Berpindah dan bertukar merupakan perkara biasa dalam dunia bekerja. Tidak ada seorangpun, terutama sekali penjawat awam yang berani meramalkan bahawa dia akan berada di tempat yang disukai untuk suatu tempoh yang lama atau hingga dia bersara.
Saya juga melalui pengalaman yang sama. Semasa kembali ke tanahair, saya menggambarkan saya akan terus bekerja di negeri tanah tumpah darah saya iaitu Sarawak, tetapi perkara sebaliknya berlaku. Saya ditukarkan ke ibu negara setelah kurang empat tahun berkhidmat.
Pertemuan dan perpisahan adalah adat dunia. Tiada yang kekal melainkan Allah Yang Maha Berkuasa. Menyedari hakikat ini akan banyak menginsafkan kita kepada nilai dunia ini. Benarlah sabda Rasulullah saw yang bermaksud, "Jadilah kamu di dunia ini seolah-olah kamu adalah musafir lalu."
Mengapakah kita disamakan dengan musafir? Pastinya kerana kita hanya lalu di dunia ini dan akhirnya kita akan kembali jua kepada-Nya. Tidak kira berapa umur kita semasa di sini, pendek atau panjang, yang pasti kita akan mati. Di sanalah negeri kita yang abadi.
Musafir yang bijak :
- ... tidak akan membawa barangan melebihi keperluannya kerana dia tahu ia akan hanya memenatkannya pada perkara yang tidak perlu ;
- ... tidak akan leka memetik bunga di kiri kanannya kerana dia tahu itu hanya akan melambatkan perjalanannya ;
- ... tidak akan melakukan perkara-perkara yang tidak menguntungkannya di destinasi yang ditujuinya, apatah lagi perkara yang memudharatkannya.
Semoga kita semua tergolong ke dalam kumpulan orang-orang yang bijak sebijak musafir yang bijak...
No comments:
Post a Comment