Monday, June 14, 2010

Cuti-cuti ke Pulau Mutiara : Hari Pertama

10 Jun 2010 (Khamis)

8.30 PagiDah siap, masa untuk bergerak. Alhamdulillah, kami berjaya bertolak sepertimana yang dirancang iaitu sebelum pukul 9.00 pagi. Lima jam perjalanan ke Pulau Pinang. Bermakna kami akan sampai di sana sekitar 2.00 petang, sedang elok untuk check-in.

Sebelum apa-apa, kami singgah dulu di gerai menjual kuih di tepi jalan. Sedikit karipap, pulut panggang dan apam warna warni untuk alas perut.

11.30 Pagi


Kami berhenti rehat di Hentian Bukit Gantang. Bukit Gantang terletak di daerah Taiping, Perak Darul Redzuan. Mendapat nama sempena penemuan gantang iaitu sejenis alat untuk mengukur beras atau padi di situ.

Bukit Gantang merupakan sebuah kawasan pertanian khususnya padi, getah, kelapa sawit dan buah-buahan. Ia mendapat julukan 'Tropical Fruit Village'. Tidak hairanlah, bila dibuka saja pintu kereta, tercium harum semerbak bau buah durian. Selain Raja Buah, bermacam-macam buah terdapat di situ – jambu biasa, jambu madu, ciku, betik, nenas dan lain-lain. (Banyak lagi sebenarnya, tetapi saya tak tahu namanya dan tak pernah makan)

12.45 Tengahari

Kami sudah berada di atas Jambatan Pulau Pinang. Wah ..... cantiknya ..... Bagi anda yang ingin mengetahui serba sedikit tentang jambatan ini : Jambatan Pulau Pinang merupakan jambatan yang terpanjang di Asia Tenggara dan ketiga terpanjang di dunia. (Hebat kan, negaraku boleh!) Panjangnya 13.5 km, 8.4 km daripadanya merentasi laut. (Sebab tu pemandangannya tersangatlah cantik, laut lepas saujana mata memandang). Jambatan ini menghubungkan tanah besar Semenanjung di Seberang Perai dan Lebuhraya Jelutong di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Satu lagi keajaiban jambatan ini ialah tempoh pembinaan yang singkat iaitu tiga tahun sahaja. Kerja pembinaan (oleh syarikat dari Korea) bermula pada tahun 1982 dan siap pada tahun 1985. Kosnya RM 850 juta (banyak tu .....)

2.00 Petang

Kami sampai di Hotel Hydro yang terletak di Batu Feringgi. Sepatutnya kami boleh sampai lebih awal, tetapi disebabkan tersesat, kami sampai sedikit lambat. Bayangkan dua kali pusing, tak jumpa-jumpa jugak jalan ke Batu Feringgi. Alhamdulillah, akhirnya, semasa berhenti di satu traffic light, kami berjumpa dengan dua orang uncle berbangsa Cina yang menaiki sebuah trak satu tan. Uncle itu meminta kami mengekorinya di belakang hinggalah sampai ke simpang Batu Feringgi. Thank you very much uncle! Kalaulah semua warga Malaysia sebaik uncle ini, alangkah bahagianya hidup di negara ini .....

3.00 Petang
Sejam kemudian? Yep! Kami terpaksa menunggu lebih setengah jam sebelum dapat bilik. Bayangkan dalam keadaan penat yang teramat, kami dipaksa menunggu begitu lama. Alasannya bilik belum siap sedangkan kami sudah tempah lebih seminggu. Sabar jelah .....



8.30 Malam


Kami meronda-ronda di Batu Feringgi. Batu Feringgi terletak di sepanjang jalan pesisiran barat laut bandar Georgetown dan merupakan antara tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Suasana malam di sini memang cantik dan meriah. Hotel dan restoran mewah sama naik dengan gerai-gerai yang menjual pelbagai kraftangan dan pakaian. Menurut sumber, terdapat lebih 1,000 gerai di sini. (Bagi yang kaki shopping, jumlah sebanyak ini tidak menjadi masalah kerana suasana di sini begitu mengasyikkan hingga tak terasa penat) Tempat ini turut dilanda ombak besar semasa tragedi Tsunami pada 26 Disember 2004.

Kami tak beli apa-apapun, sekadar cuci mata .....

10.30 Malam

Kami balik ke hotel. Kami tak naik terus ke bilik sebab ingin bersantai di lobi hotel yang sangat luas dan terhias cantik (Ada persembahan nyanyian live, tapi tak sanggup nak menonton lama). Setelah bergambar, saya membawa anak-anak ke Bubble Room di aras bawah. Bubble Room adalah bilik untuk istirehat. Di situ ada sedikit permainan terutama untuk kanak-kanak. Ada juga rak buku tetapi kebanyakan novelnya dalam Bahasa Perancis. (Dalam Bahasa Inggeris pun terkulat-kulat nak baca, apatah lagi dalam Bahasa Perancis, mau terseliuh lidah dibuatnya......)

No comments: