Tuesday, February 26, 2013

MENGAUDIT DIRI

Ada apa di hatiku?

Ketahuilah, jika Allah SWT menghendaki kebaikan kepada hamba-Nya, Dia akan menjadikannya dapat melihat keburukan dirinya sendiri. Sesiapa yang celik mata hatinya, pasti akan dapat melihatnya. Apabila keaiban diri sudah diketahui, dia akan cuba merawatnya. Tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui tentang kelemahan mereka sendiri. Mereka mampu melihat debu halus pada mata saudara mereka, namun tidak dapat melihat batang pokok yang berada pada mata mereka sendiri.

Orang yang ingin menilai kekurangan dirinya mempunyai empat cara untuk melakukannya:

1. Bersemuka dengan guru yang tahu selok-belok penyakit hati

Guru tersebut akan menjelaskan kelemahan-kelemahan dirinya serta cara untuk mengatasinya. Pada zaman sekarang, orang sebegini sukar ditemui. Sesiapa yang dapat menemuinya, dia sebenarnya berhadapan dengan seorang doktor yang mahir. Oleh itu, janganlah dia cuba mengenepikan atau meninggalkannya.

2. Mencari kawan yang benar, boleh dipercayai, peka dan beragama

Dia melantik kawannya itu sebagai pemerhati kepada dirinya supaya kawannya itu dapat menyedarkannya tentang tingkah laku dan tindakannya yang tercela.

Amirul Mukminin, ‘Umar bin al-Khatttab RA berkata, “Mudah-mudahan Allah SWT merahmati orang yang dapat menunjukkan kelemahan-kelemahan diri kami.”

Saidina ‘Umar RA pernah bertanya kepada Salman RA tentang kelemahan dirinya, lalu Salman berkata, “Aku ada mendengar kamu makan dua jenis lauk dalam satu hidangan dan kamu mempunyai dua helai pakaian; satu untuk waktu malam dan satu lagi untuk waktu siang.” ‘Umar bertanya, “Ada perkara lain lagi?” Salman menjawab, “Tidak.” ‘Umar berkata, “Dua perkara inipun sudah cukup mengaibkan dan menunjukkan kelemahan diriku.”

Saidina ‘Umar RA juga pernah bertanya kepada Huzaifah RA, “Adakah aku termasuk di kalangan orang munafik?”

Sikap sebegini timbul kerana semakin tinggi martabat kesedaran seseorang, maka semakin bertambahlah tahap ketelitian dan sensitivitinya terhadap dirinya sendiri. Pada zaman sekarang, amat sukar untuk mendapat kawan yang mempunyai criteria seperti ini. Terlalu sedikit sahabat yang bersikap tidak mengampu, lalu sanggup mendedahkan kelemahan sahabatnya atau yang tidak bersifat dengki, lalu dia menasihatinya sekadar yang sepatutnya.

Para ulamak salaf amat suka jika ada orang menegur kesalahan mereka, tetapi kebiasaan yang berlaku sekarang adalah sebaliknya, di mana orang seperti itulah yang paling kita benci. Ini adalah tanda lemahnya iman. Akhlak yang buruk seumpama kala jengking. Jika ada seseorang memberitahu bahawa ada seekor kala jengking dalam baju salah seorang antara kita, pasti kita akan berterima kasih kepadanya dan berusaha bersama-sama untuk membunuh kala jengking tersebut. Sebagaimana diketahui umum bahawa akhlak yang buruk adalah lebih besar bahaya dan mudaratnya daripada kala jengking.

3. Mengenali kelemahan diri melalui cakap-cakap para seterunya

Ini kerana mata yang memandang dengan penuh kebencian akan membongkar semua keburukan. Musuh yang banyak menyebut segala kelemahan diri kamu adalah lebih berfaedah dari kawan yang sentiasa mengampu dan menyembunyikan kelemahanmu.

4. Bergaul dengan orangramai

Dengan syarat dia menjauhkan diri (tidak bersekongkol) setiap kali melihat berlaku perkara yang tidak baik atau tercela antara sesama mereka.


Catatan: Artikel di atas adalah sedutan daripada buku “Ringkasan Kitab Jalan Mereka Yang Menuju Allah” oleh Imam Ahmad bin Qudamah al-Maqdisi.

No comments: