Monday, January 18, 2010

Solat Gerhana Matahari

"Insya Allah, pada petang ini dijangka akan berlaku gerhana matahari. Masjid yang berdekatan akan mengadakan Solat Sunnat Gerhana, anda semua digalakkan menyertainya," umum boss saya seusai sessi membaca al-Quran pada pagi Jumaat, 15 Januari 2010.

Duduk sahaja di meja sendiri selepas itu, saya membuka buku Fiqh dan terus mencari bab mengenai Solat Sunnat Gerhana. Saya pernah melakukannya, tetapi jarak masa antaranya dan sekarang memerlukan saya menghangatkan semula maklumat mengenainya. Melakukan sesuatu dengan ilmu yang jelas mengenainya lebih mendatangkan penghayatan, itu harapan saya.

Terdapat dua jenis gerhana iaitu gerhana matahari dan gerhana bulan. Dalam Bahasa Arab, gerhana matahari disebut "kusuf", manakala gerhana bulan pula disebut "khusuf". Gerhana matahari terjadi apabila cahayanya terlindung samada sebahagian atau keseluruhan. Gerhana bulan pula apabila cahayanya terlindung samada sebahagian atau keseluruhan.

Hukum Solat Gerhana ialah Sunnat Muakkad iaitu sunnat yang sangat digalakkan. Solat Sunnat Gerhana Matahari mula disyariatkan pada tahun kedua Hijriyyah, manakala Solat Sunnat Gerhana Bulan pula pada tahun kelima Hijriyyah.

Sabda Rasulullah saw bermaksud, "Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda daripada tanda-tanda kebesaran Allah. Tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya disebabkan mati atau hidupnya seseorang. Maka apabila kamu melihat ia berlaku, maka solatlah dan berdoalah hingga apa yang berlaku kepada kamu tersingkap."

Solat Gerhana boleh dilakukan secara sendiri-sendiri, tetapi sunnat dilakukan secara berjemaah. Sebelum pergi solat, disunnatkan mandi terlebih dahulu sepertimana Solat Jumaat. Tidak ada azan dan iqamat untuk Solat Gerhana, cukup sekadar diseru, "As-solat al-Jami'ah".

Solat Gerhana terdiri daripada dua rakaat, pada setiap raakat itu terdapat dua kali berdiri dan dua kali rukuk. Caranya seperti berikut :

- Rakaat Pertama :
1. Takbir (Niat Solat Sunnat Gerhana)
2. Membaca Al-Fatihah dan Surah
3. Rukuk
4. Iktidal
5. Membaca Al-Fatihah dan Surah
6. Rukuk
7. Iktidal
8. Sujud
9. Dua antara dua sujud
10. Sujud
11. Berdiri untuk rakaat kedua

- Rakaat kedua :
a) Ulangi 2 hingga 10
b) Tahiyyat
c) Salam

Selepas selesai solat, Imam akan menyampaikan khutbah sama seperti Khutbah Jumaat.

Solat Gerhana tidak boleh diqadha'. Ini bermakna sekiranya gerhana matahari atau bulan itu sudah berakhir, maka tidak ada lagi solat sunnat untuknya.

No comments: