Tuesday, October 9, 2012

MASUK SYURGA BUKAN SEBAB BAIK


Kita adalah tiket yang kita pilih

“Amal soleh tak semestinya dapat masuk syurga!”

“Biar betul!”

“Betullah.”

“Ye ke?”

Dialog di atas mungkin menggamit perhatian kita. Mahu bersetuju atau sebaliknya?

Memang benar, kita tidak masuk syurga semata-mata kerana amal soleh yang kita lakukan semasa hidup kita di dunia. Amal soleh bukan satu-satunya kriteria yang melayakkan kita masuk syurga. Ada satu lagi faktor yang lebih besar daripada amal soleh iaitu rahmat Allah SWT.

Sungguh, Rasulullah SAW telah bersabda bermaksud, “Seseorang daripada kamu tidak akan masuk syurga kerana amalnya, dia akan memasukinya kerana rahmat Allah.” Para sahabat bertanya, “Dan termasuk tuan juga wahai Rasulullah?” Baginda bersabda, ”Ya, termasuk aku juga kecuali Allah telah menyelimutiku dengan rahmat-Nya.” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Allah SWT bersifat al-Rahman dan al-Rahim. Rahman dan Rahim-Nya Allah SWT meliputi segala pengertian kasihan belas dan kasih sayang, merentasi semua keadaan dan bidang. Senaraikan siapa sahaja yang pada pandangan dan perasaan kita amat menyayangi kita – ibubapa, suami atau isteri, anak-anak, adik beradik, sahabat karib atau siapa sahaja - hakikatnya di sana ada zat yang lebih mengasihi kita iaitu Allah SWT.

Di dunia, rahmat Allah SWT terpancar pada segala apa yang dikurniakan-Nya kepada kita yang tidak tertulis bilangannya walau dengan dakwat sebanyak air di lautan sekalipun, malah pada yang tidak diberikan-Nya atau yang ditangguhkan pemberiannya pun adalah tanda rahmat Allah SWT kepada kita.

Dalam sebuah hadith lain, Rasulullah SAW menegaskan bahawa rahmat Allah SWT ada seratus, hanya satu sahaja yang diturunkan ke bumi dan bakinya disimpan oleh Allah SWT untuk akhirat. Namun hanya kerana kasih sayang yang satu inilah, binatang yang tidak berakal pun mengangkat kakinya kerana takut terpijak anaknya sendiri. Bayangkan bagaimana kalau yang 99 lagi itu?

Antara rahmat Allah SWT ialah Dia memasukkan hamba-hamba-Nya ke dalam syurga. Jadi, betullah kita masuk syurga sebab rahmat Allah SWT, bukan sebab kita baik!

Pastu, mengapa perlu ber”susahpayah” melakukan amal soleh kalau ia bukan syarat masuk syurga?

Persoalan ini mengembalikan kita kepada dasar ‘Aqidah Islam yang amat mudah dan jelas. Penulis simpulkan seperti di bawah:

1. Allah SWT menciptakan kita semata-mata untuk beribadah kepada-Nya. Oleh sebab itu, istilah “ibadah” tidak terbatas kepada ibadat khusus semata-mata. Semua tuturkata dan geraklaku kita dikira sebagai ibadah selagi ia memenuhi tiga syarat yang digariskan oleh ulamak iaitu beragama Islam, menepati syarak dan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

2. Allah SWT Maha Sempurna, Maha Suci Dia daripada segala yang sia-sia. Adalah suatu perkara yang sia-sia jika kelayakan untuk masuk syurga terbuka kepada semua orang tanpa mengira mereka beriman atau tidak, taat atau ‘asi (orang yang melakukan maksiat), ikhlas atau riak. Dengan perkataan lain, perintah supaya melakukan amal soleh sebagai pra-syarat masuk syurga adalah antara tanda kesempurnaan dan keadilan Allah SWT.

3. Kelebihan beramal soleh kembali kepada manusia itu sendiri. Amal soleh mencetuskan ketenangan, melahirkan hubungan yang baik sesama manusia dan menepati peranan sebagai khalifah di muka bumi. Allah SWT tidak berhajat apa-apa daripada kita. Dia tetap Agung dan Mulia meskipun seluruh isi bumi tidak mahu sujud kepada-Nya.

Justeru, marilah sama-sama kita mendambakan rahmat Allah SWT pada setiap ketika. Andai kita dikurniakan kekuatan untuk melakukan sesuatu amal soleh, sentiasalah merasakan bahawa kekuatan itupun adalah rahmat Allah SWT. Tiada alasan untuk kita merasa sombong dan ‘ujub. Dan jangan pula ber”lenggang kangkung” dan “perasan” kita boleh masuk syurga tanpa berbekalkan amal soleh. Orang Arab kata, “Man jadda wajada” (Sesiapa yang bersungguh, dia akan dapat).



No comments: