Thursday, September 30, 2010

Seperempat Purnama dI KAMPUNG Halaman 2

Semasa membuat keputusan untuk balik kampung, saya bertekad untuk mengutip kembali sebanyak mungkin sisa-sisa kenangan zaman kecil yang masih ada. Sebetulnya, jauh di sudut hati, saya amat-amat merindui keluarga saya dan kampung halaman tempat saya dilahirkan.

Untuk kali ini, saya akan memuatkan gambar rumah dan sekolah saya.


Bahagian Limbang meruapakan Bahagian Kelima Sarawak. Ia bersempadan dengan negara Brunei Darussalam. Jika menggunakan “speed boat”, perjalanan ke negara Kesultanan Melayu itu hanya memakan masa setengah jam sahaja.

Jumlah warga Limbang tidak sampaipun 100 ribu, terdiri daripada bangsa/etnik Melayu, Cina, Iban, Lun Bawang, Bisaya dan lain-lain. Bidang pekerjaan utama mereka ialah pertanian, penternakan, perikanan dan perniagaan. Bandar Limbang sendiri normal dan tidak terlalu sibuk. Bagi orang yang saban hari dihimpit kesibukan dan kesesakan seperti saya, Inilah nikmat Allah yang besar maknanya.


Ini adalah rumah tempat saya dilahirkan. Ia rumah kerajaan, terletak di Jalan Kubong. Saya tak ingat apa warnanya semasa saya dan keluarga tinggal di situ dulu. Cuma yang saya ingat, ia sederhana besar, ada dua bilik. Di belakang rumah ini adalah kebun arwah Yang (panggilan untuk ayah) dan mak. Arwah mak menanam berbagai jenis sayuran di situ, cukup untuk makanan harian kami. Arwah Tok juga tinggal bersama-sama kami. Dia meninggal dunia semasa saya di sekolah menengah rendah.


Kami berpindah ke rumah ini ketika saya berumur sembilan atau sepuluh tahun. Di sinilah saya dibesarkan. Rumah ini agak luas jugak. Mengikut pembahagian tugas, saya memegang peranan sebagai tukang sapu. Jika tidak bersekolah, saya akan membersih lantai tingkat atas dan tingkat bawah. Pada hujung minggu, saya membersihkan longkang di sekeliling rumah.


Ini adalah Sekolah Kebangsaan St. Edmund. Dulu dikenali sebagai Sekolah Rendah Bantuan St. Edmund. Saya bersekolah di sini dari Darjah Satu hingga Darjah Enam.


Ini adalah sebahagian daripada blok kelas Di sinilah saya mula-mula menimba ilmu. Sebagai Sekolah Rendah Bantuan ketika itu, bahasa perantaraan kami ialah Bahasa Inggeris. Pergaulan guru dan muridnya melepasi sempadan bangsa dan agama.

Nama guru-guru yang masih saya ingat : Cikgu Shamsudin, Mr Thomas, Mr Leong ..... Alhamdulillah beberapa orang kawan dapat saya jejaki semula melalui Facebook : Eliza, Halimah, Azra, Theriana .....


Ini adalah kantin sekolah. Saya jarang ke sini kerana arwah mak sentiasa menyediakan bekal dari rumah (air teh di dalam bekas botol sos dan biskut ”kebin” atau tumpik)


Ini adalah padang sekolah. Pendidikan Jasmani adalah “favourite” kami dan ini adalah venue utama. Hampir sejam berlari dan bermain di sini, kami akan masuk semula ke kelas. Ketika itu, tiada baju sukan khas, kami hanya memakai baju seragam sekolah. Setengah jam yang pertama, kipas angin kelas pasti dipasang “full” untuk menghilangkan bau yang tidak diingini.

Hari Sukan Sekolah juga diadakan di sini.


Ini adalah rumah paderi Kristian yang bertugas di gereja sebelah. Saya tidak ingat nama paderi ketika itu, tetapi kami memanggilnya “father”. Orang putih, peramah dan santun. Sekali sekala dia datang dan bersembang-sembang dengan warga sekolah.


Pada sebelah petang, saya datang ke sini untuk belajar agama. Bangunan ini merupakan bekas surau. Bangunan ini istimewa di hati saya kerana di sinilah saya mula-mula belajar solat. Saya juga diajar Fardhu Ain, Al-Quran dan Bahasa Arab. Semoga Allah melimpahkan ganjaran dan pahala berpanjangan untuk guru-guru saya, arwah Tuan Haji Matasan dan Ustaz Nizam.


Kedai ini terletak berhampiran dengan sekolah agama di atas. Selesai kelas, saya selalu singgah di sini untuk membeli aiskrim dan makanan ringan. Di situ juga ada menjual suratkhabar berbahasa Cina. Saya ingat sangat suatu hari ”auntie” di kedai itu memanggil saya dan memberitahu gambar saya keluar di dalam suratkhabar berkenaan – gambar saya bersama kawan-kawan saya, Sylvia dan Michael sempena kejayaan kami dalam Peperiksaan Darjah Lima (sekarang UPSR).

No comments: