Monday, May 20, 2013

MENGAPA BASMALAH?


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

“Mulakan bacaan al-Quran dengan Bismillah…”

“Baca Bismillah dulu sebelum makan…”

“Langkah dengan kaki kanan dan baca Bismillah…”

Inilah pesanan orang tua-tua dan guru-guru kita sejak dari kecil lagi. Dan inilah juga pesanan yang kita ulang-ulangkan setiap hari kepada anak-anak kita. Mulakan ini dengan Bismillah, mulakan itu dengan Bismillah. Pendek kata, disarankan semua perkara baik dimulakan dengan Bismillah. Berkat kata mereka dan kata kita juga.

Mengapa Basmalah, dan bukan ayat-ayat al-Quran yang lain atau perkataan-perkataan yang lain?

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ merupakan ayat pertama pada surah pertama di dalam al-Quran. Ulamak Tafsir berselisih pandangan, adakah ayat ini merupakan salah satu daripada ayat-ayat di dalam Surah al-Fatihah, atau adakah ia merupakan satu ayat al-Quran yang dibaca di permulaan surah tersebut?

Pendapat terkuat mengatakan bahawa ia merupakan salah satu daripada ayat-ayat di dalam Surah al-Fatihah, menjadikan surah ini mengandungi tujuh ayat. Firman Allah SWT bermaksud, “Dan sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu tujuh ayat daripada (surah) yang diulang-ulangkan bacaannya dan al-Quran al-‘Azim.” (Maksud Surah al-Hijr, ayat 87)

Memulakan sesuatu dengan nama Allah merupakan adab yang diajar sendiri oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya di dalam ayat pertama yang diturunkan kepada baginda. “Bacalah dengan nama Tuhanmu.” (Maksud Surah al-‘Alaq, ayat 1) Ayat ini diturunkan ketika baginda berada di dalam Gua Hira’, pada malam 17 Ramadhan, sekaligus menandakan permulaan baginda diangkat sebagai nabi dan rasul-Nya.

Mengapakah dengan nama Allah?

Lihatlah alam di sekeliling kita…

… Pada sang mentari dan dhuhanya;

… Pada sang bulan dan sinar lembutnya;

… Pada malam yang kegelapannya menyelimuti dunia;

… Pada siang yang kecerahannya menyingkap pandangan;

… Pada langit dan struktur binaannya;

… Pada bumi dan hamparannya; dan

Juga pada diri sendiri, pada saat hayat kita bermula dalam bentuk segumpal darah di dalam rahim ibu tercinta. Dari manakah kita bermula? Siapakah yang memulakannya? Kini kita sudah dewasa. Kita sudah berupaya memasang qasad dan merancang, sudah mampu bercakap apa sahaja dan melakukan apa sahaja. Namun, dari mana kita beroleh keupayaan dan kemampuan itu? Siapakah yang mengurniakannya?

Allah SWT Maha Awal dan Maha Akhir, Maha Zahir dan Maha Batin. Dialah zat yang wujud dalam ertikata sebenarnya. Seluruh yang lain wujud disebabkan kewujudan-Nya. Dan segala permulaan bermula dengan kewujudan-Nya. Justeru, amat wajar semua permulaan, segala pergerakan dan tujuan bermula dengan nama-Nya.

Benarlah kata orang tua-tua dan guru-guru kita, dan benarlah kata kita, “Mulakan dengan Bismillah…”

No comments: