Friday, May 11, 2012

MEMBACA BUKAN HOBI


“Saya membaca untuk lulus peperiksaan. Apa lagi kerja saya kalau tidak membaca?”
“Saya membaca untuk mengetahui perkembangan semasa. Kerananya saya ada banyak point untuk bercakap.”
“Saya membaca sebab minat. Saya rasa kosong sekiranya dalam satu hari tidak membaca.”

Itulah antara jawapan yang kita mungkin akan dengar apabila kita bertanya kepada seseorang mengapa dia membaca. Jawapan pertama biasanya datang daripada seorang pelajar. Membaca adalah wajib baginya untuk lulus dalam pengajian. Dan kerana fitrah remaja yang cenderung untuk explore, aktiviti membaca dipanjangkan kepada bahan-bahan bacaan “tidak wajib” berdasarkan minat masing-masing. Oleh sebab itu, tidak hairanlah mengapa pengunjung daripada golongan inilah yang mendominasi kemeriahan Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada saban tahun. Adakah anak-anak muda ini masih gemar membaca apabila mereka sudah bekerja nanti?

Jawapan kedua pula biasanya keluar daripada mulut seorang yang peka terhadap perkembangan semasa, meskipun isu tersebut selalunya tiada kaitan dengan kehidupan peribadinya. Kelebihan ini menyebabkan dia tidak kekok bersembang dengan pelbagai lapisan masyarakat. Kelebihan ini juga merupakan bonus berlipatganda jika dia seorang public speaker. Adakah membaca jambatan meraih perhatian?

Jawapan ketiga lazim diutarakan oleh seorang yang benar-benar ikhlas membaca. Dia membaca kerana minat yang mendalam, bukan dek asakan luaran. Dia tidak membaca untuk lulus apa-apa peperiksaan. Dia akan terus membaca hingga ke akhir hayat. Dia akan membaca meskipun banyak daripada yang dibacanya terbenam sahaja dalam fikirannya tanpa diluahkan kepada orang lain. Untuk itukah kita sepatutnya membaca?

Firman Allah SWT bermaksud, “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan (seluruh makhluk).” (Surah al-‘Alaq, ayat 1) Inilah ayat pertama yang diturunkan kepada Rasul yang terakhir, menunjukkan betapa pentingnya membaca untuk manusia akhir zaman ini. Dan perintah membaca ini dikaitkan dengan akidah iaitu Allah SWT yang menciptakan kita dan apa yang kita baca.

Membaca memperkenalkan kita dengan al-Khaliq, membaca memimpin kita bagaimana mendekatkan diri kita kepada-Nya dan membaca membantu kita meraih kejayaan di dunia dan di akhirat. Justeru, membaca adalah satu kewajipan, bukan satu hobi!





No comments: