Friday, April 6, 2012
SATU HARI SATU HALAMAN
Ketenangan menjadi dambaan setiap orang daripada kita. Kita inginkan hati dan suasana yang damai, jauh daripada kegelisahan dan hiruk pikuk kehidupan. Ketenangan adalah nikmat, Beruntunglah orang yang walau diasak dengan tugas dan kesibukan sepanjang hari, hatinya sentiasa tenang dan damai. Tambah beruntung lagi jika ketenangan di hatinya dikelilingi juga oleh suasana yang damai.
Bagaimanakah kita boleh mencapai ketenangan? Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Tidak berkumpul sesuatu kaum (kumpulan) di dalam rumah-rumah Allah (masjid) sambil membaca kitab Allah dan saling mempelajarinya antara mereka kecuali diturunkan ketenangan atas mereka, mereka diliputi rahmat, para malaikat mengelilingi mereka dan Allah menyebut-nyebut mengenai mereka di kalangan orang di sisi-Nya.” (Riwayat Abu Daud)
Hadith di atas menyebut salah satu daripada cara untuk menggapai ketenangan iaitu dengan membaca al-Quran. Bacaan Al-Quran umpama cahaya yang menyinari hati orang yang beriman. Ia mempertautkan hubungan antara kita dengan yang menurunkannya iaitu Allah SWT. Ia menghilangkan rasa keluh kesah dan sempit dada kerana secara fitrahnya, kita akan merasa tenang apabila bersama dengan orang yang kita kasihi. Adakah di sana ada kekasih yang lebih agung daripada Allah SWT?
Rumah yang dihiasi dengan bacaan al-Quran mengundang rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Dalam sebuah hadith lain, Rasulullah SAW menegaskan bahawa rumah yang penghuninya tidak melazimi membaca al-Quran ibarat kubur. Bayangkan suasana tanah perkuburan - sepi dan hambar. Meskipun kubur itu mungkin dihiasi dengan batu nisan dan marmar yang cantik, kecantikan itu tetap tidak mampu untuk menghilangkan suasana hakikinya – sekali lagi, sepi dan hambar.
Justeru, marilah kita sama-sama membudayakan membaca al-Quran dalam kehidupan seharian kita. Jadikanlah ia hobi dan rutin. Mulakanlah langkah pertama pada hari ini. Satu hari satu halaman, lama-lama khatam satu al-Quran.
Wednesday, April 4, 2012
KITA MUDAH TERLUPA
“Katakanlah: Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mentadbir segala urusan? Maka mereka akan menjawab: Allah! Maka katakanlah: Mengapakah kamu tidak bertakwa kepada-Nya?” (Maksud Surah Yunus, ayat 31)
Beriman bahawa hanya Allah SWT yang mencipta, memiliki dan mengurus alam ini merupakan asas pembinaan rasa penghambaan diri kepada-Nya. Pengakuan: Saya hamba Allah” sepatutnya bukan sekadar dakwaan kosong, tetapi perlu dibuktikan dengan ketundukan dan kepatuhan yang total tanpa berbelah bagi kepada-Nya.
• Ketika seorang usahawan mendapat durian runtuh dalam perniagaannya, layakkah dia mendabik dada mengatakan semua kejayaan itu adalah hasil usaha kerasnya semata-mata? Lupakah dia bahawa hanya Allah SWT yang berkuasa memberi dan menarik rezeki? Tidakkah dia mahu bersyukur?
• Ketika seorang ibu atau bapa kematian anak yang masih kecil, bolehkah dia mempersoalkan taqdir Allah SWT? Mestikah si anak yang mengiringi jenazahnya ke kubur, bukan sebaliknya? Lupakah dia bahawa diri, anak dan seluruh keluarganya adalah milik Allah SWT?
• Ketika seorang lelaki jatuh sakit dan doktor mengesahkan bahawa dia sebenarnya sihat, dia hilang punca lalu bertindak menuduh itu dan ini berdasarkan perasaan syak semata-mata. Lupakah dia bahawa hanya Allah SWT yang berkuasa memberi manfaat dan menolak mudharat?
• Ketika seorang insan berdoa siang dan malam untuk sesuatu yang amat dihajati, tetapi impiannya tidak kunjung tiba, siapakah dia untuk menafikan sifat Rahman dan Rahim Allah SWT? Lupakah dia bahawa Allah SWT Maha Mendengar doanya, lalu dia berhenti mengharap?
Kita adalah hamba dan kapasiti kita hanya untuk dimiliki, bukan memiliki. Kita lahir di dunia sebagai hamba, bukan tuan. Dan sebagai hamba, kita layak untuk diuji sama ada dalam bentuk kesenangan, kesusahan atau penangguhan yang ditetapkan sendiri oleh Allah SWT. Sesungguhnya Dia sebaik-baik Pengurus dan sebijak-bijak Pentadbir…
BAGINDA BERSAMA-SAMA KITA
Baginda pergi meninggalkan kita pada Dhuha hari Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun 11 Hijrah. setelah beberapa hari gering hingga tidak berupaya mengimamkan solat berjamaah di masjid. Kesedihan menangisi pemergian baginda menggegarkan seluruh masyarakat Islam ketika itu. Mujur ada Abu Bakar as-Siddiq RA menenangkan: “Sesiapa yang menyembah Muhammad, ketahuilah bahawa baginda telah mati. Sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Dia kekal hidup dan tidak akan mati.”
1422 tahun berlalu. Rasulullah SAW sudah lama wafat. Susuk tubuh baginda tidak lagi bersama-sama kita. Apa yang tinggal hanya maqam baginda yang mulia, nun di Madinah al-Munawwarah, sebagai tanda baginda telah kembali ke rahmatulLah.
Sebenarnya hubungan kita dengan baginda tidak pernah terputus. Kita berpisah secara fizikal sahaja, Namun, selagi kita beriman dan yakin bahawa baginda dan risalah baginda adalah benar, baginda akan terus bersama-sama kita hingga ke akhir zaman. Al-Quran dan al-Sunnah yang baginda wariskan umpama tangan baginda yang selamanya akan membimbing kita ke arah kebaikan hakiki.
Demi menyuburkan hubungan ini, marilah kita sama-sama menjaga hak-hak Rasulullah SAW, antaranya:
1. Memperbanyakkan salawat ke atas baginda.
2. Mencintai baginda lebih daripada kita menyintai diri sendiri, anak, pasangan, harta dan manusia seluruhnya. Bukti cinta kita itu ialah dengan mematuhi baginda dengan penuh keikhlasan dan bersegera melakukan apa yang baginda sukai;
3. Memuliakan dan menghormati baginda. Usah meninggikan suara semasa berada di masjid baginda dan ketika berada di sisi maqam baginda. Beradablah ketika mendengar hadith Nabi yang mulia. Jangan sekali-kali memperikaikan sabda baginda, sebaliknya berazamlah untuk mengamalkannya.
4. Menjauhkan diri daripada menyakiti baginda termasuk mencerca ummahat al-Mukminin dan ahli al-bait kerana perbuatan tersebut menyakiti baginda.
“Ummatku, ummatku…” Itulah antara kata-kata terakhir Rasulullah SAW, tanda cintanya baginda kepada kita ummatnya. Tidakkah kita mahu menyambut cinta agung itu?
Subscribe to:
Posts (Atom)


