Monday, September 27, 2010

Seperempat Purnama dI Kampung Halaman 1

11 SEPTEMBER 2010 (SABTU)

4.00 Pagi

Terjaga saja daripada tidur, saya terus membersihkan diri dan melakukan operasi mengemas mana-mana yang tidak sempat dibuat sebelum tidur tadi. Semuanya mesti siap sebelum anak-anak bangun. Semangat tu ..... balik kampung katakan ......

5.30 Pagi

Kami bertolak ke LCCT di KLIA. Alhamdulillah, Ahoi, anak saudara suami saya sudi membantu menghantar kami ke lapanganterbang. Kalau tidak, alamat terpaksa menempah teksilah jawabnya. Kalau mudah dapat tak apa. Di waktu-waktu begini, bukan saja sukar mendapatkan teksi, tapi tambangnya juga akan melonjak 50% lebih daripada kadar biasa.

Barang yang kami bawa balik tidak banyak – dua beg pakaian dan dua beg bimbit. Salah satu daripada beg-beg bimbit itu penuh dengan ole-ole terutama sekali biskut raya .....

7.30 Pagi


Kami sudah berada di dalam perut pesawat. Sejujurnya ini adalah kali pertama saya naik Airasia dari Kuala Lumpur. Selalunya kalau saya naik kapalterbang untuk tugasan rasmi sebelum tahun-tahun gawat ekonomi sekarang, saya naik MAS. MAS menjadi pilihan utama jabatan kerajaan atas kapasitinya sebagai GLC. Servisnya berhalus dan “class” sesuai dengan kadar tambangnya yang “class” juga.

“Now everyone can fly”. Mengingatkan slogan Airasia ini, saya segera men”justify”kan dalam hati sedikit kelasakan yang dituntut semasa menggunakan perkhidmatan syarikat ini. Yang penting, selamat sampai di kampung .....

Agak terubat juga hati apabila pemegang waran kerajaan seperti saya diberi sedikit kelebihan berbanding penumpang-penumpang lain. Kami tidak perlu “queue” panjang untuk “check-in”. Tunjuk sahaja tiket, boleh terus timbang barang. Masa nak keluar daripada “gate” menuju ke pesawat juga begitu, tidak perlu beratur. Di dalam kapalterbang, makan minum disediakan, tidak perlu membeli belah di awan biru kecuali kalau berhasrat merasai “side dishes”. (Harganya mak datok! Punyalah mahal) Rahsianya sebab kerajaan sudah bayar “full”. Terima kasih Malaysia .....

10.00 Pagi

Kami sampai di Lapanganterbang Miri untuk ”transit” selama enam jam sebelum meneruskan perjalanan ke Limbang. Mula-mula kami bercadang untuk naik teksi untuk ke bandar Miri. Tetapi bila dicongak-congak tambangnya, kami kemudiannya mengambil keputusan untuk menyewa sahaja kereta Kancil, lebih jimat dan selesa. Agaknya rezeki kami, syarikat sewa kereta itu bermurah hati pula menggantikan Kancil dengan kereta Iswara. Itu sudah kira bagus, baiknya....

Kami berpusing-pusing di bandar Miri. Suami saya pernah bertugas sebagai guru sementara di sini pada awal tahun 90an. Berbelas-belas tahun sudah berlalu, tentunya banyak yang sudah berubah. Setelah mencuci mata di sebuah pasaraya (sebenarnya mencari “charger” bateri kamera yang tertinggal di KL), kami singgah di tepi pantai.


Bandaraya Miri terletak di utara Sarawak dan merupakan bandaraya kedua terbesar selepas ibu negerinya, Kuching. Ia merupakan pusat pentadbiran kerajaan bagi Bahagian Keempat Sarawak. Daerah Miri seluas hampir lima ribu kilometer persegi dan penduduknya mencecah 270,000 orang (2008). Ia dinaiktaraf menjadi Bandaraya pada 20 Mei 2005.

Di sinilah bermulanya industri petroleum bukan sahaja di Sarawak, malah di Malaysia. Telaga minyak pertama digali pada tahun 1910 oleh syarikat Shell. Selain minyak, industri utama Miri ialah balak, minyak kelapa sawit dan pelancongan. Nak tahu, Miri ialah pintu masuk ke Taman Negara Mulu yang terkenal tu. Pasal Mulu ni, nanti kita cerita lain ye…. Destinasi eco-pelancongan lain yang terkenal di sini ialah Taman Negara Loagan Bunut, Taman Negara Lambir dan Gua Niah.

12.00 Tengahari

Laparlah pulak … Hariraya begini mana ada orang Islam buka kedai. Nasib baik ada KFC. Di situlah kami mengalas perut.

2.00 Petang

Kami singgah di rumah Azhari, sepupu suami saya di Kampung Bakam tidak berapa jauh daripada Lapanganterbang Miri. Boleh dikatakan rumah ini merupakan destinasi wajib saya setiap kali berkunjung ke Miri. Azhari sekeluarga baik orangnya, peramah dan hospitalitinya “thumb up”!

Kami dihidangkan dengan lauk pauk dan kuih muih raya. Oleh kerana masih kenyang, saya memilih untuk makan buah dabei (nama rasminya “dabai”) saja. Kalau tak silap saya, buah dabei hanya boleh didapati di Pulau Borneo. Bentuknya seperti bola ragbi dan sebesar ibu jari, warnanya kehitaman dan terdapat biji keras di dalamnya. Cara memakannya : Bersihkan dulu dengan air mutlak. Selepas itu, letak dalam bekas, curahkan air panas dan tutup. Tunggu sehingga ia lembut Sedap dimakan begitu sahaja atau dibubuh kicap atau garam bersama nasi putih.


4.00 Petang

Kami naik kapalterbang lagi. Kali ini bukan Airasia, tetapi MASwings. Perjalanan ke Limbang mengambil masa lebih kurang setengah jam.



4.30 Petang

Kami selamat sampai di Limbang, kampung halamanku .....

Thursday, September 2, 2010

Fiqh Musafir : Boleh Buka Puasa Tetapi Wajib Qadha'

Boleh berbuka …..

Orang yang musafir sejauh lebih dua marhalah (tidak kurang daripada 83 kilometer) dibenarkan berbuka puasa dengan syarat musafir tersebut untuk sesuatu tujuan yang tidak melanggar syarak dan mencakupi seluruh hari.

Sekiranya seseorang yang berpuasa bermukim pada waktu pagi, kemudian dia bermusafir pada siang itu, maka dia tidak dibenarkan berbuka. Contohnya : Eliza berada di Kuala Lumpur. Dia berpuasa sejak terbit fajar hari itu. Pada pukul 10 pagi, dia pergi ke Pulau Pinang. Dalam keadaan begini, dia wajib meneruskan puasanya hingga tenggelam matahari.


Wajib qadha’ .....

Orang yang meninggalkan puasa pada bulan Ramadhan disebabkan musafir wajib mengqadha’kannya sebelum masuk bulan Ramadhan pada tahun berikutnya. Sekiranya dia tidak sempat mengqadha’kan puasa tersebut disebabkan sikap mengambil ringan, maka dia dikira berdosa dan wajib mengqadha’kan juga puasa tersebut serta membayar fidyah.

Fidyah ialah memberi makan kepada fakir miskin sebanyak satu cupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkan. Satu cupak bersamaan lebih kurang 600 gram. Fidyah bertambah dengan bertambahnya tahun.

Sekiranya dia meninggal dunia sebelum mampu mengqadha’kannya (disebabkan sakit atau seumpamanya), maka dia tidak dikira berdosa dan tidak perlu meminta orang lain mengqadha’kannya.

Sesiapa yang meninggal dunia selepas mampu mengqadha’kan puasa yang ditinggalkan, maka walinya sunnat mengqadha’kan hari-hari yang ditinggalkannya bagi pihaknya.

Fiqh Musafir : Puasa di Dua Negara

ISU I

Ali berada di Malaysia. Pada 1 Ogos, orang Malaysia mula berpuasa sebab nampak anak bulan. Pada 2 Ogos, Ali musafir ke Brunei. Penduduk Brunei hanya mula berpuasa pada 2Ogos sebab anak bulan tidak kelihatan di negara tersebut pada 1 Ogos.

Ali berada di Brunei sepanjang bulan Ramadhan. Pada 30 Ogos, genaplah 30 hari dia berpuasa, tetapi penduduk Brunei hanya menyambut Hariraya pada 1 September. 31 Ogos merupakan hari terakhir Ramadhan mereka.

Soalan : Apakah yang wajib dilakukan oleh Ali ?

Jawapan : Ali hendaklah terus berpuasa sepertimana penduduk Brunei sebab dia dikira sebagai orang Brunei.


ISU II

Burhan berada di Selatan Thailand. Pada 1 Ogos, penduduk Selatan Thailand tidak berpuasa sebab anak bulan tidak kelihatan. Pada 2 Ogos, Burhan musafir ke Malaysia. 2Ogos merupakan hari kedua penduduk Malaysia berpuasa tetapi ia adalah hari pertama Ramadhan untuk Burhan. Burhan berada di Malaysia sepanjang bulan Ramadhan.

Soalan : Sekiranya penduduk Malaysia menyambut hariraya pada 29 Ogos, apakah yang wajib dilakukan oleh Burhan?

Jawapan : Burhan hendaklah berhariraya bersama-sama dengan penduduk Malaysia walaupun dia baru berpuasa 28 hari. Selepas hariraya, dia wajib puasa qadha’ selama satu hari kerana jumlah hari berpuasanya tidak mencukupi 29 atau 30 hari.

Soalan : Sekiranya penduduk Malaysia menyambut hariraya pada 30 Ogos, apakah yang wajib dilakukan oleh Burhan?

Jawapan : Burhan boleh berhariraya bersama-sama dengan penduduk Malaysia kerana dia sudah berpuasa selama 29 hari. Sebulan dalam taqwim Islam ialah sama ada 29 atau 30 hari.


ISU III

Daud berada di Malaysia. Pada 30 Ogos, penduduk Malaysia menyambut hariraya. Pada petang 30 Ogos itu, Daud musafir ke Indonesia dan pada hari itu penduduk negara tersebut masih berpuasa pada hari ke 29 Ramadhan bagi mereka.

Soalan : Apakah yang wajib dilakukan oleh Daud ?

Jawapan : Daud hendaklah imsak (menahan diri) untuk baki hari tersebut.