Tuesday, October 23, 2012

APA ISTIMEWANYA MAKKAH AL-MUKARRAMAH?



Hujjaj muda - Pada mereka, bakal diserahkan obor Islam

Saban tahun, kota ini menjadi tumpuan berbilion Muslim di seluruh dunia. Meskipun hanya segelintir kecil sahaja daripada mereka yang berpeluang mengunjunginya, ini tidak memudarkan kecintaan seluruh ummah kepadanya. “Kalau boleh, sebelum memejamkan mata, saya teringin sekali ke sana.” Itu impian semua orang beriman.

Apa istimewanya Makkah al-Mukarramah?

1. Makkah adalah Tanah Haram

Daripada Ibn ‘Abbas RA berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda pada hari pembukaan Kota Makkah bermaksud, “Sesungguhnya negeri ini (Makkah) telah dijadikan oleh Allah SWT sebagai Tanah Haram pada hari Dia menciptakan langit dan bumi. Maka ia adalah Tanah Haram dengan pengharaman daripada Allah sehingga ke hari kiamat.” (Sahih Muslim)

2. Makkah sebaik-baik negeri dan tempat paling disayangi oleh Allah SWT dan Rasul-Nya

Daripada ‘Abdullah bin ‘Adi bin Hamra’ az-Zuhri berkata: Aku melihat Rasulullah SAW berdiri di Hazwarah (jarak daripada Rukun Yamani 120m, dimasukkan ke dalam binaan Masjidil Haram oleh Khalifah al-Mahdi pada tahun 164H) dan bersabda bermaksud, “Demi Allah, Sesungguhnya engkau (Makkah) adalah sebaik-baik bumi Allah dan bumi yang paling disayangi-Nya. Kalaulah aku tidak dihalau keluar daripadamu, nescaya aku tidak akan keluar.” (Sahih at-Tirmizi)

3. Makkah tidak akan dimasuki Dajjal

Daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Tiada ada suatu negeripun (ketika hampir kiamat) melainkan ia akan dimasuki oleh Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Semua jalan masuk dikawal oleh para malaikat yang berbaris-baris, kemudian Madinah akan menggoncangkan penduduknya sebanyak tiga kali, lalu Allah mengeluarkan setiap orang kafir dan munafik daripadanya.” (Sahih al-Bukhari)

4. Kelebihan tawaf di Kaabah

Daripada Ibn ‘Umar RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud,”Sesiapa yang tawaf di rumah ini (Kaabah) sebanyak tujuh pusingan lengkap, pahalanya adalah seperti memerdekakan seorang hamba.” Dan aku juga mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Tidaklah (orang yang tawaf) meletakkan sebelah kaki dan tidaklah dia mengangkat sebelah yang lain kecuali Allah akan menghapuskan satu kesalahannya serta menulis baginya satu kebajikan.” (Sahih at-Tirmizi)

5. Kelebihan solat di Masjidil Haram

Daripada Abdullah bin az-Zubair berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Satu solat di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih utama daripada seribu solat di masjid-masjid lain kecuali Masjidil Haram. Satu solat di Masjidil Haram lebih utama daripada seratus solat di masjidku ini.” (Musnad Imam Ahmad)

6. Boleh solat bila-bila masa di Makkah

Daripada Jabir bin Mut’im RA bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Wahai Bani ‘Abdu Manaf! Janganlah kamu melarang seseorang daripada tawaf di rumah ini (Kaabah) dan solat pada bila-bila masa yang dia kehendaki daripada malam atau siang.” (Sahih at-Tirmizi)

Beruntunglah sesiapa yang sentiasa menyulam cita-cita untuk ke kota Makkah al-Mukarramah, beruntunglah mereka yang pernah menjejakkan kaki di buminya, dan beruntunglah orang yang mengorbankan sedikit keselesaan dunia semata-mata untuk mengunjunginya dan kembali dengan haji mabrur…

1 comment:

Junaida Watie said...

Teringin menjejakkan kaki ke sana. Moga Allah tunaikan hajatku untuk ke sana amin....