Friday, March 25, 2011

Daerah Ini di Hatiku (Bahagian 2)

Jom ke Asrama Puteri…

Papantanda Asrama Puteri

Hari itu cuti. Rasa-rasanya semua pelajar balik kampung. Namun, mungkin masih terkesan dengan disiplin masa sekolah dulu, kami berpecah menjadi dua kumpulan, hanya girls (saya dan Ithar) sahaja yang boleh masuk dalam kawasan asrama ini. Boys (Abi dan Faiz) kena “gi main jauh-jauh…”

Mahligai dan perkarangannya ini menyimpan seribu satu kenangan anak-anak remaja pencari ilmu bekalan masa depan…


Sebaik sahaja masuk ke dalam kawasan Asrama Puteri, kita akan berjumpa dengan dewan makan ini. 90% keadaan dewan ini sudah berubah daripada keadaannya dulu. Kini ia tampak lebih eksklusif, tetapi saya tetap suka yang dulu, simple dan open. Kami makan berhidang, makanannya sedap-sedap dan mewah. Seketul ayam gorengnya sebesar ayam KFC, selalu ada tempeh (sebab berjiran dengan Kampung Jawa, he3x).

Selain daripada menjadi tempat makan, dewan ini juga merupakan venue prep pelajar Tingkatan Empat dan Enam Rendah. Pada bulan puasa, sebahagian daripada kami study di sini hingga sahur sambil menunggu-nunggu keajaiban malam Lailatul Qadar. Kedinginan diniharinya cukup mendamaikan.


Ini adalah blok E, satu-satunya blok asrama puteri pada zaman itu, lebih dikenali sebagai Asrama E. Sekarang sudah ada satu blok di hadapannya. (Nanti saya tunjukkan gambarnya). Asrama ini tiga tingkat. Alhamdulillah, dari Tingkatan Empat hingga Tingkatan Enam Atas, saya ditempatkan di Tingkat Satu. Jadi, tidak perlulah memanjat terlalu tinggi.

Semasa masih freshie di Tingkatan Empat, saya cakap ”KL”pun tak berapa reti. Saya masih ingat kawan sebilik saya, Suria pernah berkata kepada saya, ”Saya sukalah dengar kamu cakap.” ”Kenapa?” tanya saya. ”Kamu cakap macam dalam buku!” Pulak...


Ini adalah bilik sakit asrama. Namapun bilik sakit, mana-mana pelajar yang sakit hendaklah berada di bilik ini dan tidak dibenarkan berada di dalam bilik ”sihat” semasa kelas berjalan. Puan Matron akan datang menjenguk untuk memastikan pelajar berkenaan makan ubat. Servis penghantaran makanan juga disediakan (special tu…, bawah sikit daripada hotel, dobi tak ada ye)

Bersebelahan dengan bilik sakit ini ada sebuah lagi bilik. Kalau tak silap ingatan saya, bilik itu dinamakan E3. Mana-mana pelajar yang menghadapi masalah kesihatan seperti asma dan seumpamanya akan ditempatkan di bilik ini, satu petanda bahawa KIK sudah lama mengamalkan budaya mesra rakyat...


Inilah musolla kami dulu, sekarang sudah dijadikan bilik. Bangunan surau yang baru dibina di tepi blok E (Selepas ini, saya tunjukkan). Di sinilah saya mula mengenali Islam dengan lebih mendalam, seakan baru tersedar perlunya menjadi Muslimah yang sebenar. Semasa di Tingkatan Empat, pada setiap hari, selesai sahaja Solat ’Asar berjemaah, kami diberi tazkirah oleh kakak-kakak. Pada hujung minggu diadakan Qiamullail atau Solat Dhuha dan Tasbih. Pendek kata, di sinilah bermulanya bibit-bibit keinsafan  yang saya selalu syukuri apabila usia semakin merangkak senja. Oleh sebab itu, daerah ini memang istimewa di hati saya.


Ini ampaian baju di belakang asrama. Dulu ia tidak berbumbung. Kalau hujan semasa kelas, nasiblah... Pada hujung minggu, ampaian selalu tak cukup. Sesiapa yang lambat basuh baju, kena jemur kat pokok...


Ini pulak bilik air berkolah kami. Alhamdulillah, saya jarang terlibat berbaris panjang untuk masuk ke bilik air atau menunggu giliran mendapat paip di kolahnya. Rahsianya, pagi kena bangun awal sebelum ramai bangun dan petangnya mandi selepas sahaja Solat ‘Asar. Kenangan yang tidak dapat saya lupakan apabila air tak ada. Kami terpaksa berjimat menggunakan air. Ketika itu, satu gayung cukup untuk berwudhu’. (Sekarang …) Ada yang terpaksa membuka penutup kolah untuk mendapatkan air yang berada di bawah paras paip. Nasib baik tidak ada insiden, terberenang dalam kolah...


Ini rumah warden yang terletak di tepi asrama, nampak sudah sedikit usang. Alamak! Tak dapatlah pulak nak recall wajah guru-guru yang pernah tinggal di sini. Selain daripada rumah ini, terdapat sebuah lagi bangunan rumah guru iaitu di hadapan Asrama E (Saya tidak pasti wujud lagi atau tidak). Di situlah guru-guru yang amat saya kagumi tinggal – Ustaz Idris, Ustazah Tengku (Allahummarhamha), Ustazah Jamilah…


Ini pintu pagar belakang berdekatan Asrama E, dibuka setiap dua minggu sekali untuk memberi laluan kepada pelajar puteri pergi ke pekan Klang (target kami Emporium Makan yang menjual mi Hailam yang sangat sedap) atau jalan-jalan. Sekiranya tidak ada sempena apa-apa, pintu ini tertutup rapat. Rasa selamat sentiasa…


Ha… Inilah blok baru yang saya maksudkan tadi, merah jambu lagi... Di antara blok ini dengan blok E sudah dibuat court. Dulu ia adalah padang rumput, tempat kami melakukan aktiviti pada waktu petang. Ada yang bermain bola jaring, ada yang bersilat. Pada hujung minggu, Ketua Pelajar (pengawas) berdiri di padang ini untuk membuat annoucement, ”Polan binti Polan, bilik E sekian-sekian... ada tamu menunggu di kantin...” Saya ada pengalaman menjerit seperti itu. Kalau disuruh berbuat demikian sekarang, saya tidak pasti mampu ke tidak...


Ini pula Surau Puteri yang baru, menggantikan musolla di aras bawah Blok E. Lebih luas dan selesa. Mudah-mudahan adik-adik yang ada menggunakannya sebaik kami dulu, malah lebih baik seiring perubahan zaman yang semakin mencabar...







No comments: