Friday, August 26, 2011

SOLAT SUNNAT HARIRAYA

“Kadang-kadang saya terfikir, nasib Krismas dan Hari Raya tidak banyak berbeza. Kedua-duanya ditunggu oleh penganut agama masing-masing, tetapi bukan untuk membesarkan Tuhan. Krismas dan Hari Raya hanyalah sebuah pesta tahunan. Krismas dan Hari Raya adalah hari syahdu bukan pada muhasabah diri yang berdosa atau perpisahan dengan Ramadan yang meragut hari-hari keampunan. Krismas dan Hari Raya hanyalah hari rindu warga kota menebus dosa meninggalkan kekeluargaan dan persaudaraan selama ini.
Tangisan bukan tangisan iman. Senyum ketawa tiada kena mengena dengan Tuhan. Sama ada Kristian dengan Krismasnya, atau Muslim dengan Hari Rayanya, agama sudah diadatkan.”
Petikan di atas saya ambil daripada blog saifulislam.com. Saya membacanya berulang-ulang setiap kali Ramadhan beransur pergi dan kemeriahan 1 Syawal semakin terasa. Sedikit sebanyak ia menerbitkan semangat untuk menginsafi bahawa ‘Idulfitri adalah ibadat dan bukan adat. Untuk ke arah itu juga, saya menyelak semula buku-buku Fiqh, dengan harapan ia dapat refresh kefahaman diri mengenainya. Saya membuat catatan dan memuatkannya dalam post ini. Ala-ala menyahut seruan: “Sharing is caring”.
Pengertian ‘Id (Hariraya)
Orang Arab menyebut hariraya sebagai ‘id. ‘Id berasal daripada perkataan ‘aud yang bermakna kembali. Ia dinamakan demikian sama ada disebabkan ia berulang-ulang kembali pada setiap tahun, kembalinya kegembiraan atau kerana banyaknya nikmat Allah SWT kepada hamba-hambanya pada hari tersebut.
Sejarah Pensyariatan Solat Hariraya
Solat Sunnat Hariraya (‘Idulfitri dan ‘Iduladha) disyariatkan pada tahun kedua Hijriah iaitu pada tahun yang sama zakat fitrah mula diwajibkan. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri, katanya:
“Rasulullah SAW keluar pada hariraya puasa dan hariraya Haji menuju ke tempat sembahyang. Perkara pertama yang dilakukan ialah solat. Kemudian baginda berpaling mengadap orangramai yang sedang duduk dalam saf-saf mereka. Lalu baginda memberi nasihat dan mengeluarkan perintah kepada mereka. Sekiranya baginda ingin memilih satu kumpulan daripada mereka untuk dicetuskan bagi tujuan berjihad, baginda akan melakukannya. Atau jika baginda ingin memerintahkan supaya melakukan sesuatu, baginda akan memerintahkan, kemudian baginda SAW pun beredar.”
Hukum Solat Hariraya

Hukum Solat Hariraya ialah Sunnat Muakkad iaitu sunnat yang sangat-sangat digalakkan kita melakukannya. Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan Solat Hariraya sejak ia disyariatkan sehinggalah baginda wafat. Para sahabat juga melakukannya secara berterusan.

Ia sunnat dilakukan secara berjamaah. Walau bagaimanapun, jika dilakukan secara sendirian, solat tetap sah.

Solat Hariraya dituntut ke atas setiap mukallaf sama ada lelaki atau perempuan, orang bermukim atau musafir, orang merdeka atau hamba, kecuali bagi perempuan yang berhias atau yang boleh menimbulkan fitnah. Mereka disunnatkan mendirikan Solat Hariraya di rumah.

Tidak disunnatkan azan dan iqamah pada Solat Hariraya, memadai dengan seruan “as-Solatul Jami’ah”.

Waktu Solat Hariraya

Waktu untuk Solat Hariraya bermula dengan terbit matahari hingga gelincirnya (masuk waktu Zohor). Waktu yang paling afdhal (utama) ialah ketika matahari sudah naik sekadar panjang lembing (tinggi segalah).

Disunnatkan melewatkan sedikit Solat Sunnat ‘Idulfitri untuk memberi ruang kepada mereka yang belum mengeluarkan Zakat Fitrah. Bagi Solat Sunnat ‘Iduladha pula, sunnat disegerakan supaya acara berkorban boleh dilakukan lebih awal.

Cara Solat Hariraya

Solat Hariraya terdiri daripada dua rakaat. Pada rakaat pertama, selepas Takbiratul Ihram dan Doa Iftitah, hendaklah Takbir sebanyak tujuh kali. Ketujuh-tujuh Takbir itu dipisahkan antara satu sama lain sekadar satu ayat yang sederhana – disunnatkan membaca Tasbih : “SubhanalLah, WalhamdulilLah, wa La ilaha ilLah, WalLahu Akbar”. Setelah itu, membaca Isti’azah, al-Fatihah dan satu Surah atau beberapa ayat.

Dalam rakaat kedua pula, selepas bangun daripada sujud kedua, hendaklah Takbir sebanyak lima kali, tidak termasuk takbir semasa bangun tadi. Kemudian Isti’azah dan seterusnya hingga salam.

Disunnatkan membaca Surah al-A’la pada rakaat pertama dan Surah al-Ghashiyyah pada rakaat kedua berdasarkan sunnah Rasulullah SAW.

Semua Takbir tambahan di atas adalah sunnat. Ini bernakna jika terlupa melafazkannya, tidak perlu diulang dan solat tetap sah.

Tempat Solat Hariraya

Solat Hariraya boleh didirikan di masjid atau di padang yang luas. Tempat yang paling afdhal ialah yang boleh menampung lebih ramai jamaah.

Walau bagaimanapun, jika masjid dan padang boleh menampung jumlah jamaah yang sama, solat di masjid adalah lebih utama sesuai dengan kedudukannya yang mulia dan keadaannya yang lebih tenang dan selesa.

Takbir Hariraya

Pada ‘Idulfitri, sunnat bertakbir sejak tenggelam matahari pada hari terakhir Ramadhan hingga imam Takbiratul Ihram untuk Solat Hariraya. Pada ‘Iduladha pula, masa bertakbir dipanjangkan hingga tenggelam matahari pada hari ketiga Tasyriq iaitu 13 Zulhijjah.

Hukum sunnat bertakbir meliputi lelaki dan perempuan, orang bermukim dan musafir. Cuma lelaki disunnatkan meninggikan suara dan perempuan tidak disunnatkan berbuat demikian.

Adab-adab Pada Hariraya

1. Mandi, berwangi-wangian dan memakai pakaian baru / terbaik yang dimiliki.
2. Datang awal ke masjid.
3. Makan sedikit sebelum keluar untuk solat pada pagi ‘Idulfitri. Pada ‘Iduladha pula, sunnat makan selepas solat.
4. Pergi ke tempat solat melalui suatu jalan dan kembali ke rumah melalui jalan yang lain.

WalLahu a’lam.

S E L A M A T  H A R I R A Y A,  
M A A F  Z A H I R  D A N  B A T I N

No comments: