Friday, March 11, 2011

Daerah Ini di Hatiku (Bahagian 1)

“Nak ke mana Cuti Tahun Baru Cina ni? Campur Sabtu dan Ahad, empat hari, lama jugak tu.” Kawan-kawan di pejabat ramai yang hendak balik kampung. Setelah berbincang dengan Abi, akhirnya kami mengambil keputusan untuk membawa anak-anak ke sana – Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang, Selangor. 

Kolej ini ditubuhkan pada tahun 1955 dikenali pada masa itu sebagai Kolej Islam Malaya. Didirikan di atas sebidang tanah seluas kira-kira 14.3 ekar, kolej ini terletak di Jalan Kota Raja, iaitu kira-kira satu setengah kilometer dari bandar Kelang. Kolej ini pada asalnya ialah sebuah istana yang kemudiannya diwakafkan oleh Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah untuk tujuan pendidikan agama.

Saya belajar di KISAS selama empat tahun iaitu daripada Tingkatan Empat hingga Tingkatan Enam Atas. Banyak kenangan zaman remaja saya di situ. Saya lebih suka mengingatinya sebagai KIK (Kolej Islam Kelang), namanya pada zaman itu. Nama itu terpahat kukuh dalam sanubari saya, dan Insya Allah, akan saya kenang hingga ke hujung nyawa.

3.2.2011

Kami bertolak agak lewat daripada yang dirancang. Disebabkan kelewatan itu, rancangan asal kami terpaksa diubahsuai. Pada mulanya, kami berangan-angan untuk “round” satu Bandar Klang terutama di tepi sungainya, tetapi kini terpaksa fokus pada satu tempat sahaja – KIK. Pada kira-kira pukul 11.30 pagi, kami selamat sampai di Bandar Diraja Klang.



Pada zaman saya dulu, Klang dieja Kelang. Saya tidak pasti mengapa dan bila ia ditukar kepada ejaan sekarang. Walau apapun, Klang kekal menjadi Bandar Diraja. Terletak kira-kira 32 km di barat Kuala Lumpur, Klang cukup terkenal dengan pelabuhannya yang merupakan antara pelabuhan tersibuk di dunia.

Tun Perak, the Malacca Sultanate's greatest Bendahara, berasal dari Klang dan pernah menjadi ketua di sini. Selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511, Klang terus berada di tangan orang Melayu di bawah pemerintahan Sultan Johor-Riau hingga terbentuknya Kesultanan Selangor pada kurun ke 18.

Masuk saja bandar Klang, saya tercari-cari bangunan-bangunan yang pernah saya kenali dulu, tetapi ternyata ia cukup sukar. Selepas lebih 25 tahun, adakah lagi sisa-sisa kenangan itu... Saya tiba-tiba terasa begitu asing di sini ... Saya hanya yakin sudah hampir sampai apabila ternampak masjid ini di sebelah kanan saya - Masjid Sultan Sulaiman.


Masjid ini dibina pada tahun 1932 sempena pengisytiharan Klang sebagai pusat pentadbiran negeri Selangor. Ia merupakan pemberian kerajaan British kepada Sultan yang memerintah pada masa itu iaitu Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor yang kelima. Perasmian masjid ini disempurnakan oleh baginda sultan pada tahun 1934 dan dikenali dengan nama Masjid Suleiman Jamiur Rahmah. Masjid ini menjadi masjid negeri Selangor sehinggalah terbinanya Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam. Sekarang ia dimasyhurkan sebagai Masjid Diraja Klang.

Masjid Sultan Suleiman mempunyai pengaruh campuran senibina Islam Moorish dan Inggeris. Nama arkitek yang merekabentuk masjid ini ialah L.Keste Vend. Boleh menampung lebihkurang 1000 jemaah dalam satu masa

Berbanding dengan pelajar lelaki, pelajar perempuan agak jarang pergi ke masjid ini kerana kami mempunyai musolla sendiri di asrama Puteri. Seingat saya, saya solat hariraya ’Idul Fitri dan ’Idul Adha di sini jika tidak mengikut kawan balik kampung. Dulu pelajar Malaysia Timur seperti saya selalunya hanya balik kampung pada cuti hujung tahun.


Ini Asrama Putera KIK, terletak di luar kawasan sekolah dan sangat dekat dengan Masjid Sultan Sulaiman.


Saya nampak papantanda ini sebaik sahaja melangkah masuk ke perkarangan KIK, menandakan saya kini berada di bumi Wakafan. Hati mula sebak, airmata bergenang, manifestasi rindu saya yang teramat pada daerah ini. Kali terakhir saya mengunjunginya ialah pada akhir 90-an...


Ini adalah blok pentadbiran. Alhamdulillah ia masih seperti dulu, meskipun di kiri kanannya sudah dibina bangunan baru. Semasa menjadi pelajar di sini, saya jarang masuk ke bangunan ini. Mungkin segan, barangkali juga sebab saya pelajar yang baik (he3x, kira masuk lif tekan sendirilah ni...), pelajar baik tidak pernah dipanggil kerana tiada masalah disiplin. Mula-mula saya menjejakkan kaki di sini, bersama-sama dengan lima orang sahabat satu sekolah sebelumnya – Zaidi, Ismail (Abilah tu...), Rahim, Khadijah, Rosnah – kami dibawa berjumpa dengan Pengetua Kolej, Ustaz Zainal (kini Dato’). Kami merupakan batch kedua pelajar Sarawak di sini. Peristiwa itu berlaku pada tahun 1981.

Kelas Semasa Tingkatan Empat dan Enam Atas






Kelas Tingkatan Empat saya di sini. Beranda itu tempat kami lalu lalang dan tangga itu tempat kami turun naik. Court itu terletak di tengah-tengah dua blok kelas. Antara yang saya ingat mengenai court ini ialah ia menjadi tempat public caning dilakukan kepada pelajar putera yang melanggar disiplin sekolah, satu adegan yang jarang sangat berlaku di sekolah tercinta ini, dan yang paling kami tidak suka. Kini terdapat jejantas yang menghubungkan kedua-dua blok ini. Kelas Tingkatan Enam Atas saya di blok sebelah sana.

Kelas Semasa di Tingkatan Lima


Kelas Tingkatan Lima saya di blok ini dan inilah tempat saya dan semua pelajar puteri prep sepanjang pengajian saya di KIK. Menjenguk keluar dari tingkap belakang boleh nampak Asrama Puteri, padang di hadapannya dan sebahagian rumah warden asrama. Prep siang selepas makan tengahari dan Solat Zohor. Sebahagian kecil pelajar (termasuk sayalah...) menjadikan masa prep ini untuk Qailulah (perkataan yang tersasar sedikit daripada pengertian sepatutnya). Prep malam pula selepas Solat ’Isyak hingga 10.30 malam. Pendek kata, masa ulangkaji kami banyak dihabiskan di sini. Hujung minggu kami juga di sini. Hidup kami pada ketika itu ialah study, study dan study...

Kelas di Tingkatan Enam Rendah

Saya cuba menjejaki lokasi Kelas Tingkatan Enam Rendah saya dulu tetapi gagal. Tiada langsung kesan peninggalan sejarah itu kerana di situ sudah dibina blok kelas yang baru. Oleh sebab itu, tiada gambar yang dapat diambil. (Terkilan betul...) Antara banyak-banyak kelas, saya paling suka kelas yang itu sebab ia paling nostalgik, sangat redup dan tenang. Mengikut cerita kakak-kakak, di situ dulu terletaknya kandang kuda milik Sultan Selangor. Ada ruang di tengah-tengah deretan kelasnya, tempat kami ambil angin kalau terasa boring. Kelas itu satu-satu kelas yang pelajarnya semua perempuan ketika itu. Jadi, kami sedikit nakal...

Bersambung...










No comments: