Monday, June 18, 2012

DIA AS-SIDDIQ




Dia Ibn Abi Quhafah, antara segelintir insan pertama yang dipilih oleh Allah SWT untuk menerima Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Dia menadah ilmu Islam secara rahsia dengan baginda. Ketika ingin beribadat, dia akan bersembunyi di kawasan bukit sekitar Makkah kerana bimbang diketahui oleh kuffar Quraisy.


Suatu hari, di celah gelombang penentangan kuffar Quraisy yang semakin memuncak, ketika Rasulullah SAW solat di Hijr Ismail, datanglah ‘Uqbah bin Abi Mu’it. ‘Uqbah meletakkan bajunya di leher Rasulullah SAW dan cuba menjerut baginda. Dia – Ibn Abi Quhafah – datang dan terus memegang bahu ‘Uqbah, lalu menolaknya daripada Rasulullah SAW. Dia berkata, “Adakah kamu hendak membunuh lelaki hanya kerana dia mengatakan: Tuhanku ialah Allah?”

Pada pagi selepas berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj, sebahagian kuffar Quraisy datang kepadanya dengan harapan dia akan turut bersekongkol memperolok-olokkan Rasulullah SAW, tetapi dia – Ibn Abi Quhafah - berkata penuh yakin, “Sekiranya dia (Muhammad SAW) berkata sedemikian, sesungguhnya dia adalah benar. Dan sungguh, aku akan membenarkannya walaupun dia berkata lebih daripada itu.”

Pada 2 Rabi’ul Awwal 13 tahun selepas kerasulan Rasulullah SAW, dia menemani baginda dalam misi hijrah ke Madinah. Sebelum masuk ke Gua Thur, dia menawarkan diri menjadi perisai. Ditelitinya setiap inci gua untuk memastikan tiada binatang berbisa yang boleh menyakiti baginda. Apabila semuanya selamat, barulah dibenarkannya Rasulullah SAW masuk.

Apabila ‘Umar bin al-Khattab RA meluahkan rasa tidak puashatinya terhadap tindakan Rasulullah SAW yang seolah-olah mengalah kepada tuntutan kuffar Quraisy dalam Perjanjian Hudaibiyyah pada tahun ke-6 Hijrah, dia – Ibn Abi Quhafah berkata, “ Wahai Ibn al-Khattab, sesungguhnya dia (Muhammad SAW) adalah Rasul Allah, dia tidak akan sekali-kali melakukan maksiat kepada Tuhannya, dan Allah tidak akan pernah mensia-siakannya.”

Pada kemuncak satu musim panas, ketika penduduk Makkah menghadapi suasana hidup yang sukar, Rasulullah SAW memerintahkan pada sahabat menghulurkan bantuan untuk mempersiapkan tentera Islam bagi menghadapi angkatan Rom dalam Peperangan Tabuk . Dia – Ibn Abi Quhafah – datang dengan seluruh hartanya. Tanya Rasulullah SAW, “Wahai Abu Bakar, apakah yang kamu tinggalkan untuk ahli keluargamu?” Jawabnya, “Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan Rasul-Nya.”

Pada tahun ke-9 Hijrah, dia – Ibn Abi Quhafah – diutus oleh Rasulullah SAW memimpin seramai 300 penduduk Madinah untuk menunaikan haji di Makkah sambil mengisytiharkan bahawa selepas tahun tersebut, tiada seorang pun Musyrik yang dibenarkan menjejakkan kaki di tanah haram Makkah.

Tiada yang kekal melainkan Allah SWT. Rasulullah SAW jatuh sakit yang membawa kepada kewafatan baginda. Apabila sudah tidak mampu keluar untuk mengimami solat, baginda memerintahkannya – Ibn Abi Quhafah - untuk mengambil tempat baginda. Kehilangan Rasulullah SAW meruntun hatinya. Dia masuk ke dalam rumah ‘Aisyah RA, tempat terkujurnya jenazah yang mulia itu. Kain yang menutupi wajah baginda disingkapnya, dikucupnya wajah kekasih Allah, lalu dia menangis …

Seluruh jiwa menangisi pemergian Rasulullah SAW, bahkan ada yang tidak mampu menghadapi realiti, lalu dia - Ibn Abi Quhafah – berkata, “Wahai manusia, sesiapa daripada kamu yang menyembah Rasulullah SAW, sesungguhnya Muhammad telah mati, dan sesiapa di antara kamu yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah kekal hidup dan tidak akan mati.”

Dialah Abu Bakar bin Abi Quhafah RA – keimanannya mengatasi iman seluruh manusia, keimanannya melayakkannya menjadi sahabat Rasulullah SAW paling akrab, keimanannya tidak pernah dipalit walau sedikitpun oleh rasa sangsi, keimanannya membawa kepada gelaran as-Siddiq, satu-satunya dalam sejarah dunia…



No comments: