Friday, April 20, 2012

BERSYUKUR MEMADAM TAKABBUR



“Saya memang berhak berjaya selepas usaha gigih saya yang tidak mengenal penat,” kata si polan dengan yakinnya.

“Saya paling layak untuk menerima hadiah ini kerana saya yang terbaik,” bisik hati si polan yang lain dengan bangganya.

“Kemenangan ini adalah berkat kerjasama semua,” ujar si polan ketiga, merendah diri penuh santun.

Antara ketiga-tiga respon di atas, yang manakah yang selalu terjadi kepada kita apabila kita menerima sesuatu kejayaan?

Pada tahun kelapan Hijrah, Rasulullah SAW berjaya membuka Kota Makkah, kampung halaman yang telah baginda tinggalkan sekian lama semata-mata untuk menegakkan kalimah Allah SWT. Tidak sedikit derita yang baginda tanggung dalam perpindahan ini, namun rencana Allah SWT melebihi segala-galanya.

Di Madinah Munawwarah, negara Islam yang pertama didirikan. Kota Nabi ini menyaksikan rentetan pertembungan demi pertembungan berlaku antara Muslimin dan kuffar Quraisy yang akhirnya memihak kepada orang Islam. Kejayaan ini dilengkapkan dengan penaklukan Kota Makkah. Dalam masa tidak sampai dua tahun kemudiannya, seluruh Semenanjung Tanah Arab beriman kepada Allah SWT.

Peristiwa besar ini dirakamkan di dalam Surah al-Fath. Firman Allah SWT bermaksud, “Apabila tiba pertolongan Allah dan kemenangan (menakluk Makkah), dan engkau melihat manusia masuk ke dalam agama Allah sepuak demi sepuak, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan pohonlah keampunan-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat (hamba-Nya).”

Apakah iktibar yang dapat kita ambil daripada surah ini?

1. Kemenangan dalam apa jua perkara datang daripada Allah SWT. Segala usaha kita hanya sebagai sebab untuk meraihnya mengikut sunnatulLah. Tanggungjawab yang diletakkan di bahu kita adalah amanah dan sebagai pemegang amanah, kita wajib menunaikannya semampu terdaya. Justeru, berjaya atau tidak usaha kita bergantung kepada keizinan Allah SWT. Berapa ramai orang yang berusaha lebih kuat daripada kita, tetapi mereka tidak seberjaya kita?

2. Bertasbih dan bertahmid atas nikmat Allah SWT menyedarkan kita betapa kasih dan sayangnya Allah SWT kepada kita. Pertolongan-Nya amat dekat dan nikmat-Nya melimpahruah meskipun dalam banyak keadaan terasa kita tidak begitu layak untuk menerimanya. Firman Allah SWT bermaksud, “Dan andainya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan berdaya mengiranya.” (Surah an-Nahl, ayat 18)

3. Di akhir Surah al-Fath, Allah SWT memerintahkan kita supaya turut beristighfar dan memohon keampunan dari –Nya. Mengapa? Dia Maha Pencipta, Dia Maha Mengetahui apa yang berkecamuk di hati-hati kita. Sebelum berjaya, ada ketikanya kita berasa tidak sabar, keluh kesah, malah mungkin dihinggapi perasaan berputus harap. Apabila menerima kemenangan pula, tidak mustahil perasaan bangga dan sombong menguasai diri. Justeru, Allah SWT memerintahkan kita supaya sentiasa memohon keampunan daripada-Nya.

Ketika memasuki Kota Makkah, Rasulullah SAW membongkok di atas belakang unta baginda. Syukur baginda kepada Allah SWT atas nikmat kemenangan itu memadamkan perasaan marah kepada penduduk kota yang pernah menyakiti baginda, yang pernah mengusir baginda dan yang pernah memerangi baginda.

Jika baginda pun bersikap sedemikian, siapakah kita untuk berasa sombong dan takabbur apabila beroleh kejayaan dan kekuasaan?



Friday, April 6, 2012

KITAKAH ITU?

Kitakah itu yang apabila dua malaikat bertanya, “Siapakah Tuhan kamu? Apakah agama kamu? Siapakah nabi kamu?”, kita menjawab, “Tuhan kami Allah, agama kami Islam, Nabi kami Muhammad SAW.”

Kitakah itu yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud, “Sesungguhnya apabila seseorang daripada kamu meninggal dunia, maka pada waktu pagi dan petang akan dinampakkan di hadapannya tempat kediamannya. Sekiranya dia tergolong daripada kalangan ahli syurga, maka tempat kediamannya adalah dalam kalangan ahli syurga. ……. Maka dikatakan kepadanya: Inilah tempat kediaman kamu hingga Allah membangkitkan kamu pada hari Kiamat.”

Kitakah itu yang apabila dibangkitkan setelah ditiupkan sangkakala yang kedua, kita berkata sepertimana yang dirakamkan di dalam Surah Yasin, ayat 52 bermaksud, “Inilah yang dijanjikan oleh (Tuhan) yang Maha Pemurah dan benarlah para rasul.”

Kitakah itu yang apabila di Padang Mahsyar nanti, Allah SWT mengurniakan naungan kepada kita pada hari yang tiada lagi naungan kecuali naungan-Nya kerana kita adalah:

1. pemerintah yang adil; atau

2. pemuda yang hidup dalam beribadat kepada Allah; atau

3. lelaki yang hatinya terikat dengan masjid; atau

4. dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah; atau

5. lelaki yang diajak oleh seorang perempuan yang berpangkat dan cantik untuk melakukan perbuatan zina, dia berkata, “Sesungguhnya aku takut kepada Allah”; atau

6. lelaki yang bersedekah, kemudian dia menyembunyikan sedekahnya itu hingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kirinya; atau

7. lelaki yang mengingati Allah dalam keadaan seorang diri hingga mengalir airmatanya.

Kitakah itu yang ketika satu kumpulan manusia dihisab dengan teliti, dipersoalkan satu persatu, diminta hujah dan alasan tetapi akhirnya ditolak oleh Allah SWT, sebaliknya kita dihisab dengan hisab yang mudah, malah Allah SWT mengampunkan dosa kita lalu dijemput-Nya untuk masuk ke dalam syurga.

Kitakah itu yang diberi peluang oleh Rasulullah SAW untuk minum dari kolam baginda. Luas kolam itu kadar perjalanan satu bulan, airnya lebih putih daripada susu, baunya lebih harum daripada kasturi, alat penceduknya bertaburan seperti bintang-bintang di langit. Sesiapa yang dapat meminum airnya, dia tidak dahaga buat selama-lamanya.

Kitakah itu apabila amalan diletakkan di neraca timbangan, timbangan amalan baik kita lebih banyak berbanding amalan buruk.

Kitakah itu yang melalui titian (sirat) secepat bintang yang jatuh, atau secepat angin yang bertiup, atau secepat kerlipan mata atau separuh berlari.

Kitakah itu? Alangkah ruginya andai itu bukan kita…



MENCARI DAMAI




Minggu hadapan adalah cuti pertengahan penggal untuk anak-anak yang masih di bangku sekolah. Mereka pasti gembira “berehat” setelah lebih tiga bulan berulang alik ke sekolah. Bagi anak-anak yang tinggal di asrama, inilah masa untuk “balik kampung”, satu agenda yang sangat-sangat mengujakan meskipun “kampung” mereka sudah agak terkeluar daripada kategori “kampung” sebab warna-warni batu bata sudah hampir-hampir menenggelami kehijauan alam.

Mengapakah balik kampung menjadi begitu penting untuk kita? Mengapakah setiap kali hari raya atau cuti panjang, kita mesti balik kampung? Mengapakah suasana kampung mengundang damai di hati? Jawapannya ialah kerana kita kembali ke tempat asal kita. Kita mahu mencium tangan dan pipi insan yang melahirkan kita ke dunia, kita pulang ke tempat kita bermain, jatuh dan berlari. Kita kembali kepada fitrah.

Sebagaimana kita berasa damai apabila balik kampung, perasaan itu jugalah, malah jauh lebih lagi jika kita kembali kepada Allah SWT. Dahulu kita tidak ada, lalu Dia “ada”kan kita, kita di sini sebagai hamba-Nya dan pasti suatu hari nanti kita akan kembali juga kepada-Nya.

- Ketika kita menerima nikmat kegembiraan, kita kembali kepada-Nya, lantas mendatangkan damai di hati. Jiwa kita tenang, lidah tidak terlanjur mengeluarkan bicara “besar diri”.

- Ketika musibah singgah dalam hidup kita, kita kembali kepada-Nya, lantas airmata yang mengalir tidak sampai mempertikaikan taqdir, lalu kecamuk minda beransur hilang.

Dosa, kelalaian dan tenggelam dalam urusan dunia membibitkan resah dan gelisah, manakala zikrullah, solat dan majlis ilmu memercikkan kedamaian dan ketenangan. Jom, kita kembali ke asal kita dan mencari damai di sana…