Tuesday, February 26, 2013

MENGAUDIT DIRI

Ada apa di hatiku?

Ketahuilah, jika Allah SWT menghendaki kebaikan kepada hamba-Nya, Dia akan menjadikannya dapat melihat keburukan dirinya sendiri. Sesiapa yang celik mata hatinya, pasti akan dapat melihatnya. Apabila keaiban diri sudah diketahui, dia akan cuba merawatnya. Tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui tentang kelemahan mereka sendiri. Mereka mampu melihat debu halus pada mata saudara mereka, namun tidak dapat melihat batang pokok yang berada pada mata mereka sendiri.

Orang yang ingin menilai kekurangan dirinya mempunyai empat cara untuk melakukannya:

1. Bersemuka dengan guru yang tahu selok-belok penyakit hati

Guru tersebut akan menjelaskan kelemahan-kelemahan dirinya serta cara untuk mengatasinya. Pada zaman sekarang, orang sebegini sukar ditemui. Sesiapa yang dapat menemuinya, dia sebenarnya berhadapan dengan seorang doktor yang mahir. Oleh itu, janganlah dia cuba mengenepikan atau meninggalkannya.

2. Mencari kawan yang benar, boleh dipercayai, peka dan beragama

Dia melantik kawannya itu sebagai pemerhati kepada dirinya supaya kawannya itu dapat menyedarkannya tentang tingkah laku dan tindakannya yang tercela.

Amirul Mukminin, ‘Umar bin al-Khatttab RA berkata, “Mudah-mudahan Allah SWT merahmati orang yang dapat menunjukkan kelemahan-kelemahan diri kami.”

Saidina ‘Umar RA pernah bertanya kepada Salman RA tentang kelemahan dirinya, lalu Salman berkata, “Aku ada mendengar kamu makan dua jenis lauk dalam satu hidangan dan kamu mempunyai dua helai pakaian; satu untuk waktu malam dan satu lagi untuk waktu siang.” ‘Umar bertanya, “Ada perkara lain lagi?” Salman menjawab, “Tidak.” ‘Umar berkata, “Dua perkara inipun sudah cukup mengaibkan dan menunjukkan kelemahan diriku.”

Saidina ‘Umar RA juga pernah bertanya kepada Huzaifah RA, “Adakah aku termasuk di kalangan orang munafik?”

Sikap sebegini timbul kerana semakin tinggi martabat kesedaran seseorang, maka semakin bertambahlah tahap ketelitian dan sensitivitinya terhadap dirinya sendiri. Pada zaman sekarang, amat sukar untuk mendapat kawan yang mempunyai criteria seperti ini. Terlalu sedikit sahabat yang bersikap tidak mengampu, lalu sanggup mendedahkan kelemahan sahabatnya atau yang tidak bersifat dengki, lalu dia menasihatinya sekadar yang sepatutnya.

Para ulamak salaf amat suka jika ada orang menegur kesalahan mereka, tetapi kebiasaan yang berlaku sekarang adalah sebaliknya, di mana orang seperti itulah yang paling kita benci. Ini adalah tanda lemahnya iman. Akhlak yang buruk seumpama kala jengking. Jika ada seseorang memberitahu bahawa ada seekor kala jengking dalam baju salah seorang antara kita, pasti kita akan berterima kasih kepadanya dan berusaha bersama-sama untuk membunuh kala jengking tersebut. Sebagaimana diketahui umum bahawa akhlak yang buruk adalah lebih besar bahaya dan mudaratnya daripada kala jengking.

3. Mengenali kelemahan diri melalui cakap-cakap para seterunya

Ini kerana mata yang memandang dengan penuh kebencian akan membongkar semua keburukan. Musuh yang banyak menyebut segala kelemahan diri kamu adalah lebih berfaedah dari kawan yang sentiasa mengampu dan menyembunyikan kelemahanmu.

4. Bergaul dengan orangramai

Dengan syarat dia menjauhkan diri (tidak bersekongkol) setiap kali melihat berlaku perkara yang tidak baik atau tercela antara sesama mereka.


Catatan: Artikel di atas adalah sedutan daripada buku “Ringkasan Kitab Jalan Mereka Yang Menuju Allah” oleh Imam Ahmad bin Qudamah al-Maqdisi.

“OUT-STATION” ADALAH IBADAH


Walau di mana kita berada, Allah SWT sentiasa memerhati...

Sebagai penjawat awam, kebanyakan daripada kita tidak dapat lari daripada bertugas di luar daerah (out-station), malah adalah tidak menghairankan jika ada antara kita yang terpaksa out-station hampir setiap minggu. Tidak salah dan Islam sendiri tidak pernah melarang penganutnya bekerja keras demi memenuhi tuntutan tanggungjawab yang tergalas di bahu. Malah, jika betul caranya, pekerjaan yang asalnya pada pandangan mata kasar berupa duniawi, boleh berubah menjadi pemberat timbangan amal soleh pada hari di mana setiap zarrah lintasan hati dan geraklaku akan ditimbang iaitu di Padang Mahsyar nanti.

Firman Allah SWT bermaksud, “Maka sesiapa yang melakukan sesuatu kebaikan walau sebesar zarrah, dia akan melihatnya, dan sesiapa yang melakukan sesuatu kejahatan pula walau sebesar zarrah juga, maka dia akan melihatnya.” (Surah al Zalzalah, ayat 7 & 8)

Bagaimanakah out-station boleh menjadi ibadah? Formulanya mudah sahaja, iaitu:

Pertama : Ikhlas semata-mata kerana Allah SWT

Out-station adalah sebahagian daripada amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas kita. Tanggungjawab itu pula adalah selaras dengan peranan kita sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini.

Kita bekerja untuk menampung perbelanjaan keluarga. Menyediakan keperluan seperti tempat tinggal, makan pakai, pelajaran dan perubatan adalah hak isteri dan anak-anak. Allah SWT mewajibkan kita menunaikan hak-hak tersebut.

Maka, bagaimanakah out-station boleh menjadi ibadah? Mudah sahaja – Niatkannya kerana Allah SWT, Dia memerintahkan kita melakukannya, lalu kita melakukannya…

Kedua : Menepati syariat

Menepati syariat bermakna cara kita ber’out-station’ itu selari dengan apa yang Allah SWT telah gariskan. Cara kita meninggalkan keluarga, cara kita di dalam kenderaan, cara kita melaksanakan tugas di sana dan cara kita kembali ke rumah hendaklah tidak dicemari oleh unsur-unsur yang boleh mengundang dosa dan kemurkaan Allah SWT. Dan janganlah juga disebabkan out-station itu, kita meninggalkan apa yang diperintahkan-Nya.

Maka, bagaimanakah out-station boleh menjadi ibadah? Mudah sahaja – Tunaikan perintah Allah SWT, jaga batasan-batasan-Nya dan jauhi segala larangan-Nya.

Mengapakah penulis tegar mengatakan semuanya mudah? Agar kita yakin kita boleh melakukannya. Kita berupaya menjadikan out-station yang rutin itu berubah bentuk kepada amal soleh dan sedekah jariah. Melakukan sesuatu kebaikan, kebaikannya akan kembali kepada kita, di dunia dan di akhirat.

Bukankah kerana itu juga kita lahir di dunia ini? “Dan tidaklah Aku (Allah SWT) menciptakan jin dan manusia itu kecuali untuk beribadat kepada-Ku.” (Maksud Surah az-Zariyat, ayat 56)

Wallahu a’lam.

Monday, December 17, 2012

"DIA KEPERCAYAAN UMMAT MUHAMMAD"


Padang pasir yang kering kontang ini melahirkan insan-
insan yang basah lidah mereka dengan zikrulLah

Wajahnya selalu berseri. Matanya bersinar. Tubuhnya tinggi kurus. Bidang bahunya kecil. Setiap mata senang melihat kepadanya. Dia selalu ramah tamah, sehingga setiap orang merasa simpati kepadanya. Di sampmg sifatnya yang lemah lembut, dia sangat tawadhu’ (rendah hati) dan sangat pemalu. Tetapi bila menghadapi suatu urusan penting, dia sangat cekatan bagaikan singa jantan bertemu musuh.

Dialah kepercayaan ummat Muhammad. Namanya‘Amir bin ‘Abdillah bin Jarrah Al-Fihry Al-Qurasyi, dipanggil Abu ‘Ubaidah. ‘Abdullah bin ‘Umar pernah bercerita tentang sifat sifat yang mulia. Katanya, “Ada tiga orang Quraisy yang sangat cemerlang wajahnya, tinggi akhlak dan sangat pemalu. Bila berbicara, mereka tidak pernah dusta. Dan apabila orang berbicara kepada mereka, mereka tidak cepat-cepat mendustakan. Mereka itu ialah Abu Bakar Shiddiq, ‘Utsman bin ‘Affan dan Abu ‘Ubaidah bin Jarrah.”

Abu ‘Ubaidah termasük kelompok pertama masuk Islam. Dia masuk Islam di tangan Abu Bakar Shiddiq, sehari sesudah Abu Bakar masuk Islam. Waktu itu beliau menemui Rasulullah SAW bersama-sama dengan ‘Abdur Rahman bin ‘Auf, ‘Utsman bin Mazh’un dan Arqam bin Abi Arqam untuk mengucapkan syahadat di hadapan beliau. Kerana itu, mereka tercatat sebagai tiang-tiang pertama dalam pembangunan mahligai Islam yang agung dan indah.

Dalam kehidupannya sebagai Muslim, Abu ‘Ubaidah mengalami masa penindasan yang keras dari kaum Quraisy terhadap kaum Muslimin di Makkah, sejak permulaan sampai akhir. Dia turut menderita bersama-sama kaum Muslimin yang mula-mula, merasakan tindakan kekerasan, kesulitan dan kesedihan, yang tak pernah dirasakan oleh pengikut agama-agama lain di muka bumi ini.

Walaupun beqitu, dia tetap teguh menerima segala macam cobaan. Dia tetap setia dan membenarkan Rasulullah pada setiap situasi dan kondisi yang berubah-ubah. Bahkan ujian yang dialami Abu ‘Ubaidah dalam perang Badar melebihi segala macam kekerasan yang pernah kita alami.

Abu ‘Ubaidah turut berperang dalam Perang Badar. Dia menyusup ke barisan musuh tanpa takut mati. Tetapi tentara berkuda kaum Musyrikin menghadang dan mengejarnya ke mana dia lari. Terutama seorang laki-laki, mengejar Abu ‘Ubaidah dengan sangat beringas ke mana saja. Tetapi Abu ‘Ubaidah selalu menghindar dan menjauhkan diri untuk bertarung dengan orang itu. Orang itu tidak mahu berhenti mengejarnya.

Setelah lama berputar-putar, akhirnya Abu ‘Ubaidah terpojok. Dia waspada menunggu orang yang mengejarnya. Ketika orang itu tambah dekat kepadanya, dalam posisi yang sangat tepat, Abu ‘Ubaidah menghayunkan pedangnya tepat di kepala lawan. Orang itu jatuh terbanting dengan kepala belah dua. Musuh itu tewas seketika di hadapan Abu ‘Ubaidah. Siapakah lawan Abu ‘Ubaidah yang sangat beringas itu?

Di atas telah dikatakan, tindak kekerasan terhadap kaum Muslimin telah melampaui batas. Mungkin anda ternganga bila mengetahui musuh yang tewas di tangan Abu ‘Ubaidah itu tak lain ialah Abdullah bin Jarrah, ayah kandung Abu ‘Ubaidah. Abu ‘Ubaidah tidak membunuh bapaknya. Tetapi membunuh kemuysrikan yang bersarang dalam peribadi bapaknya. Berkenaan dengan kasus Abu ‘Ubaidah tersebut, Allah SWT berfirman sebagai tersebut:

“Kamu tidak akan mendapati suatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari Kiamat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul Nya, sekalipun orang-orang itu bapak-bapak, atau anak-anak, atau saudara-saudara, ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang Allah telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya golongan Allah itulah golongan yang beruntung.” (Al-Mujadalah: 22)

Ayat di atas tidak menyebabkan Abu ‘Ubaidah membusungkan dada. Bahkan menambah kukuh imannya kepada Allah dan ketulusannya terhadap agama. Orang yang mendapat gelar ‘Kepercayaan ummat Muhammad” ini ternyata menarik perhatian orang-orang besar, bagaikan besi berani menarik logam di sekitarnya.

Muhammad bin Ja’far menceritakan, “Pada suatu ketika, para utusan kaum Nasrani datang menghadap kepada Rasulullah. Kata mereka, “Ya, Aba Qasim! Kirimlah bersama kami seorang sahabat anda yang anda pandang cakap menjadi hakim tentang harta yang menyebabkan kami berselisih sesama kami. Kami senang menerima putusan yang ditetapkan kaum Muslimin.” Jawab Rasulullah, “Datanglah nanti petang, saya akan mengirimkan bersama kalian “orang kuat yang terpercaya.”

Kata ‘Umar bin Khaththab, “Saya pergi shalat Zhuhur lebih cepat dan biasa. Saya tidak ingin tugas itu diserahkan kepada orang lain, kerana saya ingin mendapatkan gelar “orang kuat terpercaya”. Sesudah selesai shalat Zhuhur, Rasulullah menengok ke kanan dan ke kiri. Saya agàk menonjolkan diri supaya Rasulullah melihat saya. Tetapi beliau tidak melihat lagi kepada kami. Setelah beliau melihat Abu ‘Ubaidah bin Jarrah, beliau memanggil seraya berkata kepadanya: Pergilah engkau bersama mereka. Adili dengan baik perkara yang mereka perselisihkan.”

Maka pergilah Abu ‘Ubaidah dengan para utusan Nasrani tersebut, menyandang gelar “orang kuat yang terpercaya”.

Abu ‘Ubaidah bukanlah sekedar orang kepercayaan semata-mata. Bahkan dia seorang yang berani memikul kepercayaan yang dibebankan kepadanya. Keberanian itu ditunjukkannya dalam berbagai peristiwa dan tugas yang dipikulkan kepadanya.

Pada suatu hari Rasulullah SAW mengirim satu pasukan yang terdiri dari para sahabat untuk menghadang kafilah Quraisy. Beliau mengangkat Abu ‘Ubaidah menjadi kepala pasukan dan membekali mereka hanya dengan sekarung kurma, tidak lebih dari itu. Kerana itu, Abu ‘Ubaidah membagi-bagikan kepada para prajuritnya sehari sebuah kurma bagi seorang. Mereka mengulum kurma itu seperti menghisap gula-gula. Sesudah itu mereka minum. Hanya begitu, mereka makan untuk beberapa hari.

Waktu kaum muslimin kalah dalam Perang Uhud, kaum musyrikin sedemikian bernafsu ingin membunuh Rasulullah SAW. Waktu itu, Abu ‘Ubaidah termasuk sepuluh orang yang selalu membentengi Rasulullah. Mereka mempertaruhkan dada mereka ditembus panah kaum Musyrikin demi keselamatan Rasulullah SAW. Ketika pertempuran telah usai, sebuah taring Rasulullah ternyata patah, kening beliau luka dan di pipi beliau tertancap dua mata rantai baju besi beliau.

Abu Bakar menghampiri Rasulullah hendak mencabut kedua mata rantai itu dari pipi beliau. Kata Abu ‘Ubaidah, “Biarlah saya yang mencabut nya!” Abu Bakar menyilakan Abu ‘Ubaidah. Abu ‘Ubaidah kuatir kalau Rasulullah kesakitan bila dicabutnya dengan tangan. Maka digigitnya mata rantai itu kuat-kuat dengan giginya lalu ditariknya. Setelah mata rantai itu tercabut, gigi Abu ‘Ubaidah tanggal satu. Kemudian digigitnya pula mata rantai yang sebuah lagi. Setelah tercabut, gigi Abu ‘Ubaidah tanggal pula sebuah lagi. Kata Abu Bakar, “Abu ‘Ubaidah orang ompong yang paling cakap.”

Abu ‘Ubaidah selalu mengikuti Rasulullah berperang dalam setiap peperangan yang dipimpin beliau sampai beliau wafat.

Dalam musyawarah pemilihan Khalifah yang pertama (Yaumu as-Saqifah), ‘Umar bin Khaththab mengulurkan tangannya kepadà Abu ‘Ubaidah seraya berkata, “Saya memilih anda dan bersumpah setia dengan anda kerana saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya tiap-tiap ummat mempunyai orang dipercayai. Orang yang paling dipercaya dari ummat ini adalah anda (Abu ‘Ubaidah).”

Jawab Abu ‘Ubaidah, “Saya tidak mahu mendahului orang yang pernah disuruh Rasulullah untuk mengimami kita shalat sewaktu beliau hidup (Abu Bakar). Walaupun sekarang beliau telah wafat, marilah kita imamkan juga dia.” Akhirnya mereka sepakat memilih Abu Bakar inenjadi Khalifah pertama, sedangkan Abu ‘Ubaidah menjadi penasihat dan pembantu utama bagi Khalifah.

Setelah Abu Bakar, jabatan khalifah pindah ke tangan ‘Umar bin Khatthab Al-Faruq. Abu ‘Ubaidah selalu dekat dengan ‘Umar dan tidak pernah membangkang perintahnya kecuali sekali. Tahukah anda perintah Khalifah ‘Umar yang bagaimanakah yang tidak dipatuhi Abu ‘Ubaidah?

Peristiwa itu terjadi ketika Abu ‘Ubaidah bin Jarrah memimpin tentara Muslimin menaklukkan wilayah Syam (Syria). Dia berhasil memperoleh kemenangan demi kemenangan berturut-turut sehingga seluruh wilayah Syam takluk ke bawah kekuasaannya sejak dari tepi Sungai Furat di sebelah timur sampai ke Asia Kecil di sebelah utara.

Sementara itu, di negeri Syam berjangkit penyakit menular (Tha’un) yang amat berbahaya yang belum pernah terjadi sebelumnya sehingga korban berjatuhan. Khalifah ‘Umar datang dari Madinah, sengaja hendak menemui Abu ‘Ubaidah. Tetapi ‘Umar tidak dapat masuk kota kerana penyakit yang sedang mengganas itu. Lalu ‘Umar menulis surat kepada Abu ‘Ubaidah sebagai berikut:

“Saya sangat penting bertemu dengan saudara. Tetapi saya tidak dapat menemui saudara kerana wabak penyakit sedang berjangkit dalam kota. Kerana itu, bila surat ini sampai ke tangan saudara malam hari, saya harap saudara berangkat menemui saya di luar kota sebelum Subuh. Dan bila surat ini sampai ke tangan siang hari, saya harap saudara berangkat sebelum hari petang.”

Setelah surat Khalifah tersebut dibaca Abu ‘Ubaidah, dia berkata, “Saya tahu maksud Amirul Mu’minin memanggil saya. Beliau ingin supaya saya menyingkir dari penyakit yang berbahaya ini.” Lalu dibalasnya surat Khalifah, katanya;

“Ya, Amirul Mu’minin! Saya mengerti maksud Khalifah memanggil saya. Saya berada di tengah tentara Muslimin, sedang bertugas memimpin mereka. Saya tidak ingin meninggalkan mereka dalam bahaya yang mengancam, hanya untuk menyelamatkan diri sendiri. Saya tidak ingin berpisah dengan mereka sehingga Allah memberi keputusan kepada kami semua (selamat atau binasa). Maka bila surat ini sampai ke tangan anda, maafkanlah saya tidak dapat memenuhi permintaan anda, dan beri izinlah saya untuk tetap tinggal bersama-sama mereka.”

Setelah Khalifah ‘Umar selesai membaca surat tersebut, beliau menangis sehingga airmatanya meleleh ke pipinya. Kerana sedih dan terharu melihat Umar menangis, maka orang yang di samping beliau bertanya, “Ya, Amirul Mukminin! Apakah Abu ‘Ubaidah wafat?” “Tidak!,” jawab ‘Umar. “Tetapi dia berada di ambang kematian.” Dugaan Khalifah tersebut tidak salah. Kerana tidak lama sesudah itu, Abu ‘Ubaidah terserang wabak yang sangat berbahaya.

Sebelum kematiannya, Abu ‘Ubaidah berwasiat kepada seluruh prajuritnya, “Saya berwasiat kepada anda sekalian. Jika wasiat ini kalian terima dan laksanakan, kalian tidak akan sesat dari jalan yang baik dan senantiasa berada dalam bahagia: Tetaplah menegakkan shalat, laksanakan puasa Ramadhan, bayar sedekah (zakat), tunaikan ibadah haji dan ‘umrah. Hendaklah kalian saling menasihati sesama kalian. Nasihati pemerintah kalian, jangan dibiarkan mereka tersesat. Dan janganlah kalian tergoda oleh dunia. Walaupun seseorang bisa berusia panjang sampai seribu tahun, namun akhinnya dia akan menjumpai kematian seperti yang kalian saksikan ini. Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh...”

Kemudian dia menoleh kepada Mu’adz bin Jabal. Katanya, “Hai Mu’adz! Sekarang engkau menjadi imam (panglima)!” Tidak lama kemudian, ruhnya yang suci berangkat ke rahmatullah. Dia telah tiada di dunia fana. Jasadnya tidak lama pula habis dimakan masa. Tetapi amal pengorbanannya akan tetap hidup selama-lamanya.

Mu’adz bin Jabal berdiri di hadapan jama’ahnya, lalu dia berpidato, “Ayyuhannaas! (Hai sekalian manusia!) Kita semua sama-sama merasa sedih kehilangan dia (Abu ‘Ubaidah). Demi Allah! Saya tidak melihat orang yang lapang dada melebihi dia. Saya tidak melihat orang yang lebih jauh dari kepalsuan selain dia. Saya tidak tahu kalau ada orang yang lebih menyukai kehidupan akhirat melebihi dia. Dan saya tidak tahu kalau ada orang yang suka memberi nasihat kepada umum melebihi dia. Kerana itu marilah kita memohon rahmat Allah baginya, semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya pula kepada kita semua. Amin…”


Catatan:
Artikel di atas dipetik daripada Lamanweb ikram.org.my - ummuzayd.com