk keempat hingga menyamai 50 ayat.

Jika solat gerhana matahari, bacaan hendaklah diperlahankan, manakala jika solat gerhana bulan, bacaan hendaklah dikuatkan.

Setelah selesai solat, Imam akan bangun untuk menyampaikan dua khutbah. Rukun-rukun dan syarat-syarat khutbah solat gerhana sama sepertimana Solat Jumaat. Dalam khutbah tersebut, Imam akan menggesa makmum supaya memperbanyakkan taubat, bersegera melakukan kebaikan dan jangan mudah lalai atau terpedaya dengan kehidupan di dunia.

Solat Gerhana Tidak Boleh Diqadhak

Waktu untuk solat sunnat gerhana bermula ketika bermulanya gerhana dan berakhir apabila matahari atau bulan muncul sepenuhnya. Sesiapa yang tidak mendirikan solat gerhana sehingga tamat tempoh tersebut, dia tidak dituntut untuk mengqadhakkannya.

Ini adalah kerana solat gerhana disyariatkan disebabkan sesuatu faktor. Justeru, apabila faktor itu sudah tiada, maka luputlah tuntutan melakukannya.

Mandi Sunnat Sempena Solat Gerhana

Disunnatkan mandi apabila ingin menunaikan solat gerhana. Inil adalah kerana sepertimana Solat Jumaat yang dilakukan secara berjemaah, solat gerhana mempunyai maksud yang sama dari segi berhimpun beramai-ramai dengan saudara-saudara seagama yang lain.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Sesiapa yang berwudhuk pada hari Jumaat, maka itu adalah amalan sunnah dan ia adalah sebaik-baik ikutan. Dan sesiapa yang mandi, maka mandi itu adalah lebih baik (afdhal).” (Riwayat al-Tirmizi)

WalLahu a’lam.

Monday, May 28, 2012

HUKUM MENGGUNAKAN RAWATAN TERAPI LARVA



Species Lucilia Cuprina
Kaedah rawatan terapi larva (Maggot Debridement Therapy) iaitu dengan menggunakan ulat daripada lalat bermula sejak dari Perang Dunia Pertama lagi. Sungguhpun begitu, ia hanya dipandang serius di negara ini pada tahun 2002 apabila Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan Malaysia mendapat peruntukan daripada Kementerian Sains dan Inovasi untuk melakukan kajian mengenainya. Hasilnya, pada Mei 2003, percubaan klinikal pertama dijalankan di Hospital Tentera, Lumut.


Tidak semua jenis lalat sesuai untuk kaedah rawatan ini. Hanya yang akan memakan tisu reput sahaja digunakan. Di Malaysia, species lalat yang digunakan ialah Lucilia Cuprina, manakala di barat pula adalah species Lucilia Sericata.

Bagaimanakah rawatan terapi larva ini dilakukan? Mula-mula lalat dibiarkan membiak di dalam makmal dengan menggunakan bahan yang sesuai untuk mendapatkan pembiakan yang optimum. Ulat tersebut kemudiannya disteril untuk membasmi kuman. Apabila diletakkan pada luka, ulat tadi akan merembes enzim yang akan mencairkan tisu mati dan memakannya, lantas membasmi bakteria pada luka. Luka akan cepat sembuh dan tisu baru terbentuk.

Antara penyakit yang boleh dirawat dengan kaedah ini ialah:

• ulser disebabkan diabetes;

bedsore ulcer;

pressure wound;

• ulser disebabkan kanser; dan

• luka akibat kemalangan atau kebakaran.

Fatwa

Isu rawatan terapi menggunakan larva ini telah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali Ke-98 pada 13 hingga 15 Februari 2012. Antara perkara yang dirumuskan dalam perbincangan tersebut ialah:

1. Islam tidak pernah melarang penganutnya mencari penawar bagi sebarang penyakit yang dihidapi. Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Maka sesungguhnya Allah SWT tidak menciptakan sesuatu penyakit kecuali Dia menciptakan bersamanya penawar, melainkan tua.” (Riwayat Ibn Majah)

2. Ulamak Fekah juga meletakkan satu kaedah Fiqhiyyah iaitu “Kemudaratan hendaklah dihilangkan.”

3. Selain daripada khinzir dan anjing, hukum asal semua haiwan adalah suci kecuali jika terdapat dalil yang menyatakan sebaliknya.

4. Bangkai haiwan yang tidak mempunyai darah adalah suci.

Berdasarkan asas-asas di atas, Muzakarah bersetuju bahawa hukum menggunakan rawatan terapi larva adalah harus (boleh). Oleh kerana bangkai larva adalah suci, kehadirannya pada luka tidak akan menjejaskan ibadah pesakit. Pesakit boleh bertayammum untuk mengangkat hadas jika penggunaan air boleh memudharatkannya.

Wallahu a’lam.





Tuesday, November 8, 2011

JAMUAN KAHWIN DENGAN DAGING AQIQAH


Antara siri Fatwa Mufti Kerajaan Brunei Darussalam -
Berbaloi memilikinya

Bisai jua buku anek,” kata saya meramahkan diri. Petugas itu tersenyum. Bisai jua dan anek masing-masing bermakna cantik betul dan ini dalam Bahasa Melayu Brunei. Ketika itu, saya sedang mengunjungi Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra. Saya tidak ingat secara tepat tarikhnya, tetapi sekitar tahun 2007. Kiosk Pejabat Mufti Kerajaan Brunei Darussalam menarik minat saya. Produknya tidak sebanyak mana, tetapi covernya cantik dan berkualiti tinggi mewakili kemampuan negara beraja yang kaya dengan minyak itu. Saya membeli tiga buah buku. Antaranya ialah buku Fatwa Mufti Kerajaan 1962-1969 oleh AlLahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato’ Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz.
Masa terluang pada musim raya begini memberi ruang kepada saya untuk membaca. Saya mencapai buku di atas rak,  tangan pantas menyentuh senarai Isi Kandungan – Aqidah, Ibadat, Muamalat, Munakahat, Jinayat, Makanan, Penyembelihan, Masjid ... Mata saya tertarik kepada tajuk Jamuan Perkahwinan Dari Aqiqah di bawah bab Penyembelihan. Jom kita tengok apa buku ini kata mengenai persoalan ini. Isi perbicaraan saya utarakan dalam bahasa saya sendiri untuk memudahkan saya menulisnya, tetapi saya cuba tidak lari daripada point asal. Dalam soaljawab di bawah, saya normalkan pendapat buku tersebut dan saya italickan ulasan saya mengenainya.
Soalannya:
Bolehkah daging aqiqah dijadikan jamuan perkahwinan di mana dalam majlis tersebut para jemputan membawa buah tangan seolah-olah berniaga pulak?
Jawapannya:
1. Ibnu Hajar berpendapat bahawa aqiqah tidak boleh disekutukan dengan jamuan perkahwinan, manakala Imam al-Ramli pula berkata perkara tersebut boleh dan sah aqiqahnya.
Kedua-dua ulamak ini adalah daripada Mazhab Syafi’i. Justeru, kita boleh memilih salah satu daripada kedua-duanya sesuai dengan keadaan kita. Dalam masa yang sama, jangan kata orang yang mengambil pendapat satu lagi salah. Setiap ulamak ada hujjah masing-masing. Mak saya kata jangan gaduh-gaduh, tak baik!
2. Untuk seekor kerbau, contohnya, 1/7 dijadikan aqiqah, manakala 6/7 boleh dibuat jamuan perkahwinan.
Dalam buku ini, AlLahyarham Mufti menyebut kerbau sebab umum masyarakat Brunei lebih suka makan daging kerbau berbanding daging lembu. Untuk kita di Malaysia, bolehlah qiaskan dengan lembu atau unta.
3. Daging aqiqah sunnat dimasak manis, kemudian dihantar kepada fakir miskin. Ini yang lebih afdhal. Sungguhpun begitu, sah menjemput fakir miskin ke tempat jamuan perkahwinan yang turut dihadiri oleh orang kaya,
Maknanya kita dapat pahala lebih jika menghantar daging aqiqah kepada fakir miskin. Saya rasa ada hikmah yang tersirat mengapa perbuatan tersebut dijadikan keutamaan. Pertama, untuk menanamkan rasa tawadhuk dalam hati kita, supaya tak bossy sangat. Mentang-mentang awak kaya, sedap je nak suruh orang datang. Kedua, agar mereka yang kurang bernasib baik berkenaan tidak merasa terhina (macam lapar sangatlah pulak....)
4. Amalan memberi hadiah kepada tuan rumah majlis adalah sunnat berdasarkan saranan Rasulullah SAW dalam sabda baginda, تهادوا تحابوا Maksudnya: Saling memberi hadiahlah kamu, nescaya kamu saling berkasih sayang. Walau bagaimanapun, tuan rumah yang mengadakan jamuan dan para jemputan hendaklah ikhlas.
Moral of the story, tuan rumah yang menjemput jangan pulak set dalam fikiran, jemput orang ramai-ramai supaya balik modal dan jangan kecik hati jika ada jemputan yang tak bawa apa-apa kecuali gigi je, barangkal dia ada masalah kewangan. Kita mengadakan majlis untuk hebahkan perkahwinan, bukan nak bisnes. Bagi jemputan pulak, faham-fahamlah sendiri beban tuan rumah, bukan murah nak buat jamuan macam tu. Mudah-mudahan pemberian kita menggembirakannya dapat pahala tau.
WalLahu a’lam.

Monday, October 10, 2011

IBADAH KORBAN

“Terdapat 13 bahagian lagi yang belum “bertuan”. Kepada sesiapa yang berhasrat melakukan korban, sila isi borang yang disediakan dan buat pembayaran kepada Tuan Bendahari kita.” Demikian pengumuman yang dibuat oleh Imam seusai Solat ‘Isyak. Bab korban ni saya suka. Tahun pertama saya bertugas di sebuah masjid di ibu negara pada awal tahun 1998, saya teruja dengan budaya berkorban. Suasana ini agak sukar saya temui di kampung halaman saya ketika itu. Bukan setakat seekor lembu, malah ada masjid yang boleh menumbangkan berpuluh-puluh lembu pada setiap musim korban. Beberapa tahun kebelakangan ini, ada pihak yang menjadikan unta pula sebagai korban. Kira advancelah tu.
Pengertian Korban
Sebenarnya, “korban” dari istilah syarak bukan suatu perbuatan tetapi ia adalah binatang yang disembelih sama ada unta, lembu atau kambing pada hariraya Adha dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Maknanya hanya tiga kumpulan binatang ini yang boleh dijadikan korban - ayam dan itik tak boleh ye... Korban ni ada time frame dia, tak boleh buat selain daripada masa yang telah ditetapkan. Kemudian niatnya hendaklah ikhlas semata-mata kerana Allah SWT, mudah-mudahan dengan melakukan korban ini, kita semakin dekat kepada-Nya.
Dalil Pensyariatan Korban
Allah SWT berfirman di dalam al-Quran bermaksud, “Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.” (Surah al-Kauthar, ayat 2). Al-Bukhari dan Muslim pula meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah berkorban dengan menyembelih dua ekor kibasy yang berwarna putih dan bertanduk. Baginda menyembelih kedua-dua binatang itu dengan tangan baginda sendiri. Baginda menyebut nama Allah dan bertakbir sambil meletakkan kaki baginda di atas tengkok kibasy tersebut.
Hikmah Pensyariatan Korban
Berdasarkan definisi korban di atas, kita dapat tangkap bahawa tujuan utama Allah SWT mensyariatkan korban ialah untuk mendekatkan kita kepada-Nya. Maklumlah, kita ni, namapun manusia, sering terlupa dan terlalai. Semakin banyak noktah dosa di hati kita, semakin jauh kita daripada Allah SWT. So, dengan ibadah seperti korban ni, kita berharap sangat-sangat Allah SWT menerima amalan kita dan sekaligus mengampunkan dosa-dosa kita. Sebenarnya Allah SWT tak perlupun binatang yang kita korbankan itu, ia semata-mata manifestasi ketaatan kita kepada-Nya. Bak kata pakar cinta, “Jangan pandai cakap je, buktikan!” 
Ibadah korban juga mengingatkan kita semula kepada kisah khalilulLah (kekasih Allah SWT) iaitu Nabi Ibrahim AS dan keluarga baginda. Bagaimana Allah SWT menguji ketaatan baginda dengan memerintahkan supaya baginda menyembelih putera kesayangan baginda, Nabi Ismail AS. Betapa kedua-duanya patuh tanpa sebarang soaljawab. Cerita ini kekal hingga ke akhir zaman  dan menjadi peringatan untuk ummat Nabi Muhamammad SAW dari generasi ke generasi.
Ibadah korban mengeratkan kasih sayang dan persaudaraan. Orang yang mampu memberi dengan tulus, manakala yang kurang mampu pula menerima dengan rasa gembira. Terhakislah rasa sombong di hati orang kaya dan leburlah rasa dengki di hati si miskin.
Hukum Berkorban
Hukum berkorban ialah Sunnat Muakkad iaitu sunnat yang sangat-sangat digalakkan. Maknanya, kalau buat, dapat pahala banyakkkk..., atau tak buat tak berdosa (tak untung gitu...). Sungguhpun begitu, ia boleh menjadi wajib apabila seseorang berkata, “Ini korbanku” sambil menunjukkan binatang miliknya yang sesuai dijadikan korban atau dia berkata, “Wajib ke atasku berkorban kerana Allah SWT.”
Siapakah yang Dituntut Berkorban?
Kalau kita memenuhi syarat-syarat di bawah, kitalah “siapa” tu:
1. Islam;
2. Baligh dan berakal; dan
3. Berkemampuan
Syarat ketiga ni, saya nak huraikan sikit sebab selalu bila kita sebut berkemampuan, kita terbayang orang tu mesti banyak duit dan kaya. Salah tu...  Yang dimaksudkan berkemampuan ialah kita memiliki harta yang lebih untuk berkorban iaitu melebihi nafkah untuk diri dan orang yang di bawah tanggungan kita dari segi makanan, pakaian dan tempat tinggal pada hariraya dan hari-hari Tasyriq. Hari-hari Tasyriq ialah tiga hari selepas hariraya Adha iaitu hari ke-11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Syarat-syarat Binatang Korban
1. Hanya unta, lembu dan kambing sahaja yang boleh dibuat korban. Selain daripada itu, no! Paling afdhal ialah unta, kemudian lembu, kemudian kambing. Kalau kambing kena seekor untuk satu korban, manakala unta atau lembu boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian, satu bahagian mewakili satu korban. Nak korban seekor untuk satu korbanpun tak apa.
2. Binatang tu hendaklah cukup umur. Unta hendaklah sudah masuk enam tahun dan lembu serta kambing biasa dah masuk tiga tahun. Kalau kambing biri-biri, hendaklah dah masuk dua tahun atau gigi hadapannya dah gugur, mana yang lebih awal.
3. Binatang tu hendaklah sihat sejahtera, tak boleh tangkap muat je. Tak boleh cacat yang mengurangkan dagingnya seperti terlalu kurus, sakit, tempang, buta atau terpotong sebahagian telinga. Tak acilah, kata buat korban ni supaya Allah sayang, kenalah buat betul-betul, kan... kan...
Waktu Berkorban
Waktu berkorban bermula selepas terbit matahari pada hariraya Adha (10 Zulhijjah) sekadar sempat ditunaikan solat dua rakaat dan dua khutbah. Tempoh ini berterusan pada hari ke-11, 12 dan 13 Zulhijjah dan berakhir dengan terbenamnya matahari pada hari ke-13 tu. Waktu yang paling afdhal ialah selepas selesai sahaja solat hariraya.
Apa Selepas Menyembelih binatang?
Sekiranya korban itu adalah korban wajib, maka orang yang melakukan korban dan orang di bawah tanggungannya tidak boleh makan daging korban tersebut. Jika makan juga, maka hendaklah digantikan dengan daging lain atau dibayar dengan nilaian daging yang dimakan tu.
Sekiranya korban itu korban sunnat, maka boleh makan sebanyak yang dia mahu dengan syarat ada bahagian, walaupun sedikit, disedekahkan. Paling afdhal makan sedikit untuk mengambil keberkatan dan selebihnya disedekahkan. Boleh juga dibahagi tiga, satu pertiga untuk makan sendiri, satu pertiga disedekahkan kepada fakir miskin dan satu pertiga lagi diberikan kepada sahabat handai atau jiran walaupun mereka kaya.
Bagi orang yang menerima daging korban pula -  Sekiranya dia kaya, pemberian itu dikira hadiah dan dia hendaklah memakannya atau memberinya kepada orang lain, tetapi dia tidak boleh menjualnya. Sekiranya dia miskin, pemberian itu dikira sedekah dan dia bebas sama ada untuk memakannya atau memberinya kepada orang lain atau menjualnya.
Orang yang berkorban boleh memanfaatkan sendiri kulit binatang yang disembelih atau memberinya kepada orang lain, tetapi dia tidak boleh menjualnya atau memberinya kepada tukang sembelih sebagai upah. Sabda RasululLah SAW bermaksud, “Sesiapa yang menjual kulit binatang korbannya, maka tiadalah korban baginya.” (Riwayat al-Baihaqi)
Adab-adab Ibadah Korban
1. Apabila sudah masuk 10 Zulhijjah dan kita berazam untuk melakukan korban, maka hendaklah kita menjaga binatang yang ingin dikorbankan dengan baik. Disunnatkan tidak menghilangkan bulu dan kukunya.
2. Sunnat menyembelih sendiri binatang korban (Ada berani?). Sekiranya kita tidak mampu kerana sesuatu keuzuran (contohnya takut tengok darah, he3x), disunnatkan kita hadir menyaksikan penyembelihan tersebut. RasululLah SAW pernah bersabda bermaksud, “Bangunlah kepada korbanmu dan saksikanlah ia kerana sesungguhnya (dengan menitisnya) titisan darah yang pertama, maka akan diampunkan dosamu yang terdahulu.” (Riwayat al-Hakim)
3. Sunnat bagi pemerintah atau pemimpin orang Islam mengeluarkan korban bagi pihak orang Islam dengan menggunakan harta baitulmal.
Wallahu a’lam.

Tuesday, September 20, 2011

NAK TENGOK FILEM CAPTAIN ABU RAED?


Image Detail

Won:
·         2007 Dubai International Film Festival
o    Muhr Award - Best Actor: Nadim Sawalha
·         2008 Durban International Film Festival
o    Best First Feature Film
·         2008 Heartland Film Festival
o    Crystal Heart Award - Feature Film
o    Grand Prize for Dramatic Feature
·         2008 Newport Beach Film Festival
o    Jury Award - Best Actor - Nadim Sawalha
o    Jury Award - Best Actress - Rana Sultan
·         2008 Seattle International Film Festival
o    Best Director Golden Space Needle Award - Amin Matalqa
·         2008 Sundance Film Festival
o    Audience Award - World Cinema - Dramatic

Nominated
·         2008 Sundance Film Festival
o    Grand Jury Prize - World Cinema – Dramatic

Itu antara fakta yang saya dapat daripada Wikipedia mengenai filem Captain Abu Raed, sebuah filem dari Jordan yang bakal berada di pawagam negara kita mulai 25 September 2011. Melihat kepada deretan award yang diterima, saya membuat kesimpulan awal bahawa filem dalam bahasa Arab ini memang hebat dan mungkin berbaloi ditonton. Tambahan pula plotnya bakal membuat kita insaf dan berfikir. Ia mengangkat isu sebahagian besar negara Islam – kurang yakin kepada diri sendiri, penganiayaan terhadap wanita dan kanak-kanak, persaudaraan, usaha, pengorbanan dan ketidakprihatinan terhadap pelajaran.

Fanatik dengan Jordan? Ha3x, mungkin. Tak salah kan… , tempat jatuh lagikan terkenang, ini pula tempat bermain!

Hukum Menonton Filem Di Pawagam

Sebenarnya inilah persoalan fiqh yang cuba saya bawa di dalam post kali ini. Ada orang mengatakan menonton filem di pawagam adalah haram, sementara ramai lain yang berpendapat “tak apa”.

Untuk menjawab persoalan ini, saya merujuk kepada lamanweb Dr. Yusuf al-Qaradhawi (http://qaradawi.net/) dalam artikel bertajuk “Filem di Pawagam dalam Neraca Fiqh”. Kesimpulan pendapat beliau adalah seperti berikut:

Pawagam dan seumpamanya merupakan medium untuk mendidik dan berhibur. Kedudukannya sama dengan medium-medium yang lain, sama ada ia digunakan untuk kebaikan atau keburukan. Dengan ertikata lain, pawagam itu sendiri tiada masalah. Hukum kedudukannya bergantung pada bagaimana kita menggunakannya.
Justeru, pawagam itu adalah halal dan baik, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu, boleh menjadi wajib. Syarat-syaratnya:

1.         Filem yang ditonton tidak mengandungi elemen-elemen tidak senonoh, fasiq dan apa sahaja yang bercanggah dengan akidah, syariat dan adab Islam. Orang Islam haram menonton dan memberi sokongan kepada filem yang boleh menimbulkan keinginan dunia, merangsang kepada dosa, menggalakkan jenayah atau mempropagandakan pemikiran dan akidah yang salah.

2.         Menonton filem tersebut tidak menyebabkan terabainya kewajipan sama ada tanggungjawab duniawi atau agama. Yang teratas ialah solat lima waktu sehari semalam. Orang Islam tidak boleh meninggalkan solat fardhu, contohnya Solat Maghrib, semata-mata untuk menonton filem. Firman Allah SWT bermaksud, “(Neraka) wail untuk orang yang solat sedang mereka lalai daripada solat mereka.” (Surah al-Ma’un, ayat 4-5) Yang dimaksudkan dengan “lalai” dalam ayat ini ialah melengah-lengahkan solat hingga luput waktunya.

3.         Jauh daripada percampuran merangsang antara lelaki dan perempuan bukan mahram. Syarat ini bertujuan mengelakkan fitnah dan menolak syubhat, lebih-lebih lagi menonton di pawagam selalunya dalam keadaan gelap. Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Menyucuk kepala salah seorang daripada kamu dengan jarum besi lebih baik untuknya daripada dia menyentuh perempuan yang tidak halal baginya.”

Amacam? Berdasarkan syarat-syarat di atas, agak-agak boleh tak kita beramai-ramai ke pawagam berdekatan untuk menonton filem Captain Abu Raed yang hebat tu? Atau tunggu kut-kut boleh langgan di Astrofirst? Atau just biarkan ia berlalu… Tepuk dada, tanya jiwa….

WalLahu a’lam.