Saturday, January 9, 2010

Semangat Dan Rindu Di Awal Tahun

"Hai, lama tak chat, sibuk ke?" Tanya Yati, kawan baik saya, nun jauh di Kuantan. Melihat tarikh di atas ayat itu, saya berasa sedikit bersalah kerana membiarkan soalan itu tidak berjawab begitu lama. Memang seminggu dua ini saya tidak sempat bertukar-tukar berita dengannya. Minggu terakhir tahun lepas, saya "out-station" ke Negeri Sembilan, bersambung terus dengan bercuti di rumah hingga 2009 melabuhkan tirainya.

1 Januari 2010, saya sekeluarga ke Johor Bahru untuk menghantar Faiz. Sudah Tingkatan Dua, saya tidak putus-putus berdoa moga Allah swt sentiasa bersama-sama-Nya sepanjang kembaranya menuntut ilmu dan menimba pengalaman hidup. Terasa sunyi rumah tanpa kehadirannya. Terbayang kelibatnya mengusik adiknya, Ithar. Dia banyak membantu saya membuat kerja rumah - membuang sampah, mengambil baju di ampaian, membancuh teh. Rindunya saya pada Faiz, Allah swt sahaja yang tahu.

4 Januari 2010, giliran Ithar pula. Saya membuat keputusan memasukkan Ithar di sebuah Tadika Islam di seksyen tempat tinggal saya. Hari itu hari pertama dia ke sekolah. Pakaian seragamnya cukup ceria - baju dan tudung berwarna merah jambu, seluar panjang biru gelap. Tampak comel sangat-sangat.

Selesai mengurus sekolah anak-anak, saya kembali ke dunia kerja.Setelah hampir dua minggu tidak ke pejabat, kerja tertimbun di atas meja. Paling memeritkan kalau ia bertaraf "segera", kena selesaikan pada hari itu juga. Tetapi hingga ke hari ini, saya sentiasa bersyukur kerana mendapat kerja yang saya minat - buku, buku dan buku...

No comments: