Wednesday, November 14, 2012

JIKA HATI MEMBISIK: BOLEHKAH AKU BERUBAH?



Sewaktu dalam perjalanan jauh menyusur Lebuh Raya Pantai Timur, beberapa kali kami berhenti di kawasan rawat dan rehat untuk menghilangkan lenguh sambil meninjau-ninjau pemandangan. Belantara hutan hujan tropika memberikan fenomena alam yang sangat menakjubkan.

Sering kali saya bercakap kepada anak-anak yang masih kecil untuk melihat pemandangan indah itu sepuas-puas hati kerana pada tahun hadapan, kita tidak akan menyaksikannya lagi. Saya lihat mereka patuh dan menghayati dengan memejam, mengedip-ngedipkan mata seakan-akan menikmati keenakan coklat kegemaran mereka.

Saya bertanya, “Fahamkah apa yang ayah maksudkan?”

Mereka hanya mengangkat bahu dan menjawab ringkas, “Ntah.”

“Begini …” Saya cuba memberi penjelasan.

“Seluruh pohon yang memenuhi ruang mata kita ini terdiri daripada jutaan helaian daun menghijau. Kita tidak sedar apabila sampai tahun hadapan, daun-daun lama akan gugur dan bertukar kepada daun-daun yang baru …” Ujar saya membeban sedikit minda mereka.

“Ertinya … Pada tahun hadapan, kalaupun kita berdiri di sini lagi, apa yang kita tengok semuanya telah bertukar!” Jelas saya panjang lebar. Saya sebenarnya tidak peduli sama ada mereka faham atau tidak.

Pada waktu lain, saya bercakap kepada mereka benda yang sama apabila berdiri di tepi pantai ketika melihat ombak membedal batu pantai. Apabila soalan yang sama ditanyakan, mereka tentu akan memejam-mejam mata tetapi jawapan masih sama, mengangkat bahu sambil tersengeh lebar dan berkata, “Ntah!”

Sahlah mereka tidak faham penjelasan saya!

Memang, bagi seorang kanak-kanak, penjelasan seperti itu berbelit-belit, tapi untuk kita, ia amat mudah difahami. Kita tinggal dalam persekitaran hidup yang sentiasa berubah. Cuma kita tak perasan kerana tertipu dengan warna, bentuk dan penyalinannya yang sama.

Semua perkara patuh pada satu hukum alam: Semua benda hidup mesti berubah! Yang tidak berubah ialah benda mati seperti batu pejal.

Cerita tentang hutan itu ada kaitan dengan diri kita. Sepertimana kita tidak sedar tentang perubahan daun yang silih berganti, begitulah setiap detik berlaku perubahan dalam diri kita. Mari kita menyemak semangat perubahan yang berlaku kepada 30 trilion sel yang membentuk tubuh kita ini.

• Sel selaput perut bertukar setiap 5 hari.

• Sel hati dan limpa bertukar setiap 42 hari.

• Sel kulit setiap 30 hari.

• Sel tulang rangka setiap 90 hari.

Pada penghujung setiap tahun, hampir 98% sel telah berubah dan bertukar kepada yang baru. Di dalam diri manusia telah dilengkapkan dengan sistem pembaharuan, sistem pertahanan dan sistem pemulihan sendiri.

Jadi, secara semulajadi, diri kita sendiri berubah dan perubahan itu terus berlaku sebagai bukti bahawa kita ini hidup. Kalau begitu, persoalan sama ada bolehkah kita berubah sememangnya tidak wajar sama sekali. Soalan untuknya pun tidak patut diajukan!

Jadi, berubahlah kerana kita hidup!


Catatan:

Artikel di atas adalah petikan daripada buku U-TURN KE JALAN LURUS tulisan Zul Ramli M. Razali. Selamat Menyambut Maal Hijrah dan selamat berubah menjadi insan lebih baik - ummuzayd.com





No comments: