Monday, October 15, 2012

MEMELIHARA SOLAT


Solat tiang agama. Sesiapa yang mengabaikan solat, maka akan runtuhlah agamanya

"Ha! Macam mana kursus?" tegur bos saya ketika terserempak dengannya di pejabat seawal 8.30 pagi tadi.

"Alhamdulillah, ok," jawab saya ringkas.

Walaupun saya tidak bercerita panjang lebar kepadanya , tetapi Kursus Pemantapan Sahsiah dan Organisasi Melalui Tahsin Solat itu memang ok, ok sangat-sangat sebenarnya. Banyak pengajaran yang saya dapat untuk saya perelokkan solat saya, seterusnya menjadikan solat sebagai asas pembentukan peribadi soleh musleh.

Sejak balik dari Taiping pada hari Jumaat yang lepas, tidak henti-henti saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana membuka jalan kepada saya untuk bertemu dengan Ustaz Zul Ramli Razali dari GI Motivation & Training Sdn Bhd.

Kali pertama saya menerima arahan untuk mengadakan kursus ala-ala tahsin solat, puas saya bertanya orang dan menyelusuri internet mencari maklumat. Bukan senang untuk mengadakan kursus seumpama ini. Benda agama ni tidak semudah ABC kerana ia melibatkan soal hati. Akhirnya saya terdengar iklan di radio IKIM mengenai Bengkel Solat yang dikendalikan oleh Ustaz Zul.

Banyak yang saya nak cerita apa yang saya dapat dalam kursus berkenaan. Insya Allah, esok-esok ye. Untuk kali ni, saya hidangkan anda dengan petikan nota yang disediakan oleh Ustaz Zul.

Tajuk: Q & A MEMELIHARA SOLAT


Q : Apakah yang dimaksudkan dengan memelihara solat?

A :

Memelihara solat bermaksud memelihara seluruh syarat dan rukun solat itu sendiri. Ia bermaksud, seseorang itu memahami dengan mendalam hukum dan hikmah seluruh syarat dan rukun solat. Dengan kefahaman mendalam bererti dia telah memelihara solat dengan minda dan roh. Dengan kesungguhan dan mujahadah pula, sempurnalah pemeliharaan itu kerana solat telah dibangunkan dengan istiqamah.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ankabut, ayat 29 bermaksud, “Dan mereka yang bermujahadah pada Kami, akan Kami tunjukkan padanya jalan Kami…”

Orang yang memelihara solat akan menjaga bukan sekadar rukun atau wajib tetapi juga amalan-amalan sunnat.

Q : Apakah maksud memelihara solat bermula daripada sebelumnya?

A :

Khusyuk tidak mungkin diperolehi sebaik takbir dimulakan, tetapi ia perlu bermula sebelum, bahkan sesudah solat. Memelihara solat mesti saat sebelum solat lagi. Ia dimulai dengan memelihara beberapa perkara pokok:

Rezeki yang halal

Rezeki akan membentuk hati. Sekiranya rezeki haram, ia akan mengotorkan hati. Hati yang kotor tidak mungkin dapat menerima cahaya khusyuk. Faktor rezeki yang halal menjadi pra-syarat bagi mendapatkan kekhusyukan. Orang yang beriman sangat warak dalam soal rezeki kerana ia secara langsung dapat menghasilkan kekhusyukan.

Keadaan hati sebelum solat

Hati yang lalai sepanjang hari tidak mungkin dapat menjadikan seseorang itu fokus saat takbir dilafazkan. Hati sangat dipengaruhi oleh persekitarannya. Ia ibarat cermin yang memantulkan apa sahaja, baik atau buruk.

Menunggu masuk waktu solat

Menunggu-nunggu waktu solat di atas sejadah beberapa minit sebelum masuk waktu sangat membantu mendapatkan khusyuk. Ia adalah persediaan fizikal dan rohani bagi mendapatkan fokus dan ketenangan. Fokus dan ketenangan merupakan elemen penting mendapatkan khusyuk.

Mengutamakan solat berbanding segala aktiviti lain

Solat perlu diletakkan sebagai perkara paling utama. Seluruh jadual lain perlu disusun berturutan sesudah solat. Apa sahaja aktiviti hidup perlu memberi laluan kepada solat. Sikap sebegini menjadikan hati sentiasa bersedia untuk bertemu dengan Allah; seluruh urusan lain itu kerdil dibandingkan solat!

Q : Bagaimana pula memelihara solat bagi selepasnya?

A :

Untuk khusyuk yang istiqamah, selepas solat, seseorang itu perlu mengekalkan kehebatan solat dengan :

Memperbanyakkan istighfar

Istighfar sesudah solat adalah pernyataan kepada Allah SWT bahawa selaku hamba, kita ada melakukan kesalahan di dalam solat yang baru sahaja ditunaikan itu. Ini mendorong istighfar yang sebenar dan ini sangat membantu hati kekal fokus apabila solat berikutnya didirikan.

Bersyukur

Perasaan ini perlu mendalam setiap kali selesai mengerjakan solat kerana hakikatnya, boleh mendirikan solat merupakan taufik Ilahi. Taufik merupakan kurniaan Allah dan setiap kurniaan perlu disempurnakan dengan perasaan syukur. Syukur kerana kita boleh melakukan solat melayakkan kita untuk digandakan nikmat khusyuk.

Firman Allah SWT bermaksud, “Sekiranya kamu bersyukur, nescaya Aku akan benar-benar menambahkan bagi kamu nikmat …” (Ibrahim 14: 7)

Berdoa dan mengharap

Selaku hamba, sifat yang tidak boleh putus adalah sentiasa berdoa dan berharap kepada Allah SWT, terutama agar dikurniakan solat yang sempurna. Lihatlah kepada Nabi Ibrahim AS yang terus-terusan berdoa agar dia dan zuriatnya dapat mendirikan solat.

Firman Allah SWT bermaksud, “Wahai Tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat, begitu jua zuriatku, wahai Tuhan yang memperkenankan doa …” (Ibrahim 14: 40)

Terus berzikir mengingati Allah

Hati tidak boleh dibiarkan lalai ketika menguruskan dunia. Hati inilah yang akan mendapat khusyuk ketika solat. Allah SWT berfirman bermaksud, “Dan apabila kalian telah menunaikan solat, maka bertebaranlah di muka bumi dan dan carilah kelebihan … (Al-Jumuah 62:10)

Wallahu a'lam.








Tuesday, October 9, 2012

MASUK SYURGA BUKAN SEBAB BAIK


Kita adalah tiket yang kita pilih

“Amal soleh tak semestinya dapat masuk syurga!”

“Biar betul!”

“Betullah.”

“Ye ke?”

Dialog di atas mungkin menggamit perhatian kita. Mahu bersetuju atau sebaliknya?

Memang benar, kita tidak masuk syurga semata-mata kerana amal soleh yang kita lakukan semasa hidup kita di dunia. Amal soleh bukan satu-satunya kriteria yang melayakkan kita masuk syurga. Ada satu lagi faktor yang lebih besar daripada amal soleh iaitu rahmat Allah SWT.

Sungguh, Rasulullah SAW telah bersabda bermaksud, “Seseorang daripada kamu tidak akan masuk syurga kerana amalnya, dia akan memasukinya kerana rahmat Allah.” Para sahabat bertanya, “Dan termasuk tuan juga wahai Rasulullah?” Baginda bersabda, ”Ya, termasuk aku juga kecuali Allah telah menyelimutiku dengan rahmat-Nya.” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Allah SWT bersifat al-Rahman dan al-Rahim. Rahman dan Rahim-Nya Allah SWT meliputi segala pengertian kasihan belas dan kasih sayang, merentasi semua keadaan dan bidang. Senaraikan siapa sahaja yang pada pandangan dan perasaan kita amat menyayangi kita – ibubapa, suami atau isteri, anak-anak, adik beradik, sahabat karib atau siapa sahaja - hakikatnya di sana ada zat yang lebih mengasihi kita iaitu Allah SWT.

Di dunia, rahmat Allah SWT terpancar pada segala apa yang dikurniakan-Nya kepada kita yang tidak tertulis bilangannya walau dengan dakwat sebanyak air di lautan sekalipun, malah pada yang tidak diberikan-Nya atau yang ditangguhkan pemberiannya pun adalah tanda rahmat Allah SWT kepada kita.

Dalam sebuah hadith lain, Rasulullah SAW menegaskan bahawa rahmat Allah SWT ada seratus, hanya satu sahaja yang diturunkan ke bumi dan bakinya disimpan oleh Allah SWT untuk akhirat. Namun hanya kerana kasih sayang yang satu inilah, binatang yang tidak berakal pun mengangkat kakinya kerana takut terpijak anaknya sendiri. Bayangkan bagaimana kalau yang 99 lagi itu?

Antara rahmat Allah SWT ialah Dia memasukkan hamba-hamba-Nya ke dalam syurga. Jadi, betullah kita masuk syurga sebab rahmat Allah SWT, bukan sebab kita baik!

Pastu, mengapa perlu ber”susahpayah” melakukan amal soleh kalau ia bukan syarat masuk syurga?

Persoalan ini mengembalikan kita kepada dasar ‘Aqidah Islam yang amat mudah dan jelas. Penulis simpulkan seperti di bawah:

1. Allah SWT menciptakan kita semata-mata untuk beribadah kepada-Nya. Oleh sebab itu, istilah “ibadah” tidak terbatas kepada ibadat khusus semata-mata. Semua tuturkata dan geraklaku kita dikira sebagai ibadah selagi ia memenuhi tiga syarat yang digariskan oleh ulamak iaitu beragama Islam, menepati syarak dan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

2. Allah SWT Maha Sempurna, Maha Suci Dia daripada segala yang sia-sia. Adalah suatu perkara yang sia-sia jika kelayakan untuk masuk syurga terbuka kepada semua orang tanpa mengira mereka beriman atau tidak, taat atau ‘asi (orang yang melakukan maksiat), ikhlas atau riak. Dengan perkataan lain, perintah supaya melakukan amal soleh sebagai pra-syarat masuk syurga adalah antara tanda kesempurnaan dan keadilan Allah SWT.

3. Kelebihan beramal soleh kembali kepada manusia itu sendiri. Amal soleh mencetuskan ketenangan, melahirkan hubungan yang baik sesama manusia dan menepati peranan sebagai khalifah di muka bumi. Allah SWT tidak berhajat apa-apa daripada kita. Dia tetap Agung dan Mulia meskipun seluruh isi bumi tidak mahu sujud kepada-Nya.

Justeru, marilah sama-sama kita mendambakan rahmat Allah SWT pada setiap ketika. Andai kita dikurniakan kekuatan untuk melakukan sesuatu amal soleh, sentiasalah merasakan bahawa kekuatan itupun adalah rahmat Allah SWT. Tiada alasan untuk kita merasa sombong dan ‘ujub. Dan jangan pula ber”lenggang kangkung” dan “perasan” kita boleh masuk syurga tanpa berbekalkan amal soleh. Orang Arab kata, “Man jadda wajada” (Sesiapa yang bersungguh, dia akan dapat).



Thursday, August 2, 2012

HANYA UNTUK-MU

 "Kamu beriman tak bahawa satu-satunya kuasa yang mencipta dan mentadbir alam ini ialah Allah?"

"Percaya!"

"Kamu beriman tak hanya Allah SWT sahaja yang berhak disembah?"

"Percaya!"

"Apa maksud beriman bahawa hanya Allah SWT sahaja yang berhak disembah?"

"Emmm...."

Dialog ini mungkin pernah kita dengar. Kalau tidak pernah mendengarnyapun, bayangkan jika kita ditanya sebegitu, apakah jawapan kita? Jawapan satu hal, kefahaman satu hal dan penghayatan satu hal lain.

'Ulamak mengistilahkan keimanan bahawa hanya Allah SWT sahaja yang berhak disembah sebagai Tauhid Uluhiyyah. Muslim Mukmin bukan sahaja beriman bahawa hanya Allah SWT sahaja yang mencipta dan mentadbir alam ini, tetapi kita juga dituntut supaya bertawajjuh (mengadap) kepada Allah SWT dalam semua bentuk ibadat dan membersihkan hati daripada terikat dengan sesuatu selain Allah SWT.

Dr. Muhammad Naim Yassin di dalam buku beliau mengatakan Tauhid Uluhiyyah membawa maksud:

1. Kita wajib mengikhlaskan cinta kepada Allah SWT

Kita tidak boleh mencintai sesuatu selain daripada Allah SWT sama sepertimana kita mencintai Allah SWT. Kita juga tidak boleh mengutamakan cinta kepada sesuatu lebih daripada cinta kita kepada Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah, ayat 165 bermaksud, "Dan di antara manusia ada orang yang mengambil selain Allah sebagai sekutu. Mereka mencintainya sepertimana mereka mencintai Allah, sedang orang yang beriman tersangat cinta kepada Allah."

Manusia sememangnya diciptakan dengan fitrah mencintai diri sendiri, ibubapa, pasangan, anak-anak, harta dan negara. Mengikhlaskan cinta kepada Allah SWT bukan bererti Islam menghapuskan tabiat semulajadi tersebut, tetapi apa yang dimaksudkan ialah mencintai sesuatu selepas daripada mencintai Allah SWT. Kita sanggup mengorbankan apa yang disayanginya demi jalan Allah SWT. Sekiranya berlaku pertembungan antara cinta kepada Allah SWT dan cinta kepada selain-Nya, kita akan mengutamakan cinta kepada Allah SWT.

2. Kita wajib mengesakan Allah SWT dalam berdoa

Kita wajib mengesakan Allah SWT dalam berdoa, bertawakkal dan berharap. Kita wajib beriman bahawa hanya Allah SWT yang berkuasa memakbulkan doa, usaha dan harapan kita. Firman Allah SWT dalam Surah Yunus, ayat 106 bermaksud, “Dan janganlah kamu meminta selain daripada Allah apa yang tidak boleh memberi manfaat dan tidak boleh memudharatkan kamu. Maka, sekiranya kamu berbuat demikian, kamu akan termasuk ke dalam golongan orang yang zalim.”

3. Kita wajib mengesakan Allah SWT dalam takut

Kita wajib beriman bahawa tidak ada makhluk yang boleh memberi mudharat kepada kita dengan kuasanya sendiri tanpa diizinkan oleh Allah SWT. Mempercayai bahawa makhluk boleh memudharatkan dan takut kepadanya menjatuhkan seseorang kepada syirik.

Firman Allah SWT dalam Surah Yunus, ayat 107 bermaksud, “Dan sekiranya Allah hendak menimpakan kamu dengan sesuatu kemudharatan, maka tidak ada yang boleh menghilangkannya kecuali Dia. Dan sekiranya Dia menghendaki sesuatu kebaikan untuk kamu, maka tidak ada yang dapat menolak kurnia-Nya. Dia memberi kebaikan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada hamba-hamba-Nya dan Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

4. Kita wajib mengesakan Allah SWT dalam semua jenis ibadat sama ada ibadat badaniyyah atau ibadat qauliyyah

Ibadat badaniyyah ialah ibadat tubuh badan seperti rukuk dalam solat, berpuasa dan tawaf mengelilingi Kaabah, manakala ibadat qauliyyah pula ialah ibadat perkataan seperti berzikir dan istighfar. Semua ibadat hendaklah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT. Sesiapa yang mengerjakan sesuatu ibadat kerana selain daripada Allah SWT bermakna dia telah mensyirikkan-Nya dengan sesuatu yang lain.

Firman Allah SWT di dalam Surah an-Nisa', ayat 48 bermaksud, "Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mensyirikkan-Nya, sedang Dia mengampunkan dosa selain itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mensyirikkan Allah, sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang sangat besar."

Semoga Allah SWT melindungi kita dari syirik kecil, syirik besar dan syirik yang tersembunyi...