Thursday, August 2, 2012

HANYA UNTUK-MU

 "Kamu beriman tak bahawa satu-satunya kuasa yang mencipta dan mentadbir alam ini ialah Allah?"

"Percaya!"

"Kamu beriman tak hanya Allah SWT sahaja yang berhak disembah?"

"Percaya!"

"Apa maksud beriman bahawa hanya Allah SWT sahaja yang berhak disembah?"

"Emmm...."

Dialog ini mungkin pernah kita dengar. Kalau tidak pernah mendengarnyapun, bayangkan jika kita ditanya sebegitu, apakah jawapan kita? Jawapan satu hal, kefahaman satu hal dan penghayatan satu hal lain.

'Ulamak mengistilahkan keimanan bahawa hanya Allah SWT sahaja yang berhak disembah sebagai Tauhid Uluhiyyah. Muslim Mukmin bukan sahaja beriman bahawa hanya Allah SWT sahaja yang mencipta dan mentadbir alam ini, tetapi kita juga dituntut supaya bertawajjuh (mengadap) kepada Allah SWT dalam semua bentuk ibadat dan membersihkan hati daripada terikat dengan sesuatu selain Allah SWT.

Dr. Muhammad Naim Yassin di dalam buku beliau mengatakan Tauhid Uluhiyyah membawa maksud:

1. Kita wajib mengikhlaskan cinta kepada Allah SWT

Kita tidak boleh mencintai sesuatu selain daripada Allah SWT sama sepertimana kita mencintai Allah SWT. Kita juga tidak boleh mengutamakan cinta kepada sesuatu lebih daripada cinta kita kepada Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah, ayat 165 bermaksud, "Dan di antara manusia ada orang yang mengambil selain Allah sebagai sekutu. Mereka mencintainya sepertimana mereka mencintai Allah, sedang orang yang beriman tersangat cinta kepada Allah."

Manusia sememangnya diciptakan dengan fitrah mencintai diri sendiri, ibubapa, pasangan, anak-anak, harta dan negara. Mengikhlaskan cinta kepada Allah SWT bukan bererti Islam menghapuskan tabiat semulajadi tersebut, tetapi apa yang dimaksudkan ialah mencintai sesuatu selepas daripada mencintai Allah SWT. Kita sanggup mengorbankan apa yang disayanginya demi jalan Allah SWT. Sekiranya berlaku pertembungan antara cinta kepada Allah SWT dan cinta kepada selain-Nya, kita akan mengutamakan cinta kepada Allah SWT.

2. Kita wajib mengesakan Allah SWT dalam berdoa

Kita wajib mengesakan Allah SWT dalam berdoa, bertawakkal dan berharap. Kita wajib beriman bahawa hanya Allah SWT yang berkuasa memakbulkan doa, usaha dan harapan kita. Firman Allah SWT dalam Surah Yunus, ayat 106 bermaksud, “Dan janganlah kamu meminta selain daripada Allah apa yang tidak boleh memberi manfaat dan tidak boleh memudharatkan kamu. Maka, sekiranya kamu berbuat demikian, kamu akan termasuk ke dalam golongan orang yang zalim.”

3. Kita wajib mengesakan Allah SWT dalam takut

Kita wajib beriman bahawa tidak ada makhluk yang boleh memberi mudharat kepada kita dengan kuasanya sendiri tanpa diizinkan oleh Allah SWT. Mempercayai bahawa makhluk boleh memudharatkan dan takut kepadanya menjatuhkan seseorang kepada syirik.

Firman Allah SWT dalam Surah Yunus, ayat 107 bermaksud, “Dan sekiranya Allah hendak menimpakan kamu dengan sesuatu kemudharatan, maka tidak ada yang boleh menghilangkannya kecuali Dia. Dan sekiranya Dia menghendaki sesuatu kebaikan untuk kamu, maka tidak ada yang dapat menolak kurnia-Nya. Dia memberi kebaikan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada hamba-hamba-Nya dan Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

4. Kita wajib mengesakan Allah SWT dalam semua jenis ibadat sama ada ibadat badaniyyah atau ibadat qauliyyah

Ibadat badaniyyah ialah ibadat tubuh badan seperti rukuk dalam solat, berpuasa dan tawaf mengelilingi Kaabah, manakala ibadat qauliyyah pula ialah ibadat perkataan seperti berzikir dan istighfar. Semua ibadat hendaklah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT. Sesiapa yang mengerjakan sesuatu ibadat kerana selain daripada Allah SWT bermakna dia telah mensyirikkan-Nya dengan sesuatu yang lain.

Firman Allah SWT di dalam Surah an-Nisa', ayat 48 bermaksud, "Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mensyirikkan-Nya, sedang Dia mengampunkan dosa selain itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mensyirikkan Allah, sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang sangat besar."

Semoga Allah SWT melindungi kita dari syirik kecil, syirik besar dan syirik yang tersembunyi...