Tuesday, February 26, 2013

“OUT-STATION” ADALAH IBADAH


Walau di mana kita berada, Allah SWT sentiasa memerhati...

Sebagai penjawat awam, kebanyakan daripada kita tidak dapat lari daripada bertugas di luar daerah (out-station), malah adalah tidak menghairankan jika ada antara kita yang terpaksa out-station hampir setiap minggu. Tidak salah dan Islam sendiri tidak pernah melarang penganutnya bekerja keras demi memenuhi tuntutan tanggungjawab yang tergalas di bahu. Malah, jika betul caranya, pekerjaan yang asalnya pada pandangan mata kasar berupa duniawi, boleh berubah menjadi pemberat timbangan amal soleh pada hari di mana setiap zarrah lintasan hati dan geraklaku akan ditimbang iaitu di Padang Mahsyar nanti.

Firman Allah SWT bermaksud, “Maka sesiapa yang melakukan sesuatu kebaikan walau sebesar zarrah, dia akan melihatnya, dan sesiapa yang melakukan sesuatu kejahatan pula walau sebesar zarrah juga, maka dia akan melihatnya.” (Surah al Zalzalah, ayat 7 & 8)

Bagaimanakah out-station boleh menjadi ibadah? Formulanya mudah sahaja, iaitu:

Pertama : Ikhlas semata-mata kerana Allah SWT

Out-station adalah sebahagian daripada amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas kita. Tanggungjawab itu pula adalah selaras dengan peranan kita sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini.

Kita bekerja untuk menampung perbelanjaan keluarga. Menyediakan keperluan seperti tempat tinggal, makan pakai, pelajaran dan perubatan adalah hak isteri dan anak-anak. Allah SWT mewajibkan kita menunaikan hak-hak tersebut.

Maka, bagaimanakah out-station boleh menjadi ibadah? Mudah sahaja – Niatkannya kerana Allah SWT, Dia memerintahkan kita melakukannya, lalu kita melakukannya…

Kedua : Menepati syariat

Menepati syariat bermakna cara kita ber’out-station’ itu selari dengan apa yang Allah SWT telah gariskan. Cara kita meninggalkan keluarga, cara kita di dalam kenderaan, cara kita melaksanakan tugas di sana dan cara kita kembali ke rumah hendaklah tidak dicemari oleh unsur-unsur yang boleh mengundang dosa dan kemurkaan Allah SWT. Dan janganlah juga disebabkan out-station itu, kita meninggalkan apa yang diperintahkan-Nya.

Maka, bagaimanakah out-station boleh menjadi ibadah? Mudah sahaja – Tunaikan perintah Allah SWT, jaga batasan-batasan-Nya dan jauhi segala larangan-Nya.

Mengapakah penulis tegar mengatakan semuanya mudah? Agar kita yakin kita boleh melakukannya. Kita berupaya menjadikan out-station yang rutin itu berubah bentuk kepada amal soleh dan sedekah jariah. Melakukan sesuatu kebaikan, kebaikannya akan kembali kepada kita, di dunia dan di akhirat.

Bukankah kerana itu juga kita lahir di dunia ini? “Dan tidaklah Aku (Allah SWT) menciptakan jin dan manusia itu kecuali untuk beribadat kepada-Ku.” (Maksud Surah az-Zariyat, ayat 56)

Wallahu a’lam.

No comments: