Friday, July 30, 2010

Musafir ke Utara Terengganu : Hari Pertama

26 Julai 2010

9.15 Pagi

Kami bertolak dari pejabat. Hujan turun renyai-renyai. Memang sejak semalam, hari hujan dari pagi hingga malam. Hujan rahmat, Insya Allah. Di ibu kota begini, jika tidak hujan dua tiga hari mulalah terasa bahangnya. Dan sekali sekali berpeluang keluar dari keriuhan dan kesibukan ini terasa nikmatnya ....

Kali ini destinasi kami ialah Terengganu Darul Iman .... Secara spesifiknya ke Besut, Terengganu.

Besut terletak di bahagian utara negeri Terengganu dan bersempadan dengan Kelantan di sebelah utara dan baratnya. Sepanjang Timur lautnya pula mengadap Laut China Selatan, manakala sebelah barat ialah Banjaran Titiwangsa. Bayangkan satu tempat yang dikelilingi oleh khazanah semulajadi yang begitu indah – laut dan gunung ganang ...

3.00 Petang

Kami masuk ke daerah Besut, Terengganu ....

Besut merupakan salah satu daripada tujuh daerah di negeri Terengganu. Ia adalah pintu masuk ke negeri tersebut yang bersempadan dengan negeri Kelantan Darul Naim. Berkeluasan 123,367.8 hektar, terdapat lima buah pekan utama di Besut. Penduduknya hampir mencecah 150 ribu orang, majoritinya adalah Melayu, diikuti oleh bangsa Cina dan lain-lain. Kegiatan ekonomi utama penduduk Besut ialah pertanian dan perikanan.

Tidak ada bukti bertulis mengenai sejarah awal Besut. Justeru, cerita mengenai asal usulnya pelbagai. Salah satu daripadanya - Pada zaman dahulu, dikatakan bahawa daerah ini berada di bawah kuasa Kerajaan Siam . Perkataan “be” dalam bahasa Siam bermakna “daerah”, manakala “sut” pula ialah satu tempat atau kawasan yang paling jauh atau penghujung. Dinamakan daerah ini “Besut” kerana kedudukannya yang sangat jauh daripada pusat pentadbiran kerajaan Siam pada ketika itu.

3.30 Petang

Akhirnya kami sampai di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Wilayah Timur, venue program kami kali ini .....

ILIM Wilayah Timur terletak kira-kira 18 kilometer daripada Bandar Jertih dengan keluasan lebih kurang 26.5 hektar. Dikelilingi oleh kawasan peranginan dan riadah Pantai Bukit Keluang dan berdekatan dengan jeti ke Pulau Redang dan Pulau Perhentian iaitu dua pulau negara yang menjadi tumpuan mereka yang ingin menikmati keindahan panorama laut.

Dibina dengan peruntukan sebanyak RM 27.4 juta, projek di bawah RMK-9 ini bermula pada Disember 2007 dan siap pada Disember 2009. Ia memulakan operasi pada April 2010. Baru lagi tu .... Jadi, sesiapa yang berpeluang berkursus di sini dalam tempoh terdekat, bolehlah menggunakan kemudahannya yang serba baru.


Ini adalah blok asrama, tempat penginapan kami untuk dua hari satu malam ini ...


Ini bilik kami ....


Suasana dalam bilik. Setiap peserta disediakan katil bujang, almari, meja, kerusi, penyidai dan tuala. Setakat kami di sini, belum disediakan sabun mandi. Jadi, bagi sesiapa yang hendak menginap di sini, sila bawa sekali sabun mandi. Dan jangan "expect" kemudahan hotel lima bintang. Namapun Institut Latihan, bukan hotel ...


Inilah Bukit Keluang yang melatari ILIM Wilayah Timur - memberi nilai tambah kepada ketenangan semulajadinya ....


Surau. Peserta kursus yang datang bersilih ganti memakmurkan rumah Allash ini ...


Ini Blok Akademik ....


..... dan ini Bilik Kuliah Ibn 'Aqil, tempat kami bermesyuarat


Ini Dewan Makan. Walaupun pilihan makanannya tidak banyak, tetapi apa yang disediakan sangat sedap dan secukup rasa. Mengikut salah seorang staf di situ, Urus Setia boleh memohon disediakan Nasi Dagang, makanan tradisional Terengganu untuk sarapan. Sedap tu ...

No comments: