Thursday, September 2, 2010

Fiqh Musafir : Boleh Buka Puasa Tetapi Wajib Qadha'

Boleh berbuka …..

Orang yang musafir sejauh lebih dua marhalah (tidak kurang daripada 83 kilometer) dibenarkan berbuka puasa dengan syarat musafir tersebut untuk sesuatu tujuan yang tidak melanggar syarak dan mencakupi seluruh hari.

Sekiranya seseorang yang berpuasa bermukim pada waktu pagi, kemudian dia bermusafir pada siang itu, maka dia tidak dibenarkan berbuka. Contohnya : Eliza berada di Kuala Lumpur. Dia berpuasa sejak terbit fajar hari itu. Pada pukul 10 pagi, dia pergi ke Pulau Pinang. Dalam keadaan begini, dia wajib meneruskan puasanya hingga tenggelam matahari.


Wajib qadha’ .....

Orang yang meninggalkan puasa pada bulan Ramadhan disebabkan musafir wajib mengqadha’kannya sebelum masuk bulan Ramadhan pada tahun berikutnya. Sekiranya dia tidak sempat mengqadha’kan puasa tersebut disebabkan sikap mengambil ringan, maka dia dikira berdosa dan wajib mengqadha’kan juga puasa tersebut serta membayar fidyah.

Fidyah ialah memberi makan kepada fakir miskin sebanyak satu cupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkan. Satu cupak bersamaan lebih kurang 600 gram. Fidyah bertambah dengan bertambahnya tahun.

Sekiranya dia meninggal dunia sebelum mampu mengqadha’kannya (disebabkan sakit atau seumpamanya), maka dia tidak dikira berdosa dan tidak perlu meminta orang lain mengqadha’kannya.

Sesiapa yang meninggal dunia selepas mampu mengqadha’kan puasa yang ditinggalkan, maka walinya sunnat mengqadha’kan hari-hari yang ditinggalkannya bagi pihaknya.

No comments: