Wednesday, February 17, 2010

PANAS !!!

"Ummi, ada kuching masuk rumah!", jerit Ithar sekembalinya saya dan keluarga ke rumah malam tadi. "Ummi buka tingkap bilik tidur Ummi tadi. Mungkin kucing itu masuk melalui situ. Ummi nak bagi udara masuk," jelas saya.

Cuaca agak panas tiga empat hari kebelakangan ini memang terasa peritnya. Duduk di dalam rumahpun berpeluh-peluh. Ketika menyapu dan mengelap lantai petang semalam, peluh menitik-nitik.

Membaca suratkhabar hari ini mengesahkan lagi apa yang saya rasai. Malaysia panas! Kawasan yang paling panas ialah Chuping, Perlis iaitu setinggi 36 darjah Celsius, manakala tempat saya adalah yang terpanas di Lembah Klang iaitu 34 darjah Celsius.

Berbagai pandangan diberikan untuk menjustifikasikan "kepanasan" ini. Bagi mereka yang pernah melancong atau belajar di Timur Tengah khususnya di Mesir, perkara sebegini tidaklah terlalu luarbiasa. Semasa saya menuntut di sana, pernah suatu ketika suhu pada musim panas mencecah hingga 45 darjah Celsius. Namun di negara yang biasanya "biasa" sepanjang tahun seperti Malaysia, kepanasan sebegini mengundang resah.

Ada pihak yang mengatakan bahawa fenomena begini adalah biasa pada awal-awal tahun begini. Pakar meramalkan ia akan berakhir menjelang Mac. Ada pula yang berpendapat ia adalah kesan daripada pemanasan global akibat lapisan ozon yang semakin menipis.

Islam mengajar kita cara sebaiknya menghadapi situasi sebegini dengan mensyariatkan Solat Sunnat Istisqa' atau solat sunnat meminta hujan. Meneliti kaifiyyat (cara) menunaikan solat ini mendekatkan kita dengan ar-Rahman, menginsafi sejauhmana kita memainkan peranan sebagai khalifah Allah swt di muka bumi dan bagaimana kelalaian mendatangkan bukan sahaja kemudharatan kepada orang yang lalai tetapi tempiasnya turut dirasai oleh mereka di sekelilingnya.

Moga hujan dan panas menjadikan kita hamba Penciptanya yang soleh dan bertambah soleh. Amin ...

No comments: