Thursday, March 31, 2011

Daerah Ini di Hatiku (Bahagian 3)

Ini bahagian terakhir mengenai kunjungan semula saya ke Kolej Islam Kelang (KIK) pada hari itu. (Harap-harap ia tidak menjadi ziarah terakhir saya).Saya nak bercerita mengenai lokasi-lokasi selain kelas dan asrama yang sudah saya nukilkan sebelum ini.


Jom…


Ini kantin. Apa yang saya ingat tentang kantin ni yek… Mungkin sebab saya jarang berbelanja di sini, tidak banyak yang saya ingat. (Nak beli apa lagi sebab apa yang dihidangkan di Dewan Makan pun sudah cukup mewah). Kalau ada tetamu, di sinilah tempat kami berbual sambil minum-minum. Kantin ini juga bertanggungjawab menyediakan minum malam kami. Yang paling saya suka cokodoknya, sedap dan sebesar buku lima! Makan sebiji sudah kenyang sampai pagi esok...



Ini Dewan Kuliah. Kebetulan hari itu dewan ini berkunci. Jadi, tidak ada gambar suasana di dalamnya. Di bawah dewan ini, pernah berlaku satu insiden yang menyebabkan saya kena marah oleh kakak-kakak. Ketika itu, saya di Tingkatan Lima. Silapfaham sebenarnya. Peristiwa apa, biarlah rahsia (cei...). Moral of the story saya ingat sampai sekarang – Jaga maruah. Tersilap langkah boleh mengundang fitnah kalaupun kita berniat baik (baik pada tanggapan budak-budaklah).


Ini Dewan Tertutup kami, venue untuk aktiviti sukan. Di situ ada gelanggang badminton. Latihan silat juga dibuat di sana. Saya kategori kaki bangku. So, tidak ada sukan yang saya expert. Jangan cakap saya tidak menyesal sekarang, menyesal tau. Tetapi entahlah, di otak pada masa itu, tidak ada ruang untuk sukan, yang ada, study, study dan study...




Ha... Ini Dewan Besar yang menjadi kebanggaan kami. Sekarang dinamakan Qa’ah al-Muttaqin al-Muthaqqafin. Dalam bahasa Melayunya, Dewan Orang Yang Bertaqwa dan Berpengetahuan. (Amin ya Rabb...) Perhimpunan mingguan diadakan di sini. Begitu juga dengan program-program besar yang lain. Antaranya ceramah agama. Pada zaman tu, penceramah yang paling top dan sering dijemput oleh Badan Dakwah dan Rohani (BADAR) ialah Pak Yazid. Ceramah beliau cukup menarik hingga jarang kami terlelap walaupun untuk sessi Kuliah Subuh.


Ini rumah Pengetua. Sepanjang empat tahun berkelana di bumi Wakafan, saya sempat bernaung di bawah pemerintahan dua orang Pengetua. Pertama, Ustaz Zainal dan kedua, Ustaz Alwi. Moga Allah SWT merahmati mereka...


Ini rumah Tuan Pengetua yang lama sebelum ada rumah Pengetua yang baru. Bila Pengetua berpindah, rumah ini menjadi rumah Penolong Kanan. Sebuah banglo yang sangat cantik dan antik sebenarnya. Harap-harap bangunan ini sentiasa dipulihara dan tidak dimamah zaman.


Last but not least, ini Padang Hoki kami yang terletak di hadapan rumah Penolong Kanan, di sebelah kanan sebaik sahaja kita melangkah masuk ke kawasan kolej. Keadaannya tidak berubah, masih seperti dulu. Rumputnya dirapi kemas dan dihiasi pokok di tepinya.

1.30 Tengahari

Jaulah saya di Kolej Islam Kelang sampai ke penghujungnya. Selamat tinggal KIK, jumpa lagi... Walaupun anda tidak lagi seantik, semesra alam dan sesantai zaman saya dulu, anda tetap istimewa di hati-hati kami, anak-anak didikmu. Ya Rahman, andai ada kebaikan yang kami lakukan sekarang hasil didikan guru-guru kami di sini, kurniakanlah juga pahala itu kepada mereka...

Sebelum bertolak pulang, saya singgah di gerai berdekatan untuk segelas air limau ais, Alhamdulillah...

No comments: