Monday, September 27, 2010

Seperempat Purnama dI Kampung Halaman 1

11 SEPTEMBER 2010 (SABTU)

4.00 Pagi

Terjaga saja daripada tidur, saya terus membersihkan diri dan melakukan operasi mengemas mana-mana yang tidak sempat dibuat sebelum tidur tadi. Semuanya mesti siap sebelum anak-anak bangun. Semangat tu ..... balik kampung katakan ......

5.30 Pagi

Kami bertolak ke LCCT di KLIA. Alhamdulillah, Ahoi, anak saudara suami saya sudi membantu menghantar kami ke lapanganterbang. Kalau tidak, alamat terpaksa menempah teksilah jawabnya. Kalau mudah dapat tak apa. Di waktu-waktu begini, bukan saja sukar mendapatkan teksi, tapi tambangnya juga akan melonjak 50% lebih daripada kadar biasa.

Barang yang kami bawa balik tidak banyak – dua beg pakaian dan dua beg bimbit. Salah satu daripada beg-beg bimbit itu penuh dengan ole-ole terutama sekali biskut raya .....

7.30 Pagi


Kami sudah berada di dalam perut pesawat. Sejujurnya ini adalah kali pertama saya naik Airasia dari Kuala Lumpur. Selalunya kalau saya naik kapalterbang untuk tugasan rasmi sebelum tahun-tahun gawat ekonomi sekarang, saya naik MAS. MAS menjadi pilihan utama jabatan kerajaan atas kapasitinya sebagai GLC. Servisnya berhalus dan “class” sesuai dengan kadar tambangnya yang “class” juga.

“Now everyone can fly”. Mengingatkan slogan Airasia ini, saya segera men”justify”kan dalam hati sedikit kelasakan yang dituntut semasa menggunakan perkhidmatan syarikat ini. Yang penting, selamat sampai di kampung .....

Agak terubat juga hati apabila pemegang waran kerajaan seperti saya diberi sedikit kelebihan berbanding penumpang-penumpang lain. Kami tidak perlu “queue” panjang untuk “check-in”. Tunjuk sahaja tiket, boleh terus timbang barang. Masa nak keluar daripada “gate” menuju ke pesawat juga begitu, tidak perlu beratur. Di dalam kapalterbang, makan minum disediakan, tidak perlu membeli belah di awan biru kecuali kalau berhasrat merasai “side dishes”. (Harganya mak datok! Punyalah mahal) Rahsianya sebab kerajaan sudah bayar “full”. Terima kasih Malaysia .....

10.00 Pagi

Kami sampai di Lapanganterbang Miri untuk ”transit” selama enam jam sebelum meneruskan perjalanan ke Limbang. Mula-mula kami bercadang untuk naik teksi untuk ke bandar Miri. Tetapi bila dicongak-congak tambangnya, kami kemudiannya mengambil keputusan untuk menyewa sahaja kereta Kancil, lebih jimat dan selesa. Agaknya rezeki kami, syarikat sewa kereta itu bermurah hati pula menggantikan Kancil dengan kereta Iswara. Itu sudah kira bagus, baiknya....

Kami berpusing-pusing di bandar Miri. Suami saya pernah bertugas sebagai guru sementara di sini pada awal tahun 90an. Berbelas-belas tahun sudah berlalu, tentunya banyak yang sudah berubah. Setelah mencuci mata di sebuah pasaraya (sebenarnya mencari “charger” bateri kamera yang tertinggal di KL), kami singgah di tepi pantai.


Bandaraya Miri terletak di utara Sarawak dan merupakan bandaraya kedua terbesar selepas ibu negerinya, Kuching. Ia merupakan pusat pentadbiran kerajaan bagi Bahagian Keempat Sarawak. Daerah Miri seluas hampir lima ribu kilometer persegi dan penduduknya mencecah 270,000 orang (2008). Ia dinaiktaraf menjadi Bandaraya pada 20 Mei 2005.

Di sinilah bermulanya industri petroleum bukan sahaja di Sarawak, malah di Malaysia. Telaga minyak pertama digali pada tahun 1910 oleh syarikat Shell. Selain minyak, industri utama Miri ialah balak, minyak kelapa sawit dan pelancongan. Nak tahu, Miri ialah pintu masuk ke Taman Negara Mulu yang terkenal tu. Pasal Mulu ni, nanti kita cerita lain ye…. Destinasi eco-pelancongan lain yang terkenal di sini ialah Taman Negara Loagan Bunut, Taman Negara Lambir dan Gua Niah.

12.00 Tengahari

Laparlah pulak … Hariraya begini mana ada orang Islam buka kedai. Nasib baik ada KFC. Di situlah kami mengalas perut.

2.00 Petang

Kami singgah di rumah Azhari, sepupu suami saya di Kampung Bakam tidak berapa jauh daripada Lapanganterbang Miri. Boleh dikatakan rumah ini merupakan destinasi wajib saya setiap kali berkunjung ke Miri. Azhari sekeluarga baik orangnya, peramah dan hospitalitinya “thumb up”!

Kami dihidangkan dengan lauk pauk dan kuih muih raya. Oleh kerana masih kenyang, saya memilih untuk makan buah dabei (nama rasminya “dabai”) saja. Kalau tak silap saya, buah dabei hanya boleh didapati di Pulau Borneo. Bentuknya seperti bola ragbi dan sebesar ibu jari, warnanya kehitaman dan terdapat biji keras di dalamnya. Cara memakannya : Bersihkan dulu dengan air mutlak. Selepas itu, letak dalam bekas, curahkan air panas dan tutup. Tunggu sehingga ia lembut Sedap dimakan begitu sahaja atau dibubuh kicap atau garam bersama nasi putih.


4.00 Petang

Kami naik kapalterbang lagi. Kali ini bukan Airasia, tetapi MASwings. Perjalanan ke Limbang mengambil masa lebih kurang setengah jam.



4.30 Petang

Kami selamat sampai di Limbang, kampung halamanku .....

2 comments:

mohamad_yusof said...

assalammualaikum, saya berminat utk melancong ke serawak,kebetulan rakan ingin ke limbang...saya tertarik dgn perjalanan ummuzayd..boleh saya bertanya beberapa soalan..krn pn@en pernah dan ade byk pengalaman mengenainya...harap en@pn dapat membantu..perancangan saya ingin pergi dlm bulan mei 2011.

ummuzayd said...

Terima kasih kerana mengunjungi blog. Saya dilahirkan di sana dan zaman kanak-kanak saya memang banyak dihabiskan di sana sebelum saya melanjutkan pelajaran ke Kuching dan kemudiannya ke Semenanjung. Oleh kerana saya kini sudah tinggal di Shah Alam, saya tidak pasti bagaimana saya dapat membantu saudara. Tapi kalau ada apa-apa nak ditanya mengenai Limbang, silakan...