Wednesday, July 17, 2013

NOTA RAMADHAN 2: PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA


Satu daripada dua rukun asasi puasa ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkannya. Perkara-perkara yang membatalkan puasa ialah:


1. Makan dan minum

- Puasa batal jika makan atau minum dengan sengaja walaupun sedikit.

- Sekiranya seseorang terlupa bahawa dia sedang berpuasa, lalu dia makan atau minum sedkit atau banyak, maka puasanya tidak batal.

- Sekira dia dipaksa makan atau minum oleh pihak yang diyakini benar-benar mampu menzaliminya, lalu dia makan atau minum, maka puasanya tidak batal kerana hukum ikhtiar (mempunyai pilihan) telah gugur daripadanya.


2. Sampai sesuatu ke dalam rongga melalui liang yang terbuka

- Maksud “sesuatu” : benda yang boleh dilihat oleh mata. Maksud “rongga” : otak atau apa yang ada di bawah halkum hingga ke perut. Maksud “liang yang terbuka” : mulut, telinga, qubul dan dubur samada bagi lelaki atau perempuan.

- Air yang masuk melalui telinga atau suntikan di lubang dubur membatalkan puasa.

- Sekiranya air masuk ke dalam mata, atau suntikan pada urat, puasa tidak batal kerana mata dan urat bukan liang yang terbuka.

- Sekiranya perkara-perkara di atas dilakukan secara tidak sengaja seperti terlupa sedang berada dalam keadaan berpuasa, maka puasa tidak batal. Ini diqiaskan kepada hukum makan dan minum seperti di perenggan (1).

- Sekiranya lalat, nyamuk atau debu jalan termasuk ke dalam rongga,maka puasa tidak batal kerana perkara-perkara tersebut sukar dielakkan.

- Menelan air liur sendiri tidak membatalkan puasa kerana ia dianggap di luar kawalan. Walau bagaimanapun, jika air liur itu bercampur dengan najis seperti gusinya berdarah dan dia tidak membersihnya, maka puasa batal sekalipun air liur berwarna jernih.

- Sekiranya berkumur atau memasukkan air ke dalam hidung secara tidak melampau, lalu air itu termasuk ke dalam rongga, maka puasa tidak batal. Tetapi jika dia melampau dalam berkumur atau memasukkan air ke dalam hidung, maka puasa batal. Berkumur atau memasukkan air ke dalam hidung secara berlebihan adalah dilarang semasa berpuasa.

- Sekiranya terdapat sisa makanan di celah-celah gigi, kemudian ia bercampur dengan air liur dan dia tidak dapat membezakannya, lalu ditelan tanpa sengaja, maka puasa tidak batal. Jika dia mampu membezakannya, maka puasanya batal kerana dia dianggap lalai.


3. Muntah dengan sengaja

- Muntah dengan sengaja walaupun sedikit membatalkan puasa sekalipun orang yang berpuasa itu yakin muntahnya tidak masuk semula ke dalam rongga.

- Sekiranya dia termuntah iaitu secara tidak sengaja, puasa tidak batal walaupun dia tahu bahawa sebahagian daripada muntahnya telah masuk semula ke dalam rongga tanpa sengaja.


4. Melakukan hubungan kelamin dengan sengaja walaupun tanpa keluar air mani

- Sekiranya melakukan hubungan kelamin dalam keadaan terlupa, maka puasa tidak batal.


5. Mengeluarkan air mani dengan sengaja

- Iaitu dengan bercumbu atau menggunakan tangan.

- Sekiranya orang yang berpuasa melakukannya dengan sengaja, maka puasanya batal.

- Sekiranya air mani keluar secara tidak sengaja seperti di luar kawalan, maka puasa tidak batal.


6. Haid dan nifas

- Bagi perempuan, sekiranya haid atau nifas keluar pada sebahagian daripada siang, maka batallah puasanya, dan diaw wajib mengqadhakkannya.


7. Gila dan murtad

- Gila dan murtad merupakan penghalang daripada sahnya puasa kerana orang yang berada dalam keadaan demikian tidak mempunyai kelayakan untuk beribadat termasuk berpuasa.


Catatan:

- Sekiranya orang yang berpuasa melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa dengan sangkaan bahawa fajar belum terbit, kemudian dia mendapati sangkaannya salah, maka puasanya batal. Walau bagaimanapun, dia hendaklah menahan diri daripada makan, minum dan seumpamanya pada siang hari tersebut sebagai menghormati bulan Ramadhan, di samping wajib mengqadhakkannya.

- Sekiranya dia berbuka dengan sangkaan bahawa matahari telah tenggelam, kemudian dia mendapati sangkaannya salah, maka batallah puasanya dan dia wajib mengqadhakkannya.


Wallahu a’lam.

NOTA RAMADHAN 1: PENETAPAN BULAN RAMADHAN

 


Penetapan bulan Ramadhan dibuat berdasarkan salah satu daripada dua perkara berikut:

1. Melihat anak bulan Ramadhan (Rukyah al-Hilal) pada malam 30 Syaaban

- Berlaku apabila seorang saksi yang adil menyatakan kesaksiannya di hadapan qadhi bahawa dia telah melihat anak bulan; atau

2. Mencukupkan 30 hari bulan Syaaban

- Berlaku apabila anak bulan tidak kelihatan disebabkan awan tebal ataupun tiada saksi yang adil datang kepada qadhi menyatakan bahawa dia telah melihat anak bulan. Ketika itu, hendaklah disempurnakan bulan Syaaban sebanyak 30 hari.

- Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Hendaklah kamu berpuasa kerana melihatnya (anak bulan) dan hendaklah kamu berbuka (berhariraya) kerana melihatnya. Maka sekiranya kamu terhalang daripada melihatnya, maka sempurnakanlah bilangan bulan Syaaban selama 30 hari.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

- Apabila anak bulan kelihatan di suatu negeri, maka penduduk negeri berhampiran wajib berpuasa kerana negeri-negeri yang berdekatan dihukumkan sebagai satu negeri. Ukuran jauh atau dekat berdasarkan kepada perbezaan matla’ (tempat terbit anak bulan).

- Diriwayatkan oleh Muslim daripada Kuraib, katanya, “Aku telah melihat anak bulan Ramadhan semasa aku berada di Syam. Aku melihatnya pada malam Jumaat. Kemudian aku pergi ke Madinah pada akhir bulan, lalu Ibn ‘Abbas RA bertanya kepadaku, “Bilakah kamu semua melihat anak bulan?”

Jawabku, “Kami melihatnya pada malam Jumaat”

Katanya (Ibn Abbas RA), “Adakah kamu yang melihatnya?”

Jawabku, “Ya, dan orang ramai juga telah melihatnya, lalu mereka berpuasa dan Muawiyah juga berpuasa.”

Katanya, “Kami semua melihatnya pada malam Sabtu. Kami terus berpuasa sehingga sempurna 30 hari ataupun kami akan melihatnya (anak bulan Ramadhan).”

Aku berkata, “Adakah tidak mencukupi dengan rukyah Muawiyah dan puasanya?”

Katanya, “Tidak, beginilah kami telah diperintahkan oleh Rasulullah SAW.”

- Berdasarkan hadith di atas, ulamak telah membuat ketetapan seperti berikut:

a) Sekiranya seorang penduduk negeri yang telah melihat anak bulan bermusafir ke negeri yang belum melihat anak bulan, maka dia hendaklah berpuasa bersama-sama penduduk negeri itu walaupun dia telah menyempurnakan puasa selama 30 hari.

- Sebab: Perpindahannya ke negeri tersebut menyebabkan dia dikira sebagai penduduk negeri berkenaan. Oleh sebab itu, dia wajib mengikut hukum mereka.

b) Sesiapa yang bermusafir dari negeri yang tidak melihat anak bulan ke negeri yang melihat anak bulan, maka dia hendaklah berhariraya bersama-sama dengan penduduk negeri yang kedua sama ada dia telah berpuasa selama 28 hari atau 29 hari.

- Sekiranya dia berpuasa selama 28 hari, maka dia hendaklah mengqadhakkan puasa satu hari kerana bilangan minima hari dalam bulan Hijrah ialah 29 hari.

c) Sesiapa yang pada waktu paginya berada di negeri yang sudah berhariraya, lalu dia bermusafir ke negeri yang penduduknya masih berpuasa, maka dia wajib menahan dirinya (berpuasa) pada baki hari tersebut sebagai mengikuti penduduk negeri berkenaan.



TEMPAT-TEMPAT MELIHAT ANAK BULAN DI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA DAN SELANGOR


1. Menara Kuala Lumpur

2. Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC)

3. Bukit Jugra, Kuala Langat

4. Bukit Melawati, Kuala Selangor

5. Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam


Bukit Melawati, Kuala Selangor

Wallahu a’lam.





Monday, May 20, 2013

MENGAPA BASMALAH?


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

“Mulakan bacaan al-Quran dengan Bismillah…”

“Baca Bismillah dulu sebelum makan…”

“Langkah dengan kaki kanan dan baca Bismillah…”

Inilah pesanan orang tua-tua dan guru-guru kita sejak dari kecil lagi. Dan inilah juga pesanan yang kita ulang-ulangkan setiap hari kepada anak-anak kita. Mulakan ini dengan Bismillah, mulakan itu dengan Bismillah. Pendek kata, disarankan semua perkara baik dimulakan dengan Bismillah. Berkat kata mereka dan kata kita juga.

Mengapa Basmalah, dan bukan ayat-ayat al-Quran yang lain atau perkataan-perkataan yang lain?

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ merupakan ayat pertama pada surah pertama di dalam al-Quran. Ulamak Tafsir berselisih pandangan, adakah ayat ini merupakan salah satu daripada ayat-ayat di dalam Surah al-Fatihah, atau adakah ia merupakan satu ayat al-Quran yang dibaca di permulaan surah tersebut?

Pendapat terkuat mengatakan bahawa ia merupakan salah satu daripada ayat-ayat di dalam Surah al-Fatihah, menjadikan surah ini mengandungi tujuh ayat. Firman Allah SWT bermaksud, “Dan sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu tujuh ayat daripada (surah) yang diulang-ulangkan bacaannya dan al-Quran al-‘Azim.” (Maksud Surah al-Hijr, ayat 87)

Memulakan sesuatu dengan nama Allah merupakan adab yang diajar sendiri oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya di dalam ayat pertama yang diturunkan kepada baginda. “Bacalah dengan nama Tuhanmu.” (Maksud Surah al-‘Alaq, ayat 1) Ayat ini diturunkan ketika baginda berada di dalam Gua Hira’, pada malam 17 Ramadhan, sekaligus menandakan permulaan baginda diangkat sebagai nabi dan rasul-Nya.

Mengapakah dengan nama Allah?

Lihatlah alam di sekeliling kita…

… Pada sang mentari dan dhuhanya;

… Pada sang bulan dan sinar lembutnya;

… Pada malam yang kegelapannya menyelimuti dunia;

… Pada siang yang kecerahannya menyingkap pandangan;

… Pada langit dan struktur binaannya;

… Pada bumi dan hamparannya; dan

Juga pada diri sendiri, pada saat hayat kita bermula dalam bentuk segumpal darah di dalam rahim ibu tercinta. Dari manakah kita bermula? Siapakah yang memulakannya? Kini kita sudah dewasa. Kita sudah berupaya memasang qasad dan merancang, sudah mampu bercakap apa sahaja dan melakukan apa sahaja. Namun, dari mana kita beroleh keupayaan dan kemampuan itu? Siapakah yang mengurniakannya?

Allah SWT Maha Awal dan Maha Akhir, Maha Zahir dan Maha Batin. Dialah zat yang wujud dalam ertikata sebenarnya. Seluruh yang lain wujud disebabkan kewujudan-Nya. Dan segala permulaan bermula dengan kewujudan-Nya. Justeru, amat wajar semua permulaan, segala pergerakan dan tujuan bermula dengan nama-Nya.

Benarlah kata orang tua-tua dan guru-guru kita, dan benarlah kata kita, “Mulakan dengan Bismillah…”